#5922: Solat Jenazah Ke atas Jenazah Yang Telah Lama Meninggal Dunia

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkah solat jenazah mereka yang telah lama meninggal.? Saya terlibat mengalihkan kubur arwah Datuk saya. Kerana projek pembinaan jambatan. Ketika dia meninggal, saya baru berusia 2 tahun. Bolehkah saya solat jenazah untuknya.? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, tidak dapat dinafikan lagi, solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Begitu juga mereka yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’”

Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud.”

Riwayat Muslim (946)

Hadith ini mengandungi kelebihan dan fadhilat ke atas orang yang hadir menyaksikan dan mendirikan solat jenazah, mengiringinya, membawanya dan mengebumikannya di tanah perkuburannya; sebagai suatu bentuk pengakuan kepada janji Allah dan mengharapkan ganjaran-Nya. Begitu juga mereka yang mendirikan solat jenazah hingga proses pengebumiannya dan langsung tidak meninggalkannya (sehinggalah selesai), baginya ganjaran atau pahala setara dengan dua qirat. Satu qirat setara dengan gunung yang besar  dan dalam riwayat yang lain, ia diumpamakan sebagai sebuah gunung Uhud. Namun, bagi mereka yang hanya menunaikan solat jenazah tetapi tidak mengiringi jenazah itu hingga ke kubur, separuh daripada ganjaran besar ini sudah lenyap atau tergugur daripadanya.

Selain itu, hadith ini juga mengandungi anjuran syarak untuk menghadiri proses pengebumian jenazah kerana terdapatnya manfaat besar hal itu. Ini termasuklah memenuhi hak orang yang meninggal dunia dengan berdoa buatnya, melakukan solat jenazah ke atasnya, memenuhi atau menunaikan hak ahli keluarganya dengan menenangkan dan menghiburkan mereka atas musibah kematian yang menimpa mereka, mendapat ganjaran dan pahala untuk mereka yang mengiringi jenazah, serta mendapat pengajaran di samping mengambil iktibar dengan melihat kematian dan kubur-kubur, dan lain-lain perkara daripada hukum yang Allah telah tetapkan dalam syariat-Nya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/219).

Dalam menjawab persoalan yang diajukan, kami menyatakan bahawa solat jenazah perlu dilakukan setelah dimandikan jenazah, dikafankan dan sebelum proses pengebumian dilakukan. Solat ini juga boleh dilaksanakan secara ghaib atau di tempat perkuburan bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk melaksanakan solat sebelum jenazah tersebut dikebumikan. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A.

أَنَّ رَجُلًا أَسْوَدَ أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ كَانَ يَقُمُّ المَسْجِدَ فَمَاتَ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ، فَقَالُوا: مَاتَ، قَالَ: أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ – أَوْ قَالَ: قَبْرِهَا – فَأَتَى قَبْرَهَا فَصَلَّى عَلَيْهَا

Maksudnya: “Ada seorang lelaki berkulit hitam atau perempuan berkulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid meninggal dunia. Lalu Nabi SAW bertanya mengenainya. Mereka menjawab: ‘Dia telah meninggal dunia.’ Baginda SAW bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku. Tunjukkan kepadaku di mana kubur lelaki itu.’ – Atau Baginda bersabda: ‘Kubur perempuan itu.’ – Lalu Baginda SAW menziarahi kuburnya dan bersolat jenazah ke atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (458)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, padanya menunjukkan kepada anjuran atau galakan (sunat) untuk mendirikan solat jenazah di tanah perkuburan bagi sesiapa yang terlepas atau tidak sempat menunaikan solat jenazah ke atas mayat itu, dan tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mengenai anjuran atau galakan tersebut. Hal ini kerana Rasulullah SAW sendiri telah mendirikan solat jenazah bagi wanita tersebut di tanah perkuburannya.

Imam Ahmad menyebutkan, siapakah yang ragu-ragu mengenai keharusan untuk solat jenazah di atas kubur sedangkan ia adalah suatu syariat yang sabit dan tidak sepatutnya mengingkarinya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/188-189).

Walau bagaimanapun, dalam isu ini, terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama berkenaan tempoh yang diharuskan untuk solat jenazah. Terdapat ulama yang berpendapat bahawa solat jenazah boleh dilakukan selama sebulan, manakala ada juga yang berpendapat bahawa ia boleh dilakukan sehingga jenazah tersebut reput. Di samping itu, terdapat juga ulama yang membenarkan solat ke atas jenazah walaupun telah berlalunya sebulan, tetapi mereka mensyaratkan bahawa individu yang ingin melaksanakan solat ke atas jenazah tersebut harus mencapai umur taklif pada masa kematian si mati.

Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, sesiapa yang terlepas solat jenazah sehingga telah dikebumikan, maka solat jenazah dikuburnya dan dibolehkan untuk solat di situ selama satu bulan. Begitulah pendapat ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW dan selain mereka. Ini juga adalah pendapat al-Auza‘i dan Imam al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni, 2/381).

Begitu juga Syeikh Daud al-Fatani ada menyatakan bahawa sah mengerjakan solat jenazah di atas kubur dan memadai solat di atas kubur walaupun jenazahnya sudah reput, jika jenazah itu belum lagi disolatkan dengan syarat kuburnya belum pernah digali sebelum itu. (Lihat Furu‘ al-Masa’il, hlm. 560).

Tambahan lagi, telah disebutkan dalam Fatawa Nur ‘Ala Darb oleh Ibn Uthaimin bahawa: Sebahagian ulama mengatakan bahawa hadnya ialah sebulan dan tidak dibolehkan solat di atas kubur setelah berlalunya sebulan. Ulama lain pula berkata, boleh solat walaupun tempoh telah melebihi sebulan dan ini adalah pandangan yang sahih dengan syarat si mati itu meninggal dunia dalam tempoh yang mana orang yang hendak melakukan solat itu berkeahlian untuk solat. Jika si mati itu meninggal sebelum orang yang hendak melakukan solat itu mencapai umur tujuh tahun, maka tidak perlu solat atasnya. Oleh itu, tidak disyariatkan untuk kita bersolat ke atas penduduk Baqi’ yang telah meninggal dunia sejak zaman dahulu. Yang betul ialah tiada had masa tertentu kecuali orang yang hendak solat itu mestilah seseorang yang sempat hidup pada zaman si mati, bermaksud si mati meninggal dunia ketika berumur tujuh tahun atau lebih. (Lihat Fatawa Nur ‘Ala Darb, 9/2)

Justeru, berdasarkan pandangan para ulama yang telah kami sebutkan sebelum ini, kami berpendapat bahawa adalah dibenarkan untuk mendirikan solat jenazah ke atas ahli keluarga atau kenalan di kubur bagi mereka yang tidak sempat untuk melaksanakan solat jenazah sebelum si mati dikebumikan, walaupun setelah sebulan dari pengebumian. Namun, syaratnya adalah individu tersebut harus sudah mencapai umur taklif pada masa kematian si mati. Jika individu tersebut belum mencapai umur taklif pada masa kematian si mati, maka tidak disyariatkan baginya untuk mendirikan solat jenazah tersebut.

Dengan demikian, kami menyarankan yang terbaik bagi saudara adalah untuk mendoakan keampunan kepada ahli keluarga yang telah lama meninggal dunia ketika menziarahi kubur mereka atau pada waktu-waktu yang lain. Selain itu, antara amalan yang boleh dilakukan untuk si mati adalah dengan menghadiahkan bacaan al-Quran, bersedekah atau berwakaf dan diniatkan untuk si mati.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Wallahua’lam.