#5917: Maksud Ruh-Ruh Bagaikan Tentera Berkelompok

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami nas tersebut dan boleh ceritakan kepada kami kisah untuk menguatkan nas tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith Nabi SAW, seperti dalam riwayat Aisyah R.Anha, bahawa Baginda Rasulullah SAW bersabda:

الأَرْوَاحُ جُنُودٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ، وَمَا تَنَاكَرَ مِنْهَا اخْتَلَفَ

Maksudnya: “Roh-roh itu bagaikan tentera yang berkelompok. Jika saling kenal-mengenal antara satu sama lain pasti akan mesra, dan jika tidak kenal antara satu sama lain pasti akan berselisih.”

Riwayat al-Bukhari (3158) dan Muslim (2638)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari (17/248) menyebut:

Al-Khattabi menyatakan, “Ada kemungkinan, ini merupakan petunjuk adanya persamaan dalam hal baik dan buruk, serta maslahat dan kerosakan. Kebaikan pada manusia akan mencari yang sepadan dengannya. Begitu juga dengan keburukan, ia akan cenderung kepada yang sepadan dengannya. Oleh itu, perkenalan antara roh-roh itu selaras dengan tabiat asalnya, sama ada baik atau buruk. Jika ada persamaan, tentunya roh-roh itu akan saling mengenal, tetapi jika ada perbezaan, mereka akan saling menolak.

Ada kemungkinan yang dimaksudkan adalah berita tentang permulaan penciptaan ketika berada di alam ghaib, berdasarkan anggapan bahawa roh-roh diciptakan sebelum jasad. Oleh itu, roh-roh itu saling bertemu antara satu sama lain. Apabila telah masuk ke dalam jasad, roh-roh tersebut saling mengenal berdasarkan perkenalan di alam ghaib. Dengan itu, keadaan roh-roh saling mengenal atau sebaliknya adalah sejajar dengan keadaan di masa lalu.

Para ulama lainnya menyatakan, ‘Maksudnya ialah roh-roh ketika pertama kali diciptakan, diciptakan dalam dua bahagian. Manakala makna ‘roh-roh saling berinteraksi’ ialah bahawa jasad-jasad yang mempunyai roh, jika bertemu di dunia ini akan bersatu atau berbeza-beza mengikut apa yang telah diciptakan pada roh serta faktor-faktor lainnya kerana perkenalan.

Aku (Ibn Hajar), mengatakan, hakikat ini tidak dapat digugat oleh realiti bahawa sebahagian orang yang sebelum ini saling bermusuhan kadang-kadang dapat bersatu. Ini kerana, persefahaman tersebut biasanya berlaku pada awal pertemuan. Hal ini berkaitan dengan asal-usul penciptaan tanpa sebab. Manakala dalam keadaan kedua, ia berkaitan dengan faktor usaha yang disokong oleh sifat-sifat yang membawa kepada keserasian, seperti keimanan orang kafir dan kebaikan orang yang jahat.

Adapun makna ‘tentera yang tersusun rapi’ merangkumi pelbagai jenis, atau merupakan gabungan daripada berbagai-bagai kelompok.

Ibn al-Jauzi menyatakan, “Daripada hadis ini, kita dapat memetik hikmah bahawa jika seseorang merasakan dirinya menjauhi orang yang memiliki kelebihan atau kebaikan, maka seharusnya dia mencari punca perasaan tersebut agar dia dapat menghilangkannya dan bebas dari sifat negatif tersebut, begitu juga sebaliknya.”

Al-Qurtubi menyatakan, “Walaupun kedudukan roh-roh itu sama, iaitu sebagai roh, namun ada perbezaan yang menjadikan mereka berbeza-beza. Individu-individu dari jenis yang sama akan serasi kerana sebab-sebab tertentu yang berkumpul pada mereka, membawa makna khusus pada jenis tersebut sehingga terjadi keserasian. Oleh itu, kita melihat individu-individu dari setiap jenis menyatu dengan yang sejenis dan menjauh dari yang berbeza dengannya. Kemudian kita mendapati sebahagian individu dari jenis yang sama saling menyatu dan sebahagiannya saling menjauh. Semua ini berlaku mengikut faktor-faktor penyatuan dan pemisahan.”

Inilah sepertimana yang dijelaskan dalam kitab Fath al-Bari (17/248) oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani.

Kami kemukakan sebuah kisah yang menarik berkenaan pertemuan Syeikh al-Sya’rawi dan Syeikh Balqaid seperti berikut:

Syeikh al-Sya’rawi mengenali Syeikh Muhammad Balqaid melalui mimpi sebelum akhirnya bertemu dengannya secara nyata di Algeria. Dalam mimpi tersebut, seseorang menawarkan kepada Syeikh al-Sya’rawi untuk pergi sebagai Ketua Delegasi Al-Azhar ke Algeria, tetapi beliau ragu-ragu. Kemudian, dalam mimpi lain, seorang lelaki bertanya mengapa beliau enggan datang ke Algeria dan meminta beliau untuk melakukan perjalanan ke sana. Akhirnya, Syeikh al-Sya’rawi mengubah pendiriannya dan setuju untuk berangkat.

Pada perayaan ulang tahun kelapan kemerdekaan Algeria yang diadakan di Istana Kepresidenan di Algeria, Syeikh al-Sya’rawi melihat seorang lelaki duduk di antara sekelompok ulama. Ternyata, lelaki itu adalah orang yang muncul dalam mimpinya dan yang belum pernah dilihatnya sebelumnya. Pada saat itu, Syeikh al-Sya’rawi terus mendekati Syeikh Muhammad Balqaid, yang tersenyum kepadanya, dan keduanya berpelukan. Syeikh al-Sya’rawi bahkan menggubah puisi memuji Imam Muhammad Balqaid.

Syeikh Muhammad Balqaid meninggal dunia setelah sakit yang memerlukannya beristirahat. Pada malam Jumaat, 28 Rabiul Akhir 1419 Hijriah (22 Ogos 1998 Masihi), beliau kembali ke rahmatullah di Oran  dan dimakamkan di Tilmisan.

Yang menarik adalah bahawa Syeikh al-Sya’rawi dan Imam Balqaid lahir pada tahun yang sama, iaitu tahun 1911, dan juga meninggal pada tahun yang sama, iaitu tahun 1998. Syeikh al-Sya’rawi meninggal dua bulan sebelum Syeikh Balqaid.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”