#5896: Sedekah yang Paling Afdhal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah sedekah yang paling afdhal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dan dianjurkan di dalam Islam.

Dari segi bahasa, sedekah bermaksud kebenaran atau pemberian ikhlas dari hati yang bersih. Manakala dari segi istilah pula, ulama’ menyebut sebagai pemberian yang semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredhaan Allah SWT. Sedekah bermaksud pemberian yang padanya dicari pahala dari Allah SWT. (Lihat al-Ta‘rifat, 1/132) Ibn Manzur mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan. (Lihat Lisan al-‘Arab, 10/196)

Justeru, sedekah bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 26/323)

Dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

أيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ، كَسَاهُ اللهُ مِنْ خُضْرِ الجَنَّةِ، وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ، أطْعَمَهُ اللهُ مِنْ ثِمَارِ الجَنَّةِ، وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَأٍ، سَقَاهُ اللهُ مِنَ الرَّحِيقِ المَخْتومِ

Maksudnya: “Sesiapa sahaja Muslim yang memakaikan pakaian kepada Muslim lain kerana dia tidak berpakaian, maka Allah akan memakaikan kepadanya pakaian hijau syurga. Sesiapa sahaja Muslim yang memberi makan kepada seorang Muslim lain yang dalam keadaan lapar maka Allah akan memberinya makan dari buah-buahan syurga. Sesiapa sahaja Muslim yang memberi minum kepada seorang Muslim lain yang dahaga maka Allah akan memberinya minum dari al-Rahiq al-Makhtum (arak syurga).”

Riwayat Abu Daud (1682)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyatakan, hadith ini menunjukkan kepada kelebih sedekah sunat dan anjuran atau galakan untuk melakukannya. Ia juga termasuk dalam sebab-sebab seseorang itu memperoleh kenikmatan syurga.

Selain itu, dapat difahami juga daripada hadith di atas bahawa sedekah yang terbaik atau paling afdhal adalah apabila ia memenuhi keperluan orang yang menerima sedekah tersebut, seperti memberi pakaian kepada orang yang tidak berpakaian (telanjang), memberi makanan kepada orang yang lapar, dan memberi minuman kepada orang yang dahaga. Hal ini kerana manfaatnya akan menjadi lebih besar. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/390-391).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa sedekah yang paling baik atau paling afdhal adalah apabila sedekah yang hendak diberikan itu dapat memenuhi keperluan orang yang akan menerima sedekah tersebut seperti memberi makan kepada orang yang sedang lapar, memberi minum kepada orang yang sedang dahaga, memberi keperluan alatan tulis kepada orang yang sedang belajar dan seumpamanya. Ini kerana manfaat yang akan diperoleh oleh penerima itu yang berada dalam keadaan yang sesuai dengan perkara yang disedekahkan adalah lebih besar berbanding ia diberikan kepada orang lain yang tidak berada dalam keadaan tersebut. Bahkan harta yang disedekahkan itu akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya lebih daripada ia diberikan kepada orang selain mereka.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”