#5890: Memakai Baju Tertulis “إقراء” di dalam Tandas

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apa hukum kita membawa masuk baju yang ada tulisan potongan ayat Quran (“إقراء) di bawa masuk ke dalam tandas.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.

(Surah Yusuf: 2)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: “Adapun bagi yang telah disumpahkan ke atasnya ianya  mengithbatkan Al-Quran bahawa ia adalah kebenaran yang tiada keraguan padanya dan ia adalah kalam yang mulia iaitu banyak kebaikan, padat dengan ilmu. Setiap kebaikan dan ilmu ia hanya diperolehi daripada Kitabullah dan diambil dariNya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm 836)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kalimah “”إقراء membawa maksud bacalah. Meskipun, perkataan tersebut ada di dalam al-Quran, ia tidaklah bermakna ia hanya kalimah al-Quran semata-mata kerana kalimat itu juga hakikatnya kalimah bahasa arab yang membawa maksud bacalah. Maka, tidak menjadi masalah untuk memakainya di dalam tandas.

Kaedah ada menyebut:

الْأُمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara bergantung kepada niatnya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 30)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam.