#5902: Menyerupai Orang Kafir Kerana Mengikut Trend di Tiktok

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang menyerupai orang kafir seperti yang trending di tiktok dengan sebutan asoka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لِيُحِقَّ الْحَقَّ وَيُبْطِلَ الْبَاطِلَ وَلَوْ كَرِهَ الْمُجْرِمُونَ

Maksudnya: “Supaya Allah menegakkan yang benar itu dan menghapuskan yang salah (kufur dan syirik), sekalipun golongan (kafir musyrik) yang berdosa itu tidak menyukainya.

(Surah al-Anfal: 8)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan maknanya adalah agar Allah menegakkan yang haq (Islam) dengan bukti-bukti dan hujah-hujah yang kuat yang menunjukkan kepada kebenaran dan keabsahannya. Begitu juga untuk membatalkan yang batil (syirik) dengan dalil-dalil dan hujah-hujah yang ditegakkan yang menunjukkan kepada kepalsuannya, walaupun golongan (kafir musyrik) itu tidak menyukainya, namun Allah tidak memperdulikan mereka (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/315)

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dinafikan bahawa kita dilarang oleh Rasulullah SAW menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka. Di sana terdapat hadith daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa  yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031)

Imam al-San‘ani menyatakan, hadith ini menunjukan sesiapa yang menyerupai orang fasiq, atau orang kafir atau ahli bidaah dalam apa-apa perkara yang khusus bagi mereka sama ada pakaian, kenderaan atau cara (gerak-geri), maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai orang kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur dan ada yang berpendapat dia tidak kufur tetapi perlu diadabkan (diambil tindakan oleh pemerintah). (Lihat Subul al-Salam, 2/646-647).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa seseorang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, dia tidak dikira sebagai kafir kecuali jika disertai dengan niat (mengikuti iktikad mereka). (Lihat Raudhah al-Talibin,10/69)

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa seseorang Muslim itu tidak boleh menyerupai orang kafir atau orang fasiq dalam hal pegangan, keyakinan, amalan dan seumpamanya yang merupakan identiti atau syiar khusus atau yang sinonim dengan agama mereka. Ini kerana terdapat larangan daripada Nabi SAW daripada menyerupai mereka.

Justeru, berkenaan trending di tiktok dengan sebutan asoka, kami berpandangan tidak sepatutnya seseorang Muslim itu terlibat atau turut serta dalam perkara yang tidak bermanfaat itu, bahkan meninggalkan daripada melakukannya adalah jauh lebih baik. Apatah lagi, sebagai seorang Muslim kita juga diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz). (Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”