#5870: Membayar atau Menerima Bayaran Daripada Jualan Makanan Yang Telah Basi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya wajibkah membayar tempahan makanan yang telah basi ,penjual makanan tidak sedar makanan basi, bolehkah penjual terima bayaran ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. (Lihat Tafsir al-Tabari, 13/6).

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa penjual tidak seharusnya menjual barang yang tidak dapat memberikan manfaat kepada pembeli. Ini kerana salah satu syarat keabsahan transaksi jual beli adalah barang yang dijual harus bebas dari cacat dan dapat memberikan manfaat kepada pembeli.

Dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji mengenai barang jualan : ia mestilah sesuatu yang bermanfaat secara syarak dan adat iaitu mempunyai manfaat yang diakui secara adat dan dibenarkan secara syarak. Maka, tidak sah menjual serangga atau haiwan berbahaya yang tidak boleh dimanfaatkan atau yang biasanya tidak bertujuan untuk dimanfaatkan, begitu juga dengan alat hiburan yang dilarang penggunaannya secara syarak, kerana tukara  ganti  untuk sesuatu yang tidak bermanfaat adalah pembaziran wang. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 6/17)

Begitu juga disebutkan dalam Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami bahawa: para ulama telah sepakat secara umum mengenai syarat-syarat dalam perkara yang dipersetujui sama ada ia sebagai harta yang boleh dijadikan tukaran (seperti duit) atau barangan yang dijual antaranya ialah barangan yang dijual hendaklah merupakan harta yang boleh diambil manfaat menurut syarak. Apa yang tidak boleh diambil manfaat padanya, ia bukanlah harta dan ianya tidak sah. (Lihat Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islami, 5/901, )

Diriwayatkan sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak.  Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.”

Riwayat Muslim (102); Riwayat Ibn Hibban (4905) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih mengikut syarat Muslim.

Justeru, kami menyatakan bahawa penjual tidak boleh menerima sebarang pembayaran untuk tempahan makanan yang telah basi. Ini kerana makanan tersebut tidak layak untuk dijual kerana ia tidak dapat memberikan manfaat kepada pembeli bahkan boleh memudaratkannya. Sekiranya pembeli telah menerima atau membayar untuk makanan tersebut, mereka berhak untuk mengembalikan makanan tersebut kepada penjual dan meminta pampasan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam.