#5920: Pembelian Melalui Pertukaran Saham Syarikat yang Nilai Sebenarnya Belum Dapat Dipastikan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum pembelian tanah dan aset perniagaan (yang belum diselesaikan pembayaran sepenuhnya) melalui pertukaran saham syarikat C di mana nilai sebenar saham syarikat tersebut tidak dapat dipastikan buat masa kini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّـهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): ‘Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan.’”

(Surah al-Taubah: 105)

Secara asasnya, penentuan sama ada jual beli tersebut dibolehkan ataupun tidak menurut syara’ bergantung kepada rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Rukun asas bagi jual beli adalah:

  1. Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Sebagai contoh pihak yang melakukan akad dalam urusniaga, pasti adanya penjual dan juga pembeli.
  2. Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Contohnya barang yang ingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
  3. Sighah (lafaz akad): Ijab seperti mengatakan “aku jual”, dan juga qabul seperti mengatakan “aku beli”. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/15)

Dalam konteks persoalan ini, ia melibatkan rukun asas kedua iaitu al-Ma‘qud ‘Alaih (المَعْقُودُ عَلَيْهِ) atau perkara yang diakadkan, iaitu:

  • Harta yang ingin dibeli = tanah dan aset perniagaan.
  • Sesuatu yang dijadikan tukaran = saham syarikat C.

Antara syarat yang ditetapkan bagi rukun ini adalah tidak mempunyai sebarang unsur gharar atau kesamaran. Apabila saham syarikat C tersebut masih belum dapat dipastikan nilainya, maka ia termasuk dalam gharar yang dilarang dalam Islam. Telah thabit dalam hadith Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Natijahnya, proses jual beli harta pewarisan ini masih belum dapat diteruskan sehinggalah nilai saham C tersebut dapat dipastikan.

Berdasarkan pelaksanaan syarikat pada masa kini yang ingin diniagakan di pasaran saham, sudah pasti akan melalui proses yang telah ditetapkan oleh SC mengikut piawaian dan syarat-syarat tertentu. Jika ini semua telah berlaku, maka kami berpendapat, nilai saham C yang telah dipastikan, maka jualan tersebut dan transaksi akad tersebut telah keluar dari bentuk gharar dan dibolehkan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”