#5919: Guna Aset yang Belum Dibayar Sepenuhnya untuk Membayar Ansuran Bulanan kepada Penjual

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum menggunakan manfaat dari aset yang belum diselesaikan pembayaran sepenuhnya (sewaan/keuntungan perniagaan) untuk membayar ansuran bulanan kepada pewaris(penjual)?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, tidak menjadi satu kesalahan untuk menggunakan manfaat atau keuntungan daripada aset yang telah dibeli daripada waris secara bertangguh bagi tujuan membayar pembelian aset tersebut. Ini kerana aset tersebut telah dimiliki oleh pembeli secara sah berdasarkan akad yang telah dijalankan dan pembeli mempunyai hak sepenuhnya dalam mengurus harta tersebut. Oleh yang demikian segala keuntungan yang diperolehi daripada aset atau harta tersebut adalah dibawah hak milik pembeli.

Sama juga sebagai contoh, kita membeli sebuah rumah secara berhutang sama ada melalui bank atau mana-mana orang mahupun syarikat. Walaupun hutang tersebut belum diselesaikan kerana jumlahnya agak besar dan pembayarannya mengikut bulanan, tetapi tuan rumah berhak untuk menyewakan kepada sesiapa atau mendiami sendiri. Hasil daripada sewaan sebagai contoh, boleh tuan rumah untuk membayar hutang.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”