#5876: Menonton Filem Lucah Atas Alasan Pembelajaran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum suami isteri menonton video lucah bersama pasangan atas tujuan pembelajaran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Katakanlah kepada golongan lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mata dan memelihara kehormatan mereka. Itulah cara yang lebih suci bagi kamu. Ingatlah sesungguhnya Allah amat mengetahui apa yang kamu lakukan. (30) Dan katakanlah pula kepada golongan wanita yang beriman supaya menjaga pandangan mata dan memelihara kehormatan.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Perintah untuk memelihara kehormatan diri (kemaluan) selepas menjaga pandangan mata; kerana penglihatan ini merupakan pendorong kepada berlakunya zina. Oleh yang demikian, perintah memelihara kehormatan diri (kemaluan) yang merupakan tempat berlakunya zina itu, sebagai suatu bentuk hiperbola untuk menjaga pandangan dari melihat kecantikan wanita. Maksud di sebalik memelihara kehormatan diri ini pula, dengan menjaganya dari mendatangi apa yang tidak dihalalkan oleh Islam. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 18/204)

Penglihatan merupakan suatu nikmat yang besar dari Allah SWT. Tidak sewajarnya kita menyalahgunakan nikmat ini ke arah perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT kerana itu merupakan tanda seseorang tidak bersyukur. Firman-Nya:

قُلْ هُوَ الَّذِي أَنْشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ قَلِيلاً مَا تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur’.”

(Surah al-Mulk: 23)

Zina tidak hanya berlaku apabila melibatkan hubungan kelamin semata-mata, bahkan ia turut terhasil melalui pandangan. Ini thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan melakukannya tanpa dapat dihindari. Maka zina mata adalah dengan melihat, zina lidah adalah dengan ucapan, zina hati adalah dengan bercita-cita dan berkeinginan, manakala kemaluan membenarkan dan mendustakan semua penzinaan anggota itu.  sedangkan kemaluan pula membenarkan semua itu.”

Riwayat al-Bukhari (6243) dan Muslim (2657)

Imam al-Nawawi berkata, setiap anak Adam A.S akan ditetapkan bagi mereka bahagian-bahagian zina. Zina dapat dipecahkan kepada 2 bahagian; zina hakiki dan zina majazi. Zina hakiki ini berlaku dengan memasukkan zakar ke dalam faraj yang diharamkan (selain dari isteri). Zina majazi pula berlaku dengan pelbagai cara, antaranya adalah melihat kepada perkara yang diharamkan dan membawa kepada zina. Kemaluan pula boleh mengubah zina majazi ini kepada zina hakiki apabila seseorang itu benar-benar akan terlanjur melakukan zina secara sentuhan fizikal atau tidak. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/206)

Oleh yang demikian, setiap hamba itu bertanggungjawab dihadapan Allah SWT terhadap apa yang dia lihat dengan nikmat penglihatan mata yang diberikan kepadanya pada hari akhirat kelak. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلسَّمْعَ وَٱلْبَصَرَ وَٱلْفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْـُٔولًۭا

Maksudnya: “Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

(Surah al-Isra’: 36)

Apabila sudah jelas bahawa melihat kepada perkara yang haram itu merupakan suatu zina, maka hukum melakukannya jelas haram. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri perbuatan zina, kerana sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji (dan jalan buruk yang merosakkan nasab).”

Kalimah (لَا) merupakan kata larangan yang bermaksud tuntutan untuk meninggalkan sesuatu secara wajib, dan larangan ini datang dalam bentuk perkataan dari mereka yang lebih atas kedudukannya. Syeikh Yahya bin Nuruddin al-‘Amriti menyebutkan di dalam nazm beliau pada ‘Bab Larangan’:

تَعْرِيفُهُ اسْتِدْعَاءُ تَرْكٍ قَدْ وَجَبْ              بِالْقَوْلِ مِمَّنْ كَانَ دُونَ مَنْ طَلَبْ

Definisi larangan adalah tuntutan meninggalkan sesuatu secara wajib,

                       melalui perkataan dari yang menuntut kepada mereka yang lebih rendah kedudukan.”

Sesuatu yang dilarang, maka ia adalah suatu bentuk pengharaman menurut ulama’ Usul Fiqh, dan hukum ini tidak berubah melainkan adanya bukti yang mengubah hukum tersebut. (Lihat al-Kaukab al-Munir, 3/83)

Filem lucah merupakan suatu perkara hina yang boleh merosakkan minda serta akhlak beragama. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menggariskan beberapa kesan buruk dari menonton filem lucah ini, antaranya:

  • Ia menggalakkan seks luar nikah.
  • Ia menyumbang ke arah penganiayaan seksual kanak-kanak dan keganasan seks
  • Pengaruh negatif terhadap perkembangan seksual
  • Sikap dan nilai seksual yang negatif, seperti: kelakuan seks luar tabi‘i, orientasi seks yang tidak normal dan tidak menghormati kaum wanita seperti hanya menganggap mereka sebagai objek seks.
  • Masalah emosi dan perhubungan, seperti: rasa bersalah, malu, dan ketagihan.[1]

Menggunakan alasan pembelajaran untuk sama-sama menonton filem lucah bersama pasangan merupakan suatu perbuatan yang sangat tidak bermoral. Seharusnya ketua keluarga bertindak sebagai pelindung, pendidik, dan orang yang bertanggungjawab mengemudi bahtera rumahtangga ke arah ketaqwaan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Kata Ibn Kathir, Allah SWT maksudkan dalam ayat ini: “Ajarkanlah adab kepada ahli keluargamu itu dan didiklah mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/188)

Kesimpulan

Kami simpulkan bahawa haram hukumnya ke atas suami isteri untuk menonton filem lucah dengan alasan pembelajaran. Terdapat banyak alternatif lain yang lebih menepati syara‘ untuk kita pelajari tentang hubungan intim yang halal sesama pasangan.

Semoga kita dapat berpegang teguh dengan prinsip Islam, memelihara kesucian agama Allah SWT ini dengan sebaik-baiknya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Nota kaki:

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/pornografi/. Diakses pada 17 Mei 2024.