#5893: Mencukur Misai

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya tahu sunnahnya adalah menyimpan janggut dan menggunting atau merapikan misai. Soalannya, jika seseorang itu tidak menggunting rambutnya, sebaliknya dia mencukur misai itu, apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, para ulama berbeza pendapat berkenaan sunnah yang dianjurkan dalam merapikan misai kepada sekurang-kurangnya dua pendapat:

Pendapat pertama, sebahagian ulama berpendapat sunnahnya adalah dengan mencukur misai semuanya. Ini merupakan pendapat mazhab Abu Hanifah dan dua murid kanannya, serta pendapat yang dirajihkan oleh ramai ulama dalam kalangan ahli tahqiq.

Mereka berdalilkan kepada zahir lafaz daripada nas hadith yang ada dalam permasalahan ini. Di antaranya, hadith daripada Ibn Umar, daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda:

وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Dan nipiskanlah (cukurlah)  misai.

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

Begitu juga dalam riwayat lain datang dengan lafaz:

انْهَكُوا الشَّوَارِبَ، وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: “Potonglah  misai kalian dan biarkanlah janggut (tanpa dipotong).”

Riwayat al-Bukhari (5893)

Selain itu, dalam riwayat lain datang dengan lafaz:

جُزُّوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Potonglah misai dengan rapi.

Riwayat Muslim (260)

Al-Tahawi menyatakan selepas menukilkan athar-athar (riwayat-riwayat) dalam bab (permasalahan) ini bahawa telah sabitlah semua athar yang kami riwayatkannya dalam bab ini, dan tiada percanggahan, serta pensabitannya itu membawa kepada bahawa mencukur misai adalah lebih baik daripada memendekkannya. Inilah maksud bab ini dari jalan/sudut riwayat.

Adapun dari sudut kajian (penelitian), kami melihat bahawa mencukur telah diperintahkan dalam ihram, dan dia diberi keringanan (rukhsah) untuk memendekkannya. Justeru, mencukur adalah lebih baik daripada sekadar memotong pendek. Memotong pendek itu pula, sesiapa yang mahu boleh melakukannya, dan sesiapa yang mahu juga boleh melakukannya dengan lebih lagi, melainkan orang yang menambah atau melakukannya dengan lebih lagi itu akan mendapat pahala yang lebih besar daripada mereka yang hanya memotong pendek.

Maka berdasarkan kepada penelitian tersebut, demikianlah juga hukum bagi misai, di mana memendekkannya adalah baik, namun mencukurnya adalah lebih baik lagi dan lebih utama (afdhal). Inilah mazhab Abu Hanifah, Abu Yusuf, dan Muhammad. (Lihat Syarh Ma‘ani al-Athar, 5/320-322).

Walau bagaimanapun, Ibn ‘Abidin menukilkan daripada ulama-ulama terkemudian (muta’akhir), di mana mereka memilih pendapat memendekkan misai. Beliau mengatakan, terdapat perselisihan pendapat mengenai sunnah dalam hal memotong misai, adakah sunnahnya memendekkannya atau mencukurnya? Dan mazhab yang dipegang oleh sebahagian ulama terkemudian (muta’akhir) daripada masyayikh (guru-guru) kami adalah memotongnya pendek. Dinyatakan dalam kitab al-Badai‘ bahawa inilah pendapat yang sahih. (Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 2/550).

Pendapat kedua, sebahagian ulama lagi berpendapat, sunnahnya adalah menggunting atau memendekkan misai. Adapun mencukurnya pula, hukumnya adalah makruh. Ini adalah mazhab al-Malikiyyah dan al-Syafi‘iyyah, dan Imam Malik sangat tegas dalam hal tersebut.

Mereka berhujah berdasarkan beberapa dalil. Di antaranya:

Riwayat daripada Abu Hurairah R.A, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ: الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَقَصُّ الشَّارِبِ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الآبَاطِ

Maksudnya: “Fitrah itu lima perkara: berkhitan, mencukur bulu kemaluan, memendekkan misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.”

Riwayat al-Bukhari (5891) dan Muslim (257)

Selain itu, al-Baihaqi turut meriwayatkan dalam al-Sunan al-Kubra (1/151) dengan sanadnya daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Abdullah al-Uwaisi, katanya: Disebutkan kepada Malik bin Anas berkenaan sebahagian orang yang mencukur licin misainya. Maka, Imam Malik berpendapat, “Selayaknya dipukul orang yang melakukan hal itu. Tidak ada dalam hadith Nabi SAW mengenai mencukur licin misai. Akan tetapi hanya menampakkan tepi dua bibir dan mulut.” Selain itu, Imam Malik bin Anas juga ada mengatakan, mencukur misai adalah bidaah yang telah muncul dalam kalangan orang ramai.

Selain daripada itu, Abu al-Walid al-Baji dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ (7/266) menyatakan, Ibn ‘Abd al-Hakam meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa bukanlah menyembunyikan misai itu dengan mencukurnya, dan aku berpendapat, orang yang mencukur misai patut diberi pelajaran (ta’dib). Begitu juga Asyhab meriwayatkan daripada Imam Malik bahawa mencukur misai termasuk dalam bidaah.

Tambahan lagi, Imam Malik menyatakan, diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab R.A bahawa dahulu apabila beliau ditimpa suatu urusan yang menyedihkan, beliau akan memintal misainya. Kalau misai itu dicukur licin, maka tidak ada apa yang boleh dipintal. (Lihat juga al-Tamhid, 21/62-68).

Di samping itu, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, aturan dalam memendekkan misai adalah memotongnya sampai kelihatan bibir, dan tidak dicukur licin sampai dasarnya. Inilah mazhab kami — al-Syafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/340-341).

Bahkan al-Ramli daripada kalangan ulama al-Syafi‘iyyah menyebutkan dalam kitabnya, Nihayah al-Muhtaj (8/148) bahawa makruh untuk mencukur licin misai.

Manakala dalam kalangan ulama Hanabilah juga ada yang menaskan berkenaan memendekkan misai tanpa mencukurnya. Ini seperti mana dinyatakan oleh al-Buhuti bahawa disunatkan untuk “حَفُّ شَارِبٍ” (menipiskan misai) atau memendekkan tepinya, dan menipiskannya itu adalah lebih utama. Ia adalah suatu perbuatan berlebihan dalam memendekkannya (Lihat Daqa’iq Uli al-Nuha, 1/45).

Disebutkan dalam al-Nihayah bahawa “إحْفَاءُ الشَّوَارِبِ” merujuk kepada perbuatan berlebih-lebihan dalam memendekkannya. Demikian juga dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Syarh al-Bukhari bahawa “ الْإِحْفَاءُ” (al-Ihfa’) bermaksud menyelidiki secara mendalam. Misalnya, “حَتَّى أَحْفُوهُ بِالْمَسْأَلَةِ” — iaitu maksudnya sehingga mereka menyelidikinya secara mendalam dengan pertanyaan. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/75).

Ulama yang berpegang dengan pendapat kedua menjawab dan mengkritik dalil yang digunakan dalam pendapat pertama dengan beberapa jawapan. Di antaranya:

Perkataan ihfa’ (الإحفاء) dan inhak (الإنهاك) merujuk kepada memendekkan hujung bulu yang ada di atas bibir, dan bukannya mencukur semua misai (dari dasarnya), berdasarkan dalil riwayat yang menyebutkan “memendekkan” sahaja, dan ia menjadi penjelasan bagi hadith-hadith ihfa’ (menipiskan).

Abu al-Walid al-Baji menyebutkan dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ (7/266), Ibn al-Qasim meriwayatkan daripada Malik bahawa tafsiran hadith Nabi SAW berkenaan “إحفاء الشوارب” (menipiskan misai) adalah menampakkan sisi hujung bibir, iaitu yang dipendekkan dari sisi bibirnya.

Begitu juga Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (1/340) mengatakan, riwayat-riwayat ini — iaitu riwayat yang menyebutkan berkenaan “أحفوا..أنهكوا..الشوارب” — difahami di sisi kami sebagai merujuk kepada memendekkan dari sisi hujung bibir, dan bukan dicukur dari asalnya.

Selain itu, perkataan ihfa’ (الإحفاء) dan inhak (الإنهاك) dari segi bahasa bukanlah bermaksud mencukur habis, sebaliknya maksudnya adalah menghilangkan sebahagiannya. Ini seperti mana dinyatakan oleh Abu al-Walid al-Baji dalam al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ (7/266) bahawa “إنهاك الشيء” maksudnya tidak mengandungi menghilangkan semuanya. Akan tetapi mengandungi makna menghilangkan sebahagiannya.

Selain daripada itu, perkataan ihfa’ (الإحفاء) dan inhak (الإنهاك) juga merujuk kepada makna berlebih-lebihan dalam memendekkannya, dan bukannya mencukurnya semuanya. Al-Hafiz Ibn Hajar setelah menyebutkan lafaz-lafaz hadith dalam bab ini dan perbezaannya, beliau menyebutkan pula, semua lafaz ini menunjukkan bahawa yang dimaksudkan adalah berlebihan dalam menghilangkannya; kerana al-Jazz “الجز” bermaksud memendekkan rambut dan bulu sehingga hampir kepada kulit. Dan al-Ihfa’ “الْإِحْفَاءُ” bermaksud menyelidiki secara mendalam. Misalnya, “حَتَّى أَحْفُوهُ بِالْمَسْأَلَةِ” — iaitu maksudnya sehingga mereka menyelidikinya secara mendalam dengan pertanyaan. Begitu juga perkataan al-Nahk (النهك) merujuk kepada berlebih-lebihan dalam menghilangkannya. (Lihat Fath al-Bari, 10/347).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa dengan sekadar memendekkan misai sudah terhasil atau tercapai sunnah dengan perbuatan itu. Namun, menipiskannya secara berlebih-lebihan adalah lebih utama dan menyempurnakan lagi sunnah yang terhasil tersebut. Inilah yang lebih sesuai dengan sunnah dan bukannya mencukurnya sampai habis (licin).

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, amalan sunnah terhasil atau dapat diperoleh dengan memendekkan misau sehingga kelihatan bahagian tepi bibir. Setiap kali dipotong lebih daripada itu, ia adalah lebih baik (afdhal); ini dinyatakan secara jelas. Tidak disunatkan mencukur misai kerana dalam lafaz hadith al-Bukhari, daripada Ibn Umar, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

انْهَكُوا الشَّوَارِبَ، وَأَعْفُوا اللِّحَى

Maksudnya: “Potonglah  misai kamu dan biarkanlah janggut (tanpa dipotong).”

Riwayat al-Bukhari (5893)

Imam al-Bukhari menyatakan, Ibn Umar biasa memotong misainya sehingga kelihatan seperti mencukurnya (kerana terlalu nipis). Begitu juga Harb meriwayatkan daripada Abdullah bin Rafi‘, katanya: Aku melihat Abu Sa‘id al-Khudri, Salamah bin al-Akwa‘, Jabir bin Abdullah, Ibn Umar dan Abu Usaid memotong misai mereka hampir kepada mencukur. (Lihat Syarh al-‘Umdah, 1/222).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”