#5907: Mencarut Ketika Menjalani Ibadah Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum orang yang sedang menjalani ibadah puasa akan tetapi masih mencarut dan mencela orang lain ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan. Puasa yang disyariatkan adalah untuk menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sadiq hingga tenggelam matahari.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat al-Bukhari (38) dan Muslim (760)

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini berkata, yang dimaksudkan dengan keimanan adalah beri’tiqad akan hak kefardhuan puasa. Adapun yang dimaksudkan dengan pengharapan pula adalah memohon ganjaran daripada Allah SWT. Selain itu, Imam al-Khattabi berkata, yang dimaksudkan dengan pengharapan adalah azimah iaitu seseorang itu berpuasa dalam keadaan amat mengharapkan ganjaran yang baik daripada Allah SWT untuk dirinya tanpa merasa berat serta panjang hari-harinya.(Lihat Fath al-Bari, 4/115)

Imam al-Nawawi pula berkata makna keimanan adalah seseorang itu membenarkan akan fadhilatnya dan makna pengharapan pula adalah seseorang itu berpuasa kerana menginginkan Allah dan tidak melakukannya disebabkan ingin dilihat oleh manusia atau apa yang bertentangan dengan makna ikhlas. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/39)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa individu yang melaksanakan ibadah puasa, dia tidak hanya dikehendaki untuk menahan diri daripada makan dan minum, tetapi juga perlu menjaga etika semasa menjalankan ibadah tersebut dengan mengelakkan segala tindakan yang tercela yang boleh mengurangkan ganjaran ibadah puasanya seperti mencarut, mengumpat, berbohong dan mencela orang lain. Ini kerana dibimbangi bahawa dengan melakukan tindakan tersebut, ibadah puasa yang dilakukan itu mungkin menjadi sia-sia.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya: Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan yang dusta dan beramal dengan pembohongan maka Allah tidak berhajat ke atas perbuatannya yang meninggalkan makan dan juga minum.

Riwayat Al-Bukhari (1903)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kata-kata Imam Ibn Batthal dalam menghuraikan makna hadith di atas dengan kata beliau: ‘’Hadith ini bukanlah bermaksud arahan kepada orang yang berpuasa untuk meninggalkan puasanya itu. Bahkan maknanya adalah ancaman terhadap perbuatan berbohong’’. (Lihat Fath al-Bari, 4/139)

Dalam riwayat yang lain pula beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda:

إِذَا أَصْبَحَ أَحَدُكُمْ يَوْمًا صَائِمًا فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ فَإِنْ امْرُؤٌ شَاتَمَهُ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ إِنِّي صَائِمٌ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.

Riwayat al-Bukhari (1894) dan Muslim (1151)

Imam al-Nawawi berkata, “Ketahuilah bahawa larangan orang berpuasa daripada melafazkan perkataan kotor, tingkah laku bodoh, bergaduh dan saling memaki bukan khusus ketika berpuasa sahaja. Sebenarnya setiap orang pada asalnya dilarang berbuat demikian. Namun, bagi orang yang berpuasa ia lebih berat lagi untuk ditekankan.”(Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/29)

Justeru kami menegaskan di sini, adalah penting bagi sesiapa yang melaksanakan ibadah puasa untuk mengawal diri daripada melakukan tindakan-tindakan yang boleh mengurangkan ganjaran amalan puasa. Tindakan seperti mencela atau mencarut adalah tindakan yang melukakan orang lain dan mencerminkan keburukan akhlak individu tersebut. Oleh itu, syarak dengan tegas melarang tindakan tersebut, sama ada ketika berpuasa atau tidak. Dengan ini, sebagai seorang Muslim, kita harus menjauhi semua tindakan yang tercela dan menunjukkan akhlak yang baik seperti yang diajarkan oleh Islam.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam.