#5927: Berkongsi QR Code bagi Meminta Duit Raya, Sedangkan Dia Mampu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan, sempena dengan hari raya ini, saya ingin bertanya tentang apakah hukum meminta duit raya bagi orang yang mampu seperti berkongsi QR code kita ke media sosial? Dan apakah status wang yang diterima tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.’

(Surah al-Munafiqun: 10)

Syeikh al-Maraghi menafsirkan, nafkahkanlah sebahagian kurniaan harta yang Kami berikan kepadamu sebagai tanda syukur terhadap nikmat-Nya dan kasih kepada hamba-Nya yang fakir. Simpanlah nafkah itu untuk hari perhitungan supaya kamu boleh memetik hasil daripada apa yang kamu telah amalkan. Janganlah kamu menyimpannya dalam peti-peti kamu tinggalkan untuk ahli warismu. Ini disebabkan ahli warismu mungkin akan menghabiskannya pada jalan yang tidak akan mendatangkan kepujian dan sanjungan kepadamu, malah mendatangkan cacian dan makian kepadamu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/7032).

Seterusnya, pada asalnya, seseorang yang meminta-minta harta melalui sedekah bagi tujuan mengumpulkan harta atau menjadi kaya, ataupun meminta sedekah tanpa sebarang keperluan dan hajat kepadanya. Ini semua adalah haram dan dilarang dalam Islam. Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَأَلَ اَلنَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا، فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا، فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta harta kepada manusia untuk memperkayakan dirinya, maka bererti hanya meminta bara api neraka. Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak.”

Riwayat Muslim (1041)

Maksud ‘meminta harta kepada manusia’ di sini ialah seseorang yang meminta bagi tujuan mengumpulkan harta dan kekayaan dirinya tanpa sebarang keperluan kepadanya. (Lihat Fath al-Mun‘in, 4/395)

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata Qadi ‘Iyadh bahawa yang dimaksudkan dengan ‘meminta bara api’ adalah diazabkan dengan api neraka. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/130).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Qabisah bin Mukhariq R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا قَبِيصَةُ إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لاَ تَحِلُّ إِلاَّ لأَحَدِ ثَلاَثَةٍ رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَهَا ثُمَّ يُمْسِكُ وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ اجْتَاحَتْ مَالَهُ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ حَتَّى يَقُومَ ثَلاَثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَا مِنْ قَوْمِهِ لَقَدْ أَصَابَتْ فُلاَنًا فَاقَةٌ فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ – أَوْ قَالَ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ – فَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ الْمَسْأَلَةِ يَا قَبِيصَةُ سُحْتًا يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا

Maksudnya: “Wahai Qabisah! Sesungguhnya meminta-minta tidak halal kecuali untuk tiga golongan sahaja. Lelaki yang menanggung bebanan maka halallah baginya meminta sehingga menyelesaikannya kemudian menyimpannya, lelaki yang ditimpa bencana sehingga binasa hartanya maka halal baginya meminta sehingga mencukupi bagi dirinya dalam meneruskan sisa kehidupan atau menyelesaikan keperluannya, lelaki yang ditimpa kefakiran sehingga datang tiga orang lelaki yang berakal dan bermaruah daripada kaumnya mengiyakannya yang dia telah ditimpa kefakiran maka layaklah untuknya meminta sehingga menyelesaikan keperluan hidupnya. Hai Qabisah! Selain daripada itu, meminta-minta itu dianggap sebagai haram dan memakannya adalah haram.”

Riwayat Muslim (1044) dan Abu Daud (1640)

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam turut menyebutkan bahawa haramnya meminta sesuatu tanpa keperluan, akan tetapi tujuannya adalah untuk mengumpulkan harta. Orang yang meminta-minta harta bagi tujuan mengumpulkannya tanpa sebarang hajat atau keperluan kepada harta tersebut, sebenarnya mengumpulkan bara api yang akan dinyalakan baginya di neraka Jahannam. Ini kerana dia mengumpulkan harta secara haram, dan harta yang dikumpulkannya dengan cara ini adalah haram, dan begitu juga wasilah atau medium yang digunakan untuk mengumpulkannya juga adalah diharamkan.

Dinyatakan di dalam Syarh al-Iqna‘ bahawa meminta zakat, sedekah atau bayaran kaffarah dan seumpamanya adalah diharamkan, jika baginya apa yang sudah mencukupi. Justeru, dapat difahami juga sesiapa yang meminta sesuatu kerana keperluan dan benar-benar berhajat kepadanya serta bukannya untuk mengumpulkan harta, maka hal itu adalah halal, dan cara untuk mendapatkannya juga adalah dibenarkan.

Selain itu, dalam kitab yang sama turut disebutkan, bagi sesiapa yang diharuskan untuk mengambil bahagiannya daripada zakat, sedekah, bayaran kaffarah dan seumpamanya, maka memintanya juga adalah diharuskan kerana dia meminta bahagian haknya yang diharuskan baginya. Adapun lafaz, “Oleh sebab itu, terserahlah kepadanya untuk meminta sedikit atau meminta banyak,” merupakan ancaman kepadanya kerana memintanya tanpa keperluan/hajat kepada harta tersebut, dengan menyatakan bahawa apa yang diambil dengan cara ini adalah bara api dari neraka Jahannam. Oleh itu, hendaklah dia mengambil sebanyak atau sedikit mengikut kadar yang dia minta di dunia. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/409-410).

Selain daripada itu, al-Syabramalisi juga ada menyatakan, jika seseorang menzahirkan dirinya miskin serba kekurangan, lalu ada orang memberikan kepadanya sedekah kerana mempercayai dirinya miskin, maka sebenarnya dia tidak berhak pun untuk mengambil harta yang diberikan itu. Ini kerana dia mengambilnya tanpa persetujuan atau redha orang yang memberikan harta itu, kerana dia hanya memberikan harta itu kepadanya disebabkan oleh sangkaannya bahawa orang itu adalah miskin. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

من سَأَلَ النَّاسَ وَلَهُ مَا يُغْنِيهِ جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَمَسْأَلَتُهُ فِي وَجْهِهِ خُمُوشٌ أَوْ خُدُوشٌ أَوْ كُدُوحٌ. قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا يُغْنِيهِ؟ قَالَ: خَمْسُونَ دِرْهَمًا أَوْ قِيمَتُهَا مِنَ الذَّهَبِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meminta-minta kepada manusia sedangkan dia berkecukupan, maka permintaannya itu akan datang pada hari kiamat sedangkan di mukanya terdapat tanda tercela bahawa dia meminta-minta. Ditanyakan: ‘Wahai Rasulullah, berapakah kadar yang memadai baginya?’ Baginda menjawab: ‘Lima puluh dirham atau emas yang seharga lima puluh dirham.’

Riwayat Abu Daud (1626); al-Tirmizi (650); al-Nasa’i (2592); Ibn Majah (1840); Ahmad (4440)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اَللَّهَ وَإِذَا اِسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاَللَّهِ

Maksudnya: “Apabila kamu meminta (sesuatu), mintalah kepada Allah, dan jika kamu meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (2516); Ahmad (2763)

Begitu juga sabda Nabi SAW:

لاَ يَنْبَغِي لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يُذِلَّ نَفْسَهُ

Maksudnya: “Tidak layak bagi seorang Mukmin merendahkan dirinya.

Riwayat al-Tirmizi (2254) dan Ibn Majah (3259)

Adapun jika seseorang itu memerlukan dan berjahat kepada sedekah, dan dia termasuk dalam golongan yang layak menerimanya kerana kefakiran, kecacatan, atau ketidakmampuan untuk bekerja, maka dibolehkan baginya untuk meminta sekadar yang diperlukan, dengan syarat dia tidak merendahkan dirinya, tidak mendesak dalam permintaan, atau menyakiti orang yang diminta, serta tidak mengetahui bahawa pemberian itu didorong oleh rasa malu pemberi kepada peminta atau kepada orang yang hadir. Jika ada sesuatu dari hal tersebut, maka tidak dibolehkan baginya untuk meminta dan mengambil sedekah, meskipun dia memerlukannya, dan haram untuk mengambilnya, dan wajib mengembalikannya kecuali jika dalam keadaan darurat yang mana dia takut akan binasa jika tidak mengambil sedekah. Ini berdasarkan hadith:

لاَ يَنْبَغِي لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يُذِلَّ نَفْسَهُ

Maksudnya: “Tidak layak bagi seorang Mukmin merendahkan dirinya.

Riwayat al-Tirmizi (2254) dan Ibn Majah (3259)

Jika dia takut binasa, maka wajib baginya untuk meminta jika dia tidak mampu bekerja. Jika dia meninggalkan meminta-minta dalam keadaan ini sehingga dia mati, maka dia dikira berdosa; kerana dia telah sengaja melemparkan dirinya ke dalam kebinasaan, dan meminta-minta dalam keadaan ini adalah setara dengan usaha mencari nafkah; kerana ia adalah cara yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa, dan tidak ada kehinaan dalam hal ini kerana darurat, dan darurat membolehkan perkara yang terlarang seperti memakan bangkai. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/97-98).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa perbuatan seseorang dengan sengaja meminta-minta sedekah, termasuklah yang dengan sengaja menyebarkan QR code akaun sendiri ke media sosial, bagi tujuan mengumpulkan harta atau menjadi kaya, ataupun meminta sedekah tanpa sebarang keperluan dan hajat kepadanya, adalah haram dan dilarang dalam Islam. Duit yang diperolehi melalui cara itu juga adalah haram.

Namun, jika seseorang itu menyebarkan QR code akaun sendiri ke media sosial bukan dengan niat ingin mengumpulkan harta atau menjadi kaya dengan harta sedekah yang dikumpulkan, sebaliknya dengan niat ingin bergurau senda atau seumpamanya dengan saudara mara dan sahabat-sahabatnya serta bukannya meminta-minta yang bersungguh-sungguh, maka kami berpendapat sebaik-baiknya elakkanlah perbuatan sedemikian, kerana bimbang turut tergolong dalam golongan yang dimaksudkan dalam hadith di atas. Bahkan perbuatannya itu sendiri juga secara tidak langsung telah menjatuhkan dan merendahkan maruah dirinya sendiri. Ini bertepatan dengan hadith daripada Huzaifah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَنْبَغِي لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يُذِلَّ نَفْسَهُ‏.‏ قَالُوا وَكَيْفَ يُذِلُّ نَفْسَهُ قَالَ:‏ يَتَعَرَّضُ مِنَ الْبَلاَءِ لِمَا لاَ يُطِيقُ

Maksudnya: “Tidak layak bagi seorang Mukmin merendahkan dirinya. Mereka bertanya: ‘Bagaimana dia boleh merendahkan dirinya?’ Baginda menjawab: ‘Dengan mendedahkan dirinya kepada musibah yang dia tidak mampu untuk menanggungnya.’

Riwayat al-Tirmizi (2254) dan Ibn Majah (3259)

Inilah yang kami lihat pendapat yang lebih berhati-hati dan berjaga-jaga (ihtiyat).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”