#5901: Mewakafkan Tanah Yang Berkongsi Pemilikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum mewakafkan tanah di bawah pemilikan bersama, bukan pemilikan tunggal, di mana pemilik lain tidak ingin mewakafkan harta tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Wakaf dari sudut syara‘ bererti menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak kepemilikan atas harta tersebut, dan dialihkan untuk kepentingan-kepentingan (awam) yang diharuskan. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 6/235)

Melihat kepada persoalan yang diutarakan, kami membahagikan masalah ini kepada dua situasi:

Pertama: Situasi di mana tanah, perniagaan serta hasilnya telah dibahagikan dengan jelas setiap bahagian tersebut kepada setiap pemilik hak, maka tidak menjadi masalah untuk diwakafkan harta dengan anggaran 60% tersebut kepada mana-mana pihak. Asas yang dalam perbahasan wakaf adalah 4 rukun yang berikut:

  1. al-Waqif (الوَاقِفُ): Iaitu orang yang melakukan wakaf.
  2. al-Mauquf (المَوْقُوفُ): Harta yang diberikan sebagai wakaf.
  3. al-Mauquf ‘alaih (المَوْقُوفُ عَلَيْهِ): Pihak yang menerima harta wakaf tersebut.
  4. al-Sighah (الصِّيغَةُ): Lafaz wakaf.

Isu mewakafkan harta yang melibatkan ramai pemilik ini, ia perlu kembali kepada syarat-syarat bagi al-Mauquf, iaitu status harta yang ingin diberikan sebagai wakaf. Salah satu syarat bagi harta ini adalah ia mesti dimiliki oleh orang yang melakukan wakaf tersebut, dengan pemilikan yang mengharuskan dia untuk membuat tukar milik serta memperolehi faedah dan manfaat darinya. Tanah dan perniagaan tersebut, setiap darinya termasuk dalam harta yang boleh alih (perniagaan) dan tidak dapat dialih (tanah), kedua-duanya harta yang dikongsi tetapi dapat dibahagikan. Maka tidak menjadi masalah di dalam Mazhab al-Syafi‘i untuk diberikan bahagian 60% tersebut sebagai wakaf. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 5/16; Mughni al-Muhtaj, 3/525)

Kedua: Situasi di mana tanah itu tidak dibahagikan terlebih dahulu. Harta pemilikan bersama bagi harta tidak alih ini juga boleh diwakafkan sebahagian milik al-waqif sebagaimana yang disebutkan oleh fuqaha’ al-Syafi‘iyyah. Harta ini disebutkan sebagai al-musya‘ (المُشَاعُ), dan ia harus untuk diwakaf berdasarkan hadith ‘Umar al-Khattab R.A. Beliau pernah berkata kepada Rasulullah SAW:

إِنَّ المِائَةَ سَهْمٍ الَّتِي بِخَيْبَرَ، لَمْ أَصِبْ مَالًا قَطُّ أَعْجْبُ إِلَيَّ مِنْهَا، قَدْ أَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهَا. فَقَالَ النَّبيُّ ﷺ: احْبِسْ أَصْلَهَا وسبِّلْ ثَمَرَتَهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya 100 saham (bahagian) milikku di Khaibar, tidak pernah aku dapatkan sama sekali yang lebih aku kagumi daripadanya, akan aku sedekahkan. Rasulullah SAW bersabda: ‘Tahanlah (wakafkanlah) tanahnya dan sedekahkanlah buahnya’.”

Riwayat al-Nasa’ie (3603)

Akan tetapi, pemilik bersama yang lain berhak untuk menuntut semula harta tersebut dengan cara al-syuf‘ah (الشُّفْعَةُ). Ia merupakan hak untuk memiliki sesuatu sekalipun dengan cara paksaan, yang diberikan kepada pemilik bersama lama untuk mengambil bahagian yang dimiliki oleh pemilik bersama baharu, dengan membayar suatu imbalan bagi mendapatkan hak tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/351)

Hak ini thabit dalam hadith Jabir bin Abdillah R.A, katanya:

قَضَى رَسُولُ الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالشُّفْعَةِ فِي كُلِّ مَالٍ لَمْ يُقْسَمْ، فَإِذَا وَقَعَتْ الْحُدُودُ وَصُرِّفَتْ الطُّرُقُ فَلَا شُفْعَةَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menetapkan syuf‘ah pada harta yang belum dibahagikan. Namun setelah ditandakan sempadan dan dibahagikan jalan, maka tiada lagi syuf‘ah.”

Riwayat al-Bukhari (2138) dan Muslim (1608)

Dalam erti kata lain, harta yang diwakafkan itu boleh dituntut semula oleh pemilik bersama secara mandatori dengan cara bayaran. Oleh itu, kami cadangkan agar dicapai kata sepakat dan persetujuan sebelum bertindak mewakafkan harta tersebut. Inilah bentuk mu‘amalat yang dihalalkan oleh Allah SWT, sepertimana disebutkan dalam firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Dr Hussam al-Din ‘Affanah berkata: “Kaedah mengenai keharusan sesuatu perkara berkaitan mu‘amalat adalah berdasarkan perkataan (إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡ) yang bermaksud ‘kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu’, manakala dalil yang mengeluarkannya dari keharusan tersebut adalah daripada perkataan (لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ) yang bermaksud ‘janganlah kamu makan harta-harta sesama kamu dengan jalan yang salah’.” (Lihat Yas’alunaka ‘An al-Mu‘amalat al-Mu‘asarah, hlm. 89)

Berkenaan dengan perlaksanaan terbaik untuk mewakafkan harta tersebut, seperti yang telah kami cadangkan, hendaklah mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada semua pihak. Namun sekiranya tidak mendapat persetujuan, maka boleh untuk mewakafkan hasil bahagiannya yang diperoleh selepas dibahagikan harta tersebut mengikut bahagian setiap pemilik. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”