#5864 Status Wuduk Setelah Menyempurnakan Basuhan Kaki Ketika Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, saya pernah dengar kalau mandi wajib hendaklah memulakan dari kaki kemudian sentuh kemaluan kemudian sambung sampai kepala. Betulkah kita hanya perlu basuh kaki untuk berwuduk disebabkan bahagian muka, tangan, dan kepala sudah terangkat hadas selepas mandi ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mandi wajib merupakan mandi yang mana tidak sah ibadat seseorang tanpa melakukannya terlebih dahulu. Antara sebab-sebab yang perlu mandi wajib ialah keluar air mani, bersetubuh, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73)

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisa’:43)

 Begitu juga dalam nas yang lain, Allah berfirman:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah:6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 222)

Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib, 21)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seseorang yang menanggung hadas besar adalah memadai baginya mandi junub  kerana hadas kecil itu terangkat dengan melakukan mandi tersebut.

Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Abd al-Barr dalam al-Istizkar (1/260) : Jika orang yang mandi junub tidak berwuduk sebelum mandi, tetapi dia membasahi seluruh tubuhnya, kepalanya, tangannya, dan seluruh badannya dengan mandi menggunakan air, dan dia melakukannya dengan sempurna, maka dia telah mengangkat hadasnya jika dia berniat mandi junub; kerana Allah SWT hanya mewajibkan mandi bagi orang yang junub, bukan wuduk sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.

(Surah al-Maidah:6)

Begitu juga Ibn Battal menyatakan: Ulama telah bersepakat bahawa wuduk tidaklah menjadi kewajipan dalam mandi junub. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 1/387)

Fatwa yang dikeluarkan oleh Dar al-Ifta al-Misriyyah  menyatakan: Diharuskan untuk memadai dengan mandi wajib menggantikan wuduk, iaitu apabila diniatkan untuk mengangkat hadas besar seperti junub, begitu juga haid dan nifas bagi wanita; kerana mengangkat hadas besar merangkumi mengangkat hadas kecil.[1]

Namun antara perkara yang disunatkan ketika mandi wajib adalah berwuduk. Yang demikian merupakan perkara yang disepakati oleh ulama mazhab  Hanafi, Maliki, Syafi’i dan Hanbali.

Imam al-Nawawi ketika menerangkan  tatacara mandi wajib beliau menyebutkan: Apabila seorang lelaki ingin mandi junub, dia hendaklah menyebut nama Allah Ta’ala dan berniat mandi junub atau mandi untuk membolehkan perkara yang tidak dibolehkan kecuali dengan mandi, seperti membaca Al-Quran dan duduk di masjid. Dia hendaklah membasuh kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali sebelum memasukkannya ke dalam bekas air, kemudian membasuh kemaluannya daripada kotoran, kemudian berwuduk seperti wuduk untuk solat. Kemudian, dia hendaklah memasukkan kesepuluh jarinya ke dalam air dan mengambil segenggam air untuk meratakan pangkal rambut di kepala dan janggutnya. Kemudian dia hendaklah menuangkan air ke atas kepalanya sebanyak tiga kali, kemudian menyiram air ke seluruh tubuhnya dan menggosokkan tangan ke bahagian tubuh yang boleh dicapainya. Kemudian, dia berpindah dari tempatnya dan membasuh kakinya kerana Aisyah dan Maimunah R.Anhuma telah menggambarkan tata cara mandi Rasulullah SAW dengan cara yang sedemikian.

Kemudian beliau menyatakan: Yang wajib dari perkara tersebut ada tiga: niat, menghilangkan najis jika ada, dan menyiramkan air ke kulit yang zahir serta rambut yang ada padanya sehingga air sampai ke bawahnya. Selebihnya adalah sunat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/180-181)

Oleh yang demikian, sekiranya telah melakukan perkara-perkara wajib ketika mandi junub, maka terangkatlah hadas besar termasuklah hadas kecil. Ini kerana dengan mandi junub ia mencakupi hadas besar dan kecil. Maka dengan itu, tidak diwajibkan untuk mengambil wuduk kerana perbuatan tersebut hanyalah perkara sunat yang digalakkan untuk dilakukan ketika mandi wajib. Apa yang terbaik dan lebih sempurna dalam bersuci adalah, kita mengikut tatacara mandi Rasulullah dalam mengangkat hadas sebagaimana yang disifatkan oleh A’isyah iaitu:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.”

Riwayat Bukhari (248)

Justeru, dalam isu ini, sekiranya saudara telah meratakan air ke seluruh badan dari hujung kepala hingga ke hujung kaki, maka terangkatlah hadas yang ditanggung itu, sama ada hadas kecil mahupun hadas besar. Namun, sekiranya berlakunya perkara yang membatalkan wuduk ketika mandi janub adalah lebih baik untuk mengambil wuduk sebagai keluar daripada khilaf.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Wallahua`lam.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/16339/%D8% Diakses pada 14 Mei 2024