#5878: Eksfoliasi atau Pengelupasan Wajah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu melakukan eksfoliasi wajah dalam memastikan kulitnya lebih bersih, sihat dan cerah? Lebih-lebih buat seorang isteri yang ingin tampak cantik di hadapan suaminya. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya: Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

(Surah al-Nur: 31)

Sayyid Qutb menyebutkan bahawa perhiasan itu halal bagi perempuan untuk memenuhi keinginan semula jadinya. Setiap perempuan ingin menjadi cantik dan dipandang cantik. Walaupun perhiasan itu berbeza-beza dari satu zaman ke satu zaman, namun asas perhiasan itu adalah sama sahaja dalam fitrah perempuan, iaitu ingin mendapat dan menyempurnakan sifat-sifat kejelitaan dan menunjukkannya kepada kaum lelaki. Islam tidak menentang keinginan semula jadi ini, tetapi Islam mahu mengatur dan mengawalnya. Islam mahu menjadikan keinginan semula jadi itu menuju ke arah yang terang, iaitu ke arah suaminya yang tunggal selaku rakan kongsi hidupnya, yang dapat memandang bahagian-bahagian badannya, yang tidak boleh dipandang oleh orang-orang yang lain daripadanya — yakni suaminya itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/2512).

Definisi dan Proses Eksfoliasi Wajah

Secara umumnya, eksfoliasi atau pengelupasan adalah rawatan untuk membuang sel-sel kulit mati dan kotoran yang melekat pada permukaan kulit. Manfaat atau kebaikan eksfoliasi dan pengelupasan ini, jika dilakukan secara rutin dapat membantu menjadikan kulit wajah seseorang lebih bersih dan cerah. Dalam erti kata lain, eksfoliasi dan pengelupasan adalah suatu langkah umum dalam menjaga wajah, dengan membuang sel-sel kulit mati, supaya kulit wajah menjadi lebih bersih dan terlindung daripada bakteria penyebab jerawat.

Terdapat beberapa manfaat eksfoliasi jika dilakukan secara rutin/kerap. Di antaranya:

  • Mencegah munculnya jerawat

Muka yang kotor boleh menyebabkan jerawat. Jika anda kerap melakukan eksfoliasi, sel-sel kulit mati akan dibuang dan wajah anda akan bersih dari kotoran yang boleh menyumbat pori-pori lalu mencetuskan munculnya jerawat.

  • Membantu Penyerapan Penjagaan Kulit (Skincare) atau Produk Kecantikan Muka Lain

Ia dapat membantu proses penjagaan kulit berfungsi dengan lebih optimum. Sel kulit mati yang terbiar menyebabkan penyerapan produk penjagaan kulit kurang optimum. Oleh itu, pengelupasan adalah sesuatu yang perlu dilakukan secara berkala agar penyerapan produk kecantikan dapat lebih berkesan.

  • Penjanaan semula kulit berjalan secara optimum

Sel kulit mati yang tidak dibuang dengan sempurna akan menghalang proses regenerasi kulit. Ini boleh menyebabkan kulit kelihatan kusam. Oleh itu, eksfoliasi dan pengelupasan yang dapat membuang sel kulit mati sepenuhnya bermanfaat untuk membolehkan proses penjanaan semula kulit berjalan secara optimum.

  • Memperbaiki Tekstur Kulit

Ia dapat memperbaiki tekstur kulit. Pengumpulan kulit mati boleh menyebabkan tekstur kulit menjadi kasar dan tidak sekata. Pengelupasan dan eksfoliasi adalah salah satu rawatan rutin yang boleh mengatasi ini. Sebab, penyingkiran kulit mati akan dimaksimumkan melalui pengelupasan dan eksfoliasi.[1]

Teknik pengelupasan/eksfoliasi kulit muka

Pengelupasan kulit muka boleh dilakukan dengan dua cara iaitu secara mekanikal dan kimia. Kedua-duanya sama-sama selamat jika digunakan mengikut keperluan dan jenis kulit setiap individu.

Pertama: Pengelupasan mekanikal

Pengelupasan mekanikal adalah tindakan yang biasanya dilakukan menggunakan scrub, gentian mikrofiber, berus lembut, kristal gula atau garam, dan span. Pengelupasan mekanikal juga boleh dilakukan oleh doktor menggunakan dermaplaning atau microdermabrasion.

Kedua: Pengelupasan kimia

Pengelupasan kimia bergantung kepada bahan berasid seperti asid alfa hidroksi (AHA), asid hidroksi beta (BHA), asid laktik, asid sitrik, dan lain-lain. Pengelupasan kimia boleh menyebabkan pengelupasan ringan hingga sederhana, bergantung pada kepekatan bahan yang digunakan.

Selain itu, kaedah ini dapat mempercepatkan kitaran pusing ganti sel kulit dan membuka liang roma. Pengelupasan kimia juga boleh dilakukan di rumah, dengan menggunakan bahan kimia dengan kepekatan selamat dan ringan. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu tidak pasti untuk melakukannya di rumah, dia boleh melakukannya dengan pakar di klinik mahupun hospital kecantikan.[2]

Rawatan: Antara Kecantikan dan Keperluan Perubatan

Pada asasnya, Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau dengan cara pembedahan atau seumpamanya. Firman Allah SWT:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Selain itu, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373)

Manakala lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” pula bermaksud mereka melakukan perbuatan tersebut — yakni merenggangkan gigi — kerana ingin mencantikkannya lagi. Oleh yang demikian, terdapat isyarat yang menunjukkan bahawa hukum haram itu ditujukan kepada sesiapa yang melakukannya demi kecantikan semata-mata. Adapun jika kerana adanya keperluan mendesak seperti tujuan perubatan atau menghilangkan aib dan seumpamanya, maka ia adalah diharuskan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107).

Selain daripada itu, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebutkan, difahami daripada lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” bahawa ia adalah perbuatan tercela jika mereka melakukan perbuatan tersebut untuk tujuan kecantikan. Namun, jika adanya keperluan bagi perkara tersebut seperti untuk rawatan, maka ia adalah diharuskan. (Lihat Fath al-Bari, 10/372).

Di samping itu, Dr. Soleh al-Fauzan menjelaskan lagi, pengikat iaitu lafaz “لِلْحُسْنِ” yakni untuk kecantikan tambahan, yang terdapat dalam hadith di atas menunjukkan bahawa larangan tersebut adalah khusus sekiranya ia dilakukan dengan tujuan mendapatkan kecantikan tambahan pada kejadian yang sedia ada (normal). Sekiranya dilakukan untuk merawat atau menghilangkan aib, maka hukumnya adalah diharuskan. Ini menunjukkan bahawa bukan semua bentuk perubahan itu diharamkan. Bahkan, huruf ‘lam’ yang terdapat pada lafaz “لِلْحُسْنِ” ini adalah untuk menjelaskan sebab (التعليل), sekali gus mengecualikan urusan yang melibatkan rawatan dan seumpamanya daripada larangan tersebut. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 73).

Hukum Pengelupasan atau Eksfoliasi Wajah

Pada asasnya, hukum asal bagi pakaian dan perhiasan adalah harus sama ada di badan, pakaian atau tempat. Akan tetapi, hukumnya berlanjutan sedemikian — yakni halal dan harus — selagi mana tiada nas-nas khusus yang mengecualikan hukum asal tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/89-90).

Berbalik kepada persoalan di atas, kami berpendapat bahawa pengelupasan atau eksfoliasi wajah adalah diharuskan kerana ia tidak melibatkan apa-apa perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT yang asal. Hal ini adalah sebagaimana keumuman firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.”

(Surah al-Baqarah: 29)

Sebaliknya, pengelupasan atau eksfoliasi wajah itu adalah bertujuan bagi menjaga dan merawat kulit wajah dengan membuang sel-sel kulit mati dan kotoran yang melekat pada permukaan kulit, lalu ia membantu dalam menjadikan kulit wajah seseorang lebih bersih dan cerah, di samping melindunginya daripada bakteria penyebab jerawat. Dalam erti kata lain, proses pengelupasan atau eksfoliasi itu adalah suatu bentuk penjagaan kulit muka dan juga suatu rawatan bagi mengembalikannya semula kepada kulit muka asal yang lebih sihat.

Dr. Soleh al-Fauzan dalam bukunya yang berkaitan pembedahan kecantikan ada membawakan satu dhawabit umum bagi pengubahan yang diharamkan iaitu:

إِحْدَاثُ تَغْيِيرِ دَائِمٍ فِي خِلْقَةٍ مَعْهُودَةٍ

Maksudnya:Mengadakan sesuatu yang baru dengan cara membuat pengubahan yang kekal pada kejadian yang asal.”

Pengubahan tersebut boleh jadi dengan cara menambah seperti suntikan kecantikan, menanam atau seumpamanya, ataupun dengan menghilangkan sebahagian tisu badan seperti menyedut lemak, ataupun dengan mengubah rupa bentuk sebahagian anggota, sama ada dengan membesarkannya, mengecilkannya atau mengetatkannya.

Manakala lafaz “دَائِم” di sini pula merujuk kepada kesannya itu kekal dalam suatu tempoh yang lama seperti berbulan-bulan atau bertahun-tahun, dan tidak semestinya kekal sepanjang hayatnya. Justeru, pengikat ini mengeluarkan pengubahan yang bertempoh (التغيير المؤقت) yang mana kesannya itu tidak kekal lebih daripada beberapa hari.

Kemudian, lafaz “خِلْقَة مَعْهُودَة” pula merujuk kepada kejadian yang asal atau normal mengikut sunnah kauniyyah. Misalnya, orang yang sudah lanjut usianya akan mempunyai kedutan pada wajah mereka. Manakala orang yang masih muda pula, kedutan yang terdapat pada wajahnya dengan rupa yang hodoh dikira sebagai kejadian yang tidak normal.  Pengikat “خِلْقَة مَعْهُودَة” meliputi perubahan atas beberapa sebab:

  • Mengubah kejadian yang asal demi kecantikan tambahan semata-mata seperti tatu, mencabut bulu-bulu wajah dan merenggangkan gigi serta apa-apa pembedahan kosmetik yang disandarkan kepadanya yang dilakukan pada kejadian yang asal mengikut uruf kebanyakan manusia.
  • Mengubahnya untuk tujuan menyeksa seperti membutakan mata, memotong telinga dan seumpamanya.
  • Mengubahnya untuk tujuan penyamaran dan melarikan diri daripada pihak berkuasa keselamatan.

Justeru, terkeluar daripada pengikat ini mengubah kejadian yang tidak normal seperti rawatan bagi penyakit, kecederaan, kehodohan dan keaiban yang asal atau keaiban yang mendatang yang menyebabkan kemudaratan pada anggota fizikal atau jiwa. Begitu juga tidak termasuk di dalamnya, pengubahan yang diizinkan oleh syarak seperti khitan dan menjatuhan hukuman syariah. (Lihat al-Jirahah al-Tajmiliyyah, hlm. 74-75).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa rawatan eksfoliasi atau pengelupasan kulit muka adalah diharuskan kerana ia tidak melibatkan apa-apa perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT yang asal. Sebaliknya, pengelupasan atau eksfoliasi wajah itu adalah suatu bentuk penjagaan kulit muka dan suatu bentuk rawatan kulit wajah dengan membuang sel-sel kulit mati dan kotoran yang melekat pada permukaan kulit, lalu ia membantu dalam menjadikan kulit wajah seseorang lebih bersih dan cerah.

Walau bagaimanapun, keharusan tersebut terikat selagi mana bahan yang digunakan untuk disapu atau diletakkan di atas kulit muka wajah tidak terdiri daripada jenis bahan yang berbahaya dan memudaratkan.

Begitu juga, sekiranya rawatan pengelupasan itu melibatkan proses pembuangan bulu-bulu halus di muka, maka kami sudah membahaskan hukumnya secara panjang lebar dalam artikel kami, dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #5836: Mencukur Muka (Face Shaving).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.siloamhospitals.com/en/informasi-siloam/artikel/mengenal-eksfoliasi-wajah-dan-cara-melakukannya-yang-tepat. Diakses pada 17 Mei 2024.

[2] Lihat artikel yang bertajuk: “Kegunaan Eksfoliasi Kulit Wajah dan Dua Teknik Utamanya,” yang ditulis oleh Dr. Listya Paramita, Sp.KK, bertarikh: 11/05/2023. (https://hellosehat.com/penyakit-kulit/perawatan-kulit/manfaat-dan-cara-eksfoliasi-kulit/. Diakses pada 17 Mei 2024).