#5898: Bersiul

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah ada hadith yang melarang bersiul? Apakah pula hukum bersiul?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Bersiul

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, bersiul ialah membunyikan suara seperti bunyi seruling dengan menggunakan mulut.

Manakala, di dalam bahasa Arab ia disebut sebagai صفر”” (Lihat Lisan al-‘Arab, 8/ 250).

Hukum Bersiul

Allah SWT telah menyatakan dengan jelas bahawa antara tatacara ibadah yang dilaksanankan oleh Musyrikin Mekah ialah dengan cara bersiul dan bertepuk tangan:

وَمَا كَانَ صَلَاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلَّا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ

Maksudnya: “Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Baitullah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk tangan. Oleh itu rasalah kamu (wahai orang kafir) akan azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.”

Surah al-Anfal (35)

Menurut Imam al-Jassas, siulan dan bertepuk tangan dinamakan solat bagi mereka, kerana kedua-duanya dilakukan sebagai pengganti kepada doa dan tasbih. Dan dikatakan juga bahawa mereka bertepuk tangan dan bersiul sewaktu sedang beribadah. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/76)

Maka dapat difahami bahawa, bersiul dan bertepuk tangan sewaktu beribadah merupakan satu perbuatan yang haram kerana menyerupai perbuatan orang kafir Quraisy. Adapun bersiul di luar ibadah, seperti nyanyian, gurauan dan seumpamanya, maka para ulama telah menyatakan pandangan mereka seperti berikut:

  1. Bersiul adalah dilarang. Ini merupakan pandangan ulama al-Lajnah al-Da’imah bahawa bersiul itu dilarang kerana ia merupakan tradisi kaum jahiliyyah dan akhlak yang buruk. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 26/390). Dan diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas, bahawa bersiul merupakan antara akhlak kaum Nabi Lut AS. (Lihat Tafsir Ibn Kathir 6/276)
  2. Bersiul hukumnya makruh. Ia dinyatakan oleh Ibn Muflih yang menukilkan pandangan daripada Syeikh Abd al-Qadir (Lihat Al-Adab al-Syar’iyyah, 3/375). Ini juga pandangan Syeikh Ibn ‘Uthaimin yang menyatakan beliau tidak suka akan perbuatan bersiul dan menyebutnya sebagai makruh zatiyyah bukan makruh dari sudut syarak. Namun beliau sendiri mengakui bahawa beliau tidak mempunyai dalil yang jelas untuk menyokong pandangannya ini. (Lihat Liqa’at Bab al-Maftuh, 4/119)
  3. Bersiul hukumnya diharuskan. Ini merupakan kefahaman daripada pandangan-pandangan para ulama tafsir seperti Muhammad al-Amin al-Syanqiti dan Muhammad al-Tohir ibn ‘Asyur yang mengikat celaan Allah SWT terhadap siulan kaum kafir Quraisy atas sebab niat mereka untuk menghalang umat Islam daripada solat dan membaca al-Qur’an dengan cara bersiul di Masjid al-Haram. (Lihat Adhwa’ al-Bayan 2/162 dan Al-Tahrir wa al-Tanwir 9/339)

Kesimpulan

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa jika sekiranya seseorang itu bersiul untuk sekadar  hiburan tanpa ada sebarang niat untuk meniru perbuatan kafir Quraisy atau kaum Nabi Lut, maka hukumnya adalah diharuskan. Namun, sebaiknya perkara sebegini dielakkan. Berkenaan hadith larangan bersiul, setakat carian kami, ia masih tidak dijumpai.Kaedah ada menyebut:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1)

Justeru, mengelakkan daripada melakukannya adalah lebih baik.

Akhir kalam, semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya.  Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”