#5877: Speed Dating

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menyertai Speed Dating kerana saya sudah berumur 47 tahun tetapi masih tidak menjumpai calon suami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Speed Dating

Speed Dating bermaksud temu janji dalam tempoh yang singkat. Ia merupakan satu acara yang membolehkan peserta lelaki dan perempuan untuk duduk berbual bersama dalam tempoh yang ditetapkan (sekitar 5 hingga 10 minit).

Sejarah Speed Dating

Dalam dunia yang serba moden ini, pada hari ini kita dapat lihat pelbagai jenis program realiti dalam mencari jodoh/pasangan yang telah dibuat di seluruh dunia seperti Amerika, Korea, Jepun, Indonesia, Singapore dan sebagainya.

Hakikatnya, isu Speed Dating ini telah bermula di Malaysia sejak 2015 lagi, namun ia tidaklah diberi perhatian sehinggalah pada hari ini ia telah mendapat perhatian orang ramai khususnya golongan muda. Speed Dating ini mempunyai pelbagai kategori seperti temu janji untuk mencari pasangan, kawan dan turut dibahagikan juga mengikut agama dan bangsa. Idea Speed Dating ini tercetus apabila masih ramai lagi, mereka yang masih tidak menemui jodoh akibat kekangan waktu, tidak ramai kenalan dan seumpamanya.

Meskipun pada hari ini, pelbagai aplikasi jodoh telah dicipta, namun kebanyakan orang lebih gemar untuk berjumpa secara berdepan daripada hanya melihat dari gambar. Hal ini kerana di laman sosial, boleh jadi gambar orang berkenaan diubah (edit) untuk kelihatan lebih cantik, sasa, kacak, kurus, tinggi dan seumpamanya. Speed Dating ini mempunyai pelbagai kategori dengan harga berjumlah RM 120 ke atas/Pax.

Taaruf (تعارف) (Berkenalan) Menurut Islam

Bertaaruf dari segi bahasa bermaksud berkenalan. Perkataan ‘taaruf’ (تعارف) adalah berasal daripada perkataan orang Arab yang bermaksud saling kenal-mengenal. Taaruf sebelum kahwin adalah bermaksud satu proses perkenalan diri dengan lebih mendalam bagi kedua-dua pasangan yang mahu berkahwin. Ia boleh dilakukan di antara kedua-dua calon tanpa wakil (menggunakan medium seperti media sosial) ataupun dengan melantik wakil untuk menguruskan proses taaruf tersebut (Lihat Portal Baitul Muslim)

  1. Syara‘ memberikan keharusan kepada lelaki dan perempuan yang ingin berkahwin untuk melihat antara satu sama lain bagi membantu mereka membuat keputusan yang betul dan yakin. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya:

كُنْتُ عِنْدَ النَّبِيِّ ﷺ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ تَزَوَّجَ امْرَأَةً مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: ‏‏ أَنَظَرْتَ إِلَيْهَا‏؟‏ قَالَ: لَا‏.‏ قَالَ:‏ فَاذْهَبْ فَانْظُرْ إِلَيْهَا فَإِنَّ فِي أَعْيُنِ الأَنْصَارِ شَيْئًا‏

Maksudnya: “Aku bersama Rasulullah SAW semasa datangnya seorang lelaki yang kemudian memberitahu Baginda bahawa dia ingin mengahwini wanita Ansar, lalu Rasulullah SAW bertanya: ‘Adakah engkau telah melihatnya?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Pergilah lihat dia, sesungguhnya pada mata orang Ansar ini ada sesuatu.”

Riwayat Muslim (1424)

  1. Bertaaruf dengan menggunakan orang tengah. Melalui cara ini, ia dianggap lebih sopan dan mengelakkan berlaku fitnah. Orang tengah tersebut boleh kita lantik dari ahli keluarga sendiri ataupun sahabat yang boleh dipercayai. Bahkan dalam sirah, Saidatina Khadijah R.A. juga telah menggunakan orang tengah iaitu sahabatnya yang bernama Nafisah untuk menyatakan keinginannya bagi melamar Rasulullah SAW. Tidak kisah pihak lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya tidak salah melantik orang tengah untuk menyampaikan hasrat hati. Ia adalah salah satu bentuk usaha anda untuk mendapatkan jodoh.

  1. Berkenalan dengan ahli keluarganya. Melalui cara ini, kita dapat lebih mengenali ibu bapa dan adik-adiknya. Malah itu menunjukkan keseriusan saudara dalam mendirikan rumahtangga.Kami katakan apabila ingin berjumpa atau bertemu, elakkanlah hanya berdua-duaan serta di tempat yang sunyi. Ini kerana boleh terdedah kepada maksiat. Begitu juga, jagalah keterampilan dengan menutup aurat sepenuhnya. Sebaik-baiknya pertemuan diadakan di rumah perempuan. Hal ini supaya ia dapat disaksikan oleh kaum keluarga perempuan dan lebih mudah untuk membuat sebarang bentuk keputusan yang terbaik. Dengan cara ini, sudah tentu menatijahkan kebaikan bagi kedua-dua belah pihak sehingga akhirnya kedua-dua ini dapat menoktahkan hubungan mereka ke jinjang pelamin.

  1. Apabila sudah saling mengenali dan berkenan. Maka, janganlah lupa untuk membuat solat Istikharah dan berdoa kepada Allah SWT. Hal ini kerana hanya Allah yang tahu perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Baqarah: 216)

Hukum Speed Dating

Setelah melihat kepada maklumat-maklumat yang telah kami terokai, kami nyatakan bahawa perkara ini perlu dinilai dengan sebaik mungkin. Seperti kaedah fiqh menyebut:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50).

Justeru, hukum berkenaan speed dating ini, kami bahagikan  mengikut beberapa keadaan:

  1. Peserta Sama Jantina

Sekiranya program yang disertai itu hanya melibatkan peserta sesama jenis misalnya lelaki- lelaki dan perempuan-perempuan, dengan tujuan untuk berkenalan dan mencari kawan, maka tidak menjadi masalah kerana tiada isu ikhtilat di situ.

  1. Peserta Berlainan Jantina

Sekiranya program yang disertai itu melibatkan peserta lelaki dan perempuan, maka banyak perkara yang perlu dipantau mengikut prinsip taaruf dalam Islam:

  • Tidak duduk berdua-duaan meskipun di tempat yang terbuka kerana ia turut akan menimbulkan fitnah dan tomahan. Hal ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW pernah memalingkan wajah al-Fadhl bin ‘Abbas apabila dia melihat seorang wanita, seraya Baginda SAW bersabda:

رَأَيْتُ شَابًّا وَشَابَّةً فَلَمْ آمَنِ الشَّيْطَانَ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: “Aku melihat seorang pemuda dan seorang pemudi, dan syaitan tidak akan meninggalkan keduanya aman.”

Riwayat al-Tirmizi (885) dan Ahmad (1348)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, prinsip asasnya adalah apa-apa yang menjadi punca kepada fitnah adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pintu kepada keburukan perlu ditutup, kecuali jika terdapat manfaat yang kuat yang tidak bertentangan dengan syara‘. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 15/419)

Justeru itu, cadangan kami adalah sekiranya peserta tersebut benar-benar berhasrat untuk mencari pasangan hidup, maka disyorkan pihak penganjur membawa mahram peserta perempuan tersebut seperti adik-beradik atau seumpamanya.

  • Tidak bersentuhan antara peserta lelaki dan wanita.
  • Berkenalan dengan ahli keluarganya. Melalui cara ini, secara tidak langsung apabila mahram duduk bersama dalam pertemuan, kita dapat lebih mengenali ibu bapa dan adik-adiknya. Malah itu menunjukkan keseriusan dalam mendirikan rumahtangga.

Akhir sekali, apabila sudah saling mengenali dan berkenan. Maka, janganlah lupa untuk membuat solat Istikharah dan berdoa kepada Allah SWT. Hal ini kerana hanya Allah yang tahu perkara yang akan berlaku di masa hadapan. Sebagaimana firman Allah SWT:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah al-Baqarah: 216)

Semoga dengan penerangan ringkas kami ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat, sejurus memupuk rasa ikhlas dan sifat sabar dalam mendepani cabaran kehidupan berumahtangga dengan berlandaskan telunjuk syara‘.

Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)