#5891: Onani Menggunakan Tangan Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah hukum isteri yang mengeluarkan air mani suami dengan tangannya bersamaan dengan onani menggunakan tangan sendiri?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kami datangkan terlebih dahulu hakikat yang dimaksudkan oleh kalimah ‘onani’ tersebut. Secara umumnya, sepertimana yang termaktub dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, onani adalah perbuatan mengeluarkan mani dengan ta­ngan. Ilmuan fiqh pula mendefinisikan onani ini sebagai suatu perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan bagi memenuhi tuntutan syahwat, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan sendiri, ataupun secara tidak haram seperti mengeluarkan air mani menggunakan tangan isteri. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)

Hakikatnya, antara onani dan menguluarkan mani dengan tangan isteri mempunyai perbezaan yang besar, meskipun pada zahirnya tetap menggunakan tangan. Adapun perbuatan onani, majoriti ulama’ berpandangan hukumnya adalah haram, sebagaimana yang jelas dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya: “Dan mereka memelihara kemaluan mereka daripada segala perbuatan maksiat. Kecuali kepada isteri-isteri mereka dan hamba-hamba yang dimiliki; maka sesungguhnya mereka tidak dicela ketika bersetubuh dengan mereka. Tetapi, sesiapa yang mencari selain itu, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-Mu’minun: 5-7)

Abu Hayyan al-Andalusi mengatakan, firman Allah SWT: “sesiapa yang mencari selain itu,” seperti zina, liwat, mendatangi binatang dan juga beronani. Ertinya, seseorang itu mencari selain dari had yang telah ditetapkan daripada isteri-isteri dan hamba sahaya yang dimiliki. (Lihat al-Bahr al-Muhit fi al-Tafsir, 7/549)

Manakala perbuatan mengeluarkan air mani menggunakan tangan isteri, ia termasuk dalam pergaulan antara suami isteri dengan cara yang halal. Allah SWT berfirman di dalam kitab-Nya:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ

Maksudnya: “Isteri kamu adalah ibarat kebun tanamanmu, oleh itu datangilah kebunmu daripada mana sahaja kamu sukai.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Disebutkan dalam hadith Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَتْ إِحْدَانَا إِذَا كَانَتْ حَائِضًا، فَأَرَادَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبَاشِرَهَا. أَمَرَهَا أَنْ تَتَّزِرَ فِي فَوْرِ حَيْضَتِهَا، ثُمَّ يُبَاشِرُهَا

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kami (isteri-isteri Nabi SAW) berhaid, lalu Rasulullah SAW ingin bermesra dengannya, Baginda menyuruhnya supaya memakai kain haidnya kemudian barulah Baginda bermesra dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (302) dan Muslim (293)

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata, suami boleh untuk mengeluarkan air mani dengan tangan isterinya dan hamba sahaya miliknya, sepertimana dia dibenarkan untuk mendatangi seluruh tubuh isteri dan hambanya. (Lihat Asna al-Matalib, 3/186)

Kesimpulan

Kami menegaskan bahawa perbuatan onani itu diharamkan menurut syara‘, bahkan ia memberikan kesan yang negatif kepada psikologi serta kesihatan tubuh seseorang. Adapun perbuatan mengeluarkan air mani dengan tangan isteri, ia diharuskan.

Ini thabit dalam hadith Abu Zarr al-Ghifari R.A, ketika mana sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ، أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ؟ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ، أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “‘Ya Rasulullah, adakah sekiranya salah seorang daripada kami mendatangi isterinya (jimak) juga mendapat pahala?’ Baginda bersabda: ‘Apa pendapat kamu sekiranya dia melunaskan syahwatnya dengan cara yang haram, bukankah dia akan mendapat dosa? Demikianlah halnya jika perkara tersebut diletakkan pada jalan yang halal, maka dia akan mendapat pahala’.”

Riwayat Muslim (1006)

Beginilah besarnya perbezaan yang halal dan yang haram, maka berusahalah sehabis baik untuk kekal teguh memilih jalan yang halal dalam apa jua urusan kehidupan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam.