#593: Harta Mut’ah Selepas Bercerai Dengan Isteri

Soalan

Adakah layak bagi seorang isteri yang dicerai selepas bersetubuh itu mut’ah setelah dia mendapatkan mahar mithil?

 

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلِلْمُطَلَّقَاتِ مَتَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

MaksudnyaKepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut’ah menurut yang ma’ruf, sebagai suatu kewajiban bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 241)

Mut’ah berasal daripada kalimah al-Mata’ (المتاع). Ia bermaksud sesuatu yang menyeronokkan dan dapat dimanfaati. Manakala mut’ah dari sudut syara’ dalam bab ini ialah harta yang wajib diserahkan oleh suami kepada isterinya yang telah ditinggalkan sama ada dengan sebab penceraian atau dipisahkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/493-494)

Mut’ah wajib diberi kepada perempuan yang berkeadaan berikut:

  • Isteri yang diceraikan selepas persetubuhan.
  • Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa aqad nikah.
  • Isteri yang diperintah berpisah dengan suaminya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh suami murtad atau melakukan li’an (اللعان). Perpisahan tersebut berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan, dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalan aqad nikah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/493-494)

Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan, sedangkan mas kahwin telah disebut dalam aqad nikah, maka dia tidak berhak mendapat mut’ah kerana telah mendapat setengah daripada mas kahwin dan dia belum memberi sesuatu pun kepada suaminya.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ

MaksudnyaTidak ada kewajiban membayar (mahar) atas kamu, jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka dan sebelum kamu menentukan maharnya dan hendaklah kamu berikan suatu mut’ah (pemberian) kepada mereka, orang yang mampu menurut kemampuannya dan orang yang miskin menurut kemampuannya (pula), iaitu pemberian menurut yang patut, yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang berbuat kebajikan.

(Surah al-Baqarah: 236)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas dan hujah serta nas yang kami kemukakan, maka jelas isteri yang diceraikan selepas persetubuhan berhak mendapat mut’ah. Kami juga menekankan konsep ehsan kepada isteri yang diceraikan adalah antara akhlak yang mulia yang dipamerkan oleh bekas suami. Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

MaksudnyaTalaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.

(Surah al-Baqarah: 229)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman dalam melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi dan amanah-Nya termasuk hal ehwal kekeluargaan dengan sebaik mungkin. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 25 Februari 2022 bersamaan 23 Rejab 1443H