#5928: Solat Taubat dan Dalilnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah  hukum solat taubat dan dalilnya mengikut pandangan ulama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah al-Tahrim: 8)

Ibn Kathir menyebutkan, iaitu taubat yang sebenarnya dengan tekad yang penuh, yang dapat menghapuskan pelbagai keburukan yang pernah ada sebelumnya, yang akan menyatukan dan mengumpulkan orang yang bertaubat, juga menahan dirinya daripada pelbagai perbuatan hina. Disebabkan itu, para ulama’ menyebut: Taubat nasuha adalah bertekad untuk meninggalkan dosa yang akan datang dan menyesali dosa-dosa yang telah lalu, dan kemudian berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengerjakannya kembali pada masa depan. Kemudian, jika dosa tersebut berkait dengan hak manusia, hendaklah dia kembalikan (hak) apa yang telah dia ambil. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/60-61)

Terdapat beberapa dalil yang menunjukkan berkenaan Solat Taubat, antaranya:

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Siddiq R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya:Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini: ‘وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ’ (Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah). [Surah Ali ‘Imran: 135].

Riwayat Abu Dawud (1521), al-Nasa’i (417), Ibn Majah (1395) al-Baihaqi (7078) dan al-Tirmizi (406). Al-Tirmizi menilainya sebagai hasan gharib. Hadith ini dinilai sahih sebagaimana dalam Sahih al-Targhib (1621)

Nas ini menjadi dalil tentang wujudnya solat taubat. Inilah juga pendapat Sayyid Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/211).

Berdasarkan hadith di atas, Baginda SAW memberikan suatu cara untuk seseorang yang telah melakukan dosa itu membersihkan diri mereka dari perbuatan tersebut. Iaitu dengan cara mengambil wuduk dengan sempurna, kemudian menunaikan solat dua rakaat dan dituruti dengan istighfar kepada Allah SWT.

Ibn al-Jauzi dalam tafsirnya menyatakan, terdapat dua pendapat tentang maksud ‘mereka mengingati Allah’, iaitu:

Pertama: Zikir Lisan, iaitu istighfar sepertimana pendapat Ibn Mas‘ud dan ‘Ata’.

Kedua: Zikir Hati, di mana maksudnya mengandungi lima pendapat:

  • Zikir ketika datang kepada Allah, seperti pendapat al-Dhahhak.
  • Zikir bertanya dan memohon kepada-Nya hari kiamat. Inilah pendapat al-Waqidi.
  • Zikir mengingat balasan azab Allah yang dikenakan ke atas mereka, seperti kata Ibn Jarir.
  • Zikir tentang larangan Allah terhadap mereka.
  • Zikir keampunan Allah. Kedua-dua pendapat akhir ini adalah pendapat Abu Sulaiman al-Dimasyqi.

Berkenaan dengan ‘berterusan’ pula, terdapat tiga pendapat:

  • Bahawa ia terjatuh dalam dosa ketika begitu prihatin dengannya. Inilah mazhab Mujahid.
  • Thabit di atasnya tanpa istighfar. Inilah mazhab Qatadah dan Ibn Ishaq.
  • Dia meninggalkan istighfar, seperti kata al-Suddi.

Menurut Syeikh al-Maraghi, susunan ayat ini merupakan lanjutan daripada susunan ayat yang sebelumnya. Tujuan ayat ini adalah untuk menyenangkan hati orang yang bertaubat dalam usaha membersihkan hati mereka, memberi khabar gembira bahawa adanya rahmat Allah Yang Maha Luas, keampunan-Nya yang dekat, serta menghargai usaha mereka. Mereka mengetahui bahawa hanya dengan sifat rahmat dan kurniaan-Nya orang yang berdosa itu tidak lagi mempunyai perasaan takut dan kerana rahmat-Nya juga orang yang bertaubat dari dosanya menjadi seperti orang yang tidak berdosa.

Seseorang yang ingin perlindungan daripada-Nya, menjauhi sebarang perbuatan dosa sedaya upaya yang mungkin, maka Allah SWT akan mengampuninya dan menghapuskan segala dosanya, meskipun dosanya begitu besar. Ini kerana pengampunan-Nya adalah lebih besar dan rahmat-Nya lebih luas. Ayat ini mengandungi dorongan kepada hamba-Nya agar segera bertaubat dan memberi pesanan agar jangan mudah berputus asa dan patah hati. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/63).

Ibn Qudamah dalam al-Mughni menyebut tentang Solat Taubat riwayat daripada Ali R.A, katanya: “Abu Bakar telah menceritakan kepadaku dan benarlah beliau seperti riwayat di atas.” (Lihat al-Mughni, 3/327).

Pendapat ulama’ tentang Solat Taubat

Ulama’ mazhab yang empat bersepakat bahawa Solat Taubat adalah sunat. Ini berdasarkan kepada dalil hadith Abu Bakar dan juga Abu Darda’ R.Anhuma.

Walaupun begitu ada yang menganggap bahawa dengan bersolat itu boleh menghapuskan dosa  apabila dilakukan dengan seelok mungkin berdasarkan umum hadith Nabi SAW.

Berdasarkan pandangan ulama’ menunjukkan bahawa boleh dilakukan Solat Taubat. Ini kerana umum hadith Nabi Muhammad SAW seperti yang dinyatakan di atas.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”