#5863: Hukum Bersiul

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum bersiul?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Siulan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merupakan bunyi seperti bunyi suling yang dibuat dengan menghembuskan angin melalui mulut yang disempitkan.[1]

Hukuman bersiul ini secara umumnya terbahagi kepada tiga di sisi ulama’:

Pertama: Bersiul dilarang dan diharamkan

Sebahagian fuqaha’ melarang perbuatan bersiul ini kerana ia telah menjadi tabiat di zaman Jahiliyyah dahulu. Allah SWT telah memburukkan kaum Kafir Quraisy atas perbuatan mereka ini, seraya berfirman:

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِندَ ٱلْبَيْتِ إِلَّا مُكَآءًۭ وَتَصْدِيَةًۭ ۚ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

Maksudnya: “Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.”

(Surah al-Anfal: 35)

Anggota Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (26/390) turut mengharamkan perbuatan bersiul ini atas alasan ia sebahagian dari tabiat Jahiliyyah dan ia merupakan tanda buruknya akhlak, kemudian mereka berhujjah dengan ayat Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 35 di atas.

Kami melihat, sebab utama perbuatan bersiul ini dikecam oleh Allah SWT dalam ayat di atas kerana ia umpama solat kaum Kafir Quraisy di zaman Jahiliyyah dahulu. Ia tidak hanya diburukkan semata-mata kerana siulan tersebut, tetapi kerana perbuatan tersebut dilakukan sebagai simbolik solat yang bertentangan dengan hukum syara‘, bahkan mereka melakukannya dalam keadaan yang amat buruk. Ibn Kathir membawakan tafsiran Ibn ‘Abbas R.A, kaum Quraisy tawaf mengelilingi Kaabah dalam keadaan tidak berpakaian sambil bersiul-siul dan menepuk tangan.

Kalimah solat itu pula mempunyai perbincangan dalam kalangan ulama’ tafsir. Muhammad Tahir bin ‘Asyur membawakan takwilan yang menarik dalam memahami konteks ayat ini, katanya, kaum Quraisy dahulu menghalang kaum Muslimin dari mengerjakan solat dan membaca al-Quran di keliling Kaabah. Antara cara mereka menghalang adalah melakukan kekacauan dan melakukan sendaan terhadap kaum Muslimin, mengajuk bacaan al-Quran kaum Muslimin dan solat mereka dengan siulan dan menepuk tangan. Beliau membawakan riwayat Mujahid bahawa perbuatan ini dilakukan oleh sekelompok orang dari Bani ‘Abd al-Dar ketika mengganggu solat Rasulullah SAW. Bani ‘Abd al-Dar ketika itu merupakan penjaga kunci Kaabah dan mereka yang selalu mengimarahkan al-Masjid al-Haram, apabila mereka melakukan perbuatan tersebut (bersiul dan tepuk tangan) dengan tujuan mengejek-ejek solat umat Islam, maka dinamakan perbuatan tersebut sebagai solat dengan maksud metafora sahaja. Inilah pandangan yang dipegang oleh Mujahid, Ibn Jubair dan Qatadah.

Ibn ‘Asyur berpendapat, kalimah solat bagi perbuatan bersiul dan tepuk tangan itu adalah majaz mursal.[2] Diriwayatkan daripada Talhah bin ‘Amr, katanya: “Sa‘id bin Jubair menunjukkan kepadaku tempat mereka bersiul (المَكْوُ) di Abu Qubais.” Jika benar apa yang diriwayatkan dari Talhah ini, maka ayat (عِندَ ٱلْبَيْتِ) dalam ayat tersebut bermaksud mereka bersiul itu ‘berdekatan’ dengan Baitullah, dan digunakan kalimah (عِندَ) untuk membawa maksud teramat dekat.

Kalimah al-makwu (المَكْوُ) ini seperti yang disebutkan oleh Mujahid, bersiul dengan cara memasukkan jari ke dalam mulut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/46; al-Tahriri wa al-Tanwir, 3/339)

Maka dapat kita fahami, larangan ini bukan berbentuk umum, akan tetapi ia khusus pada perbuatan bersiul dengan maksud ibadah kaum Quraisy dan juga perbuatan mereka memperolok-olok agama Allah SWT yang suci ini.

Kedua: Bersiul adalah makruh

Ia dinyatakan oleh Ibn Muflih ketika menukilkan pandangan Syeikh ‘Abd al-Qadir, katanya: “Makruh bersiul-siul dan menepuk tangan.” (Lihat al-Adab al-Syar’iyyah, 3/375)

Ini juga pandangan Syeikh Ibn ‘Uthaimin yang menyatakan beliau tidak suka akan perbuatan bersiul dan menyebutnya sebagai makruh zatiyyah dan bukan makruh dari sudut syara‘ yang bermaksud haram. Namun beliau sendiri mengakui bahawa beliau tidak mempunyai dalil yang jelas untuk menyokong pandangannya ini. (Lihat Liqa’at Bab al-Maftuh, 4/119)

Pada asasnya, pendapat makruh ini kerana perbuatan bersiul itu menyerupai tabiat Jahiliyyah terdahulu. Dalam hadith Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (19401), al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat (8327), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar (2966)

Ketiga: Bersiul adalah harus

Harus ini bukan bermaksud ‘mesti’ seperti yang difahami oleh masyarakat Melayu-Malaysia, sebaliknya harus di sini dalam erti kata tidak haram dan tidak makruh. Hujjah mereka yang berpendapat bahawa bersiul adalah makruh, kerana tidak terdapat nas syara‘ yang secara jelas mengharamkan atau mengatakan makruh bersiul.

Mereka juga berhujjah dengan kaedah fiqh seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Sa‘di dalam Manzumah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah:

وَالْأَصْلُ فِي عَادَاتِنَا الْإِبَاحَهْ                 حَتَّى يَجِيْءَ صَارِفُ الْإِبَاحَهْ

Hukum asal bagi adat kita adalah harus,

               sehinggalah datang sesuatu yang mengubah keharusan itu.”

Adapun ayat 35 dari Surah al-Anfal itu ditujukan kepada Kafir Quraisy yang menjadikan bersiul itu sebagai ibadah mereka. Bersiul mereka itu lebih dari sekadar bersiul yang biasa, ia telah pergi kepada niat beribadah. Syeikh al-Syinqiti menyebutkan, maksud ayat tersebut menurut sebahagian ulama’ adalah bersiul yang diselangi dengan menepuk tangan sehingga masyarakat tidak dapat mendengar al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah SAW. Beginilah sebagaimana yang kami bawakan dari Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur di atas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/162)

Selama mana bersiul itu tidak dilakukan dengan tujuan ibadah, maka ia tidak dilarang atau diharamkan, terutamanya apabila terdapat keperluan, sebagaimana seseorang bersiul untuk memanggil orang yang jauh darinya, atau seperti wisel yang kini digunakan oleh polis untuk mendatangkan bunyi siulan yang kuat. Sekiranya seseorang itu bersiul dengan tujuan mengganggu orang lain, atau dengan niat menyerupai tabiat orang kafir dan fasik, maka hukumnya adalah haram.

Kesimpulan

Natijahnya, kami lebih cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus sekiranya ia  sekadar untuk hiburan dan suka-suka tanpa sebarang niat untuk meniru perbuatan kafir Quraisy atau mengganggu orang lain. Ini kembali kepada kaedah penting dalam fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60)

Hiburan tidak dilarang selagimana ia tidak bertentangan dengan hukum Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith Hanzalah R.A, Sabda Nabi SAW:

يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ ‏‏

Maksudnya: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.”

Riwayat Muslim (2750)

Imam Nawawi meletakkan satu bab yang khusus bagi mensyarahkan hadith ini dengan tajuk: ‘Bab Kelebihan Sentiasa Mengingati dan Berfikir tentang Perkara-perkara Akhirat, dan Keharusan Meninggalkannya Pada Sebahagian Waktu serta Menyibukkan Diri dengan Urusan Dunia’.

Beliau menjelaskan bahawa Hanzalah R.A risau jika dia tidak duduk di dalam majlis Rasulullah SAW, maka dia akan sibukkan dirinya dengan isteri dan anak-anak serta kehidupan dunia, lalu menjadi munafik. Hal yang demikian kerana asal munafiq itu adalah menzahirkan yang baik dan menyembunyikan yang buruk. Maka Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/67)

Namun, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya menjaga adab dan akhlak agar ia dapat menjadi cerminan yang baik kepada masyarakat. Bersiul pada tempat dan masa yang tidak sesuai tanpa sebarang keperluan mungkin akan memberikan sudut pandang yang buruk kepada masyarakat kerana ia dianggap kurang sopan. Semoga penjelasan ringkas ini dapat memberikan kita kefahaman yang baik tentang adab dan etika terbaik bagi seorang Muslim.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى، وَالتُّقَى، وَالْعَفَافَ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=siul. Diakses pada 14 Mei 2024.

[2] Majaz Mursal: Penggunaan perkataan yang maknanya berlainan daripada makna sebenar dan mempunyai hubungan tidak setara dengan kata iringan (qarinah) yang dapat dilihat atau disebut di dalam ayat.