#5867 Membuat Pinjaman Hutang Kenderaan Di Kedai Non Muslim

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya saya hendak beli motosikal secara berhutang dengan kedai Cina. Bayaran deposit saya bagi tinggi dalam RM 5K untuk  loan 2 atau 3 tahun. Adakah dibolehkan dalam Islam. Tujuan saya berhutang adalah untuk pergerakan saya ke masjid, tempat kerja dan urusan seharian. Mohon maklum balas ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, (6/82), Mughni al-Muhtaj, (2/117) dan al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, (hlm. 45)

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir (2/497): ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

(Surah al-Baqarah: 282)

Secara umumnya, hutang di dalam Islam adalah dibenarkan dan bertepatan dengan syara’. Orang yang memerlukannya dibenarkan dan disunatkan meminta tanpa perlu rasa bersalah. Malah ia menjadi tanggungjawab orang yang diminta. Ini ada dinyatakan oleh kitab Allah SWT dan ijma’ ulama’. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122)

Hikmah pensyariatan membenarkan amalan ini cukup jelas iaitu merealisasikan kehendak Allah yang mahukan wujudnya suasana tolong-menolong untuk tujuan kebaikan dan ketaqwaan sesama umat Islam. Di samping itu, amalan ini juga dapat memantapkan lagi hubungan persaudaraan sesama umat Islam dengan cara mengajak mereka supaya menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan dan kesengsaraan.

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan tidak menjadi satu kesalahan untuk membuat pinjaman hutang bagi pembelian kenderaan walaupun dengan non muslim atau kedai yang pemilikannya adalah non muslim selagi mana kontrak hutang yang dilakukan itu tidak membawa kepada penindasan dan kezaliman seperti mengenakan riba dan sebagainya. Yang demikian jelas diharamkan dalam al-Quran sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْۚ

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Menurut Imam al-Mawardi, para ulama telah sepakat tentang pengharaman riba namun terdapat perbezaan pandangan tentang cabang-cabang berkaitan riba dan kaedah pengharamannya. Beliau berkata:

قَدْ أَجْمَعَ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَإِنِ اخْتَلَفُوا فِي فُرُوعِهِ وَكَيْفِيَّةِ تَحْرِيمِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin (para ulama) atas pengharaman riba walaupun terdapat perbezaan terhadap perkara cabangnya dan bagaimana pengharamannya.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/74)

Manakala pandangan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyatakan riba adalah salah satu dosa besar malah pengharaman riba ini turut dilakukan oleh syariat agama lain. Beliau berkata:

فَقَدْ أَجْمَعُ الْمُسْلِمُونَ عَلَى تَحْرِيمِ الرِّبَا وَعَلَى أَنَّهُ مِنْ الْكَبَائِرِ وَقِيلَ إنَّهُ كَانَ مُحَرَّمًا فِي جَمِيعِ الشَّرَائِعِ

Maksudnya: “Sesungguhnya telah sepakat kaum muslimin atas pengharaman riba dan ianya merupakan salah satu dosa besar, dan ada pendapat yang menyatakan riba diharamkan pada semua syariat agama-agama lain (samawi)” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/391)

Justeru, kami menyatakan bahawa pinjaman yang dilakukan di kedai bukan Islam untuk tujuan membeli kenderaan dan sebarang pembelian lain adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, apa yang perlu ditegaskan di sini ialah pinjaman tersebut haruslah berlandaskan prinsip-prinsip syariah dan bebas daripada elemen-elemen yang dilarang oleh Allah SWT

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam.