#5903: Peperangan yang Paling Besar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah peperangan yang paling besar dalam sebuah kehidupan kita?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ‎

Maksudnya: “Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Surah al-Taubah (41)

Menjawab persoalan di atas, peperangan yang paling besar dan paling kuat dalam kehidupan kita adalah thabit dan tetap diri di atas agama Allah pada zaman caca-merba dan rapuhnya prinsip kehidupan seseorang. Sementelahan lagi, yang terkait dengan agama.

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ‎

Maksudnya: “Dan, orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan, sungguh Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah al-Ankabut: 69)

Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: “Berjihadlah kamu dalam melawan hawa nafsu dalam mentaati Allah, bersyukurlah atas kurniaan-Nya dan bersabarlah atas ujian-Nya, nescaya Allah akan memberi hidayah dengan menambahkan jalan ke arah kebaikan.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 8/367)

Al-Suddi berkata: “Yakni, berjihadlah semata-mata kerana Kami dengan penuh keimanan dan keteguhan, nescaya Kami tunjukkan kamu jalan-jalan ke Syurga.” Abu Sulaiman al-Darani pula berkata: “Mereka yang berjihad atas apa yang diketahui dan dipelajari, nescaya Allah akan menunjukkan kepada mereka apa yang mereka tidak ketahui.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 8/367)

Imam Fakhr al-Din al-Razi menjelaskan: Yakni, sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk melaksanakan amalan ketaatan, maka Allah SWT pasti akan menunjukkan kepada dirinya jalan untuk menuju ke Syurga. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 25/94) Al-Sabuni berkata: “Mereka yang berjihad melawan nafsu, syaitan, syahwat dan orang kafir yang menjadi musuh agama semata-mata mencari keredhaan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan yang mudah untuk sampai kepada Kami.” (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/430)

Sayyid Qutb berkata: “Keimanan mereka tidak akan sia-sia dan jihad mereka tidak akan dilupakan. Allah SWT akan memberi sepenuh perhatiannya kepada mereka dari maqam-Nya yang Maha Agung dan kerana itu, Dia melimpahkan keredhaan-Nya kepada mereka. Allah SWT memandang tinggi jihad mereka, dan kerana itu Dia memberi hidayah kepada mereka. Allah SWT menghargai usaha-usaha mereka untuk sampai kepada-Nya.” (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/62)

Rasulullah SAW sentiasa mendoakan dengan menyebut:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkan-lah hatiku di atas agama-Mu.”

Riwayat Imam Ahmad (26618), (12107), al-Tirmizi (3522), (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Doa ini merupakan antara doa yang sering dibacakan oleh Rasulullah SAW. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكْثِرُ أَنْ يَقُولَ: يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ.

Maksudnya: Rasulullah SAW selalu mengucapkan:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

(Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu)

Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang engkau bawa, lalu apakah engkau masih risau kepada kami?” Baginda menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua genggaman tangan (kekuasaan) Allah yang Dia bolak-balikkan menurut yang dikehendaki-Nya.”m

Riwayat Imam Ahmad (12107), al-Tirmizi (2140), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (757) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1261)

Begitu juga, perkara ini turut dinyatakan oleh Ummu Salamah R.Anha. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Syahr bin Hausyab, beliau berkata:

قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ ؟ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ ؟ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ ، فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ ، وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW berada bersamamu?” Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

(“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”)

Ummu Salamah menyebut: “Aku berkata kepada Rasulullah SAW; “Wahai Rasulullah! Betapa kerap engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: “Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.”

Riwayat Imam Ahmad (26618) dan al-Tirmizi (3522)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”