#5928: Hukum Mengambil Manfaat dari Harta yang Belum Selesai Bayaran Penuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum pembeli mengambil terus manfaat dari harta yang dibeli sebelum menyelesaikan pembayaran secara ansuran sepenuhnya (masih dalam bayaran tertangguh)?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah : 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya).(Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Pertamanya, pembelian dengan bayaran secara ansuran atau pembelian dengan bayaran tangguh ini disebutkan sebagai al-Bai‘ bi al-Taqsit (البَيْعُ بِالتَّقْسِيْط).

Menjawab persoalan di atas, pembeli dibolehkan untuk mengambil manfaat aset/harta yang dibeli sekalipun belum lagi menyelesaikan pembayaran pembelian secara ansuran sepenuhnya. Ini kerana barangan tersebut sudah pun menjadi miliknya berdasarkan kontrak pembelian  secara ansuran yang dilakukan. Kontrak pembelian secara ansuran dalam istilah fuqaha’ dipanggil sebagai al-Bai‘ bi al-Taqsit (البَيْعُ بِالتَّقْسِيْط) dan ia adalah suatu akad atau kontrak yang sah di sisi syara‘. (Lihat Bai‘ al-Taqsit: Tahlil Fiqhi wa Iqtisadi oleh Rafiq Yunus al-Misri, hlm. 73; al-Fiqh al-Manhaji, 4/10).

Dalil keharusan kontrak jual beli ini berdasarkan hadith:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اشْتَرَى طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ إِلَى أَجَلٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا مِنْ حَدِيدٍ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.”

Riwayat al-Bukhari (2068)

Jual beli dengan bentuk bayaran bertangguh ini juga disebut sebagai al-nasi’ah (النَّسِيئَةُ), dan ia diharuskan oleh syara‘. Ibn Hajar menukilkan kalam Ibn Battal, katanya: “Pembelian dengan cara al-nasi’ah (bayaran tangguh) dibenarkan berdasarkan persepakatan.” (Lihat Fath al-Bari, 4/302)

Tidak menjadi satu kesalahan untuk menggunakan manfaat daripada aset yang telah dibeli secara bertangguh, kerana aset tersebut telah dimiliki oleh pembeli secara sah berdasarkan akad yang telah dijalankan dan pembeli mempunyai hak sepenuhnya dalam mengurus harta tersebut. Oleh yang demikian, hak mengambil manfaat daripada aset atau harta tersebut adalah di bawah kehendak pembeli. Wallahu a‘lam

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”