#5912: Benarkah Rejam Terdapat di dalam al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dalam al-Quran terdapat ayat rejam. Ini kerana kami tidak mendapatinya dan bagaimana cara untuk mensabitkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Bagi penzina yang memenuhi ciri-ciri muhsan, dia tertakluk kepada hukuman penzina muhsan iaitu direjam dengan batu sehingga mati. Hukuman ini disahkan melalui ucapan dan tindakan Rasulullah SAW. Malah hukuman ini juga telah dinyatakan oleh ayat al-Quran dan kemudian ayat ini dimansuhkan bacaannya.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa suatu ketika Umar RA berucap dan beliau berkata:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ وَأَنْزَلَ عَلَيْهِ الْكِتَابَ فَكَانَ مِمَّا أَنْزَلَ عَلَيْهِ آيَةُ الرَّجْمِ قَرَأْنَاهَا وَوَعَيْنَاهَا وَعَقَلْنَاهَا فَرَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَجَمْنَا بَعْدَهُ فَأَخْشَى إِنْ طَالَ بِالنَّاسِ زَمَانٌ أَنْ يَقُولَ قَائِلٌ مَا نَجِدُ الرَّجْمَ فِى كِتَابِ اللَّهِ فَيَضِلُّوا بِتَرْكِ فَرِيضَةٍ أَنْزَلَهَا اللَّهُ وَإِنَّ الرَّجْمَ فِى كِتَابِ اللَّهِ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى إِذَا أَحْصَنَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ أَوْ كَانَ الْحَبَلُ أَوْ الاِعْتِرَافُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengutus Muhammad dengan kebenaran dan telah menurunkan al-Kitab. Antara yang telah diturunkan oleh Allah ialah ayat rejam. Kami baca, kami pelihara dan kami faham. Apabila Rasulullah SAW merejam, kami juga akan merejam selepas ketiadaannya. Namun saya bimbang setelah berlalu masa, akan ada yang berkata: “Kami tidak jumpa ayat rejam dalam kitab Allah”. Ini akan menyebabkan mereka sesat kerana meninggalkan kewajipan yang telah Allah turunkan. Rejam telah dinyatakan dalam kitab Allah bagi lelaki dan perempuan muhsan yang berzina, sekiranya ada bukti atau kehamilan atau pengakuan”.

Riwayat al-Bukhari (6442) dan Muslim (1691)

Ayat yang dimansuhkan ialah:

الشَّيْخُ وَالشَّيْخَةُ إِذَا زَنَــيَا فَارْجُمُوهُمَا الْبَتَّةَ نَكَالاً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيْزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Lelaki tua dan perempuan tua sekiranya mereka berdua berzina hendaklah kamu merejam mereka berdua sebagai hukuman berat daripada Allah, dan Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.

Daripada Abu Hurairah RA katanya:

أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ فِى الْمَسْجِدِ فَنَادَاهُ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى زَنَيْتُ. فَأَعْرَضَ عَنْهُ، حَتَّى رَدَّدَ عَلَيْهِ أَرْبَعَ مَرَّاتٍ، فَلَمَّا شَهِدَ عَلَى نَفْسِهِ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ، دَعَاهُ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: أَبِكَ جُنُونٌ. قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ أَحْصَنْتَ. قَالَ: نَعَمْ . فَقَالَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: اذْهَبُوا بِهِ فَارْجُمُوهُ

Maksudnya: “Seorang lelaki Islam datang bertemu Rasulullah SAW ketika Baginda di dalam masjid. Lelaki ini memanggil Baginda dan berkata: Wahai Rasulullah, saya telah berzina. Namun Baginda tidak mengendahkannya. Sehinggalah lelaki ini mengulanginya sebanyak empat kali. Maka apabila lelaki berkenaan telah membuat pengakuan ke atas dirinya sebanyak empat kali lantas Baginda bertanya: Adakah engkau gila? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda bertanya lagi: Adakah engkau muhsan? Lelaki itu menjawab: Ya. Lalu Nabi SAW bersabda: “Bawalah orang ini dan rejamlah dia.”

Riwayat al-Bukhari (6430) dan Muslim (1691)

Daripada Imran bin Husain RA katanya:

أَنَّ امْرَأَةً مِنْ جُهَيْنَةَ أَتَتْ نَبِيَّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ حُبْلَى مِنَ الزِّنَى فَقَالَتْ: يَا نَبِيَّ اللهِ، أَصَبْتُ حَدًّا فَأَقِمْهُ عَلَيَّ، فَدَعَا نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلِيَّهَا فَقَالَ: أَحْسِنْ إِلَيْهَا، فَإِذَا وَضَعَتْ فَأْتِنِي بِهَا. فَفَعَلَ، فَأَمَرَ بِهَا نَبِيُّ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَشُكَّتْ عَلَيْهَا ثِيَابُهَا، ثُمَّ أَمَرَ بِهَا فَرُجِمَتْ ثُمَّ صَلَّى عَلَيْهَا، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: تُصَلِّي عَلَيْهَا يَا نَبِيَّ اللهِ وَقَدْ زَنَتْ؟ فَقَالَ: لَقَدْ تَابَتْ تَوْبَةً لَوْ قُسِمَتْ بَيْنَ سَبْعِينَ مِنْ أَهْلِ الْمَدِينَةِ لَوَسِعَتْهُمْ، وَهَلْ وَجَدْتَ تَوْبَةً أَفْضَلَ مِنْ أَنْ جَادَتْ بِنَفْسِهَا لِلهِ تَعَالَى؟

Maksudnya: “Seorang perempuan Bani Juhainah datang menemui Nabi SAW dalam keadaan hamil kerana berzina. Perempuan ini berkata: “Wahai Nabi Allah, saya telah melakukan kesalahan, jatuhkanlah hukuman terhadap saya”. Lalu Rasulullah SAW memanggil penjaga perempuan ini dan bersabda: “Layanlah dia dengan baik. Setelah dia lahirkan anaknya bawalah dia kepadaku.  Perintah Baginda ini dilaksanakan dan kemudian Baginda memerintahkan agar pakaian perempuan ini diikatkan (supaya tidak terselak semasa direjam).” Baginda memerintahkan agar perempuan ini direjam. Perempuan itu pun direjam. Setelah itu Baginda menyembahyangkannya. Umar berkata: “Wahai nabi Allah, adakah engkau menyembahyangkan perempuan yang telah berzina ini?” Baginda bersabda: “Perempuan ini telah bertaubat. Sekiranya taubatnya diagihkan kepada 70 orang penduduk Madinah, nescaya mencukupi mereka. Adakah ada yang lebih baik daripada seseorang yang mengorbankan dirinya kerana Allah?”

Riwayat Muslim (1696)

Berdasarkan nas-nas di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa terdapatnya nas rejam dalam al-Quran yang telah dinasakhkan dan juga cara bagaimana pelaksanaannya di samping sabitannya.

Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita dalam agama. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”