#5930: Menyapu Muka Selepas Berdoa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat nas disuruh kita menyapu muka selepas kita berdoa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja me-merintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Menjawab persoalan di atas, Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا دَعَوْتَ اللَّهَ فَادْعُ بِبُطُونِ كَفَّيْكَ، وَلَا تَدْعُ بِظُهُورِهِمَا، فَإِذَا فَرَغْتَ فَامْسَحْ بِهِمَا وَجْهَكَ

Maksudnya: “Apabila kamu memohon kepada Allah mohonlah dengan tapak-tapak tangan dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tangan kanan.”

Riwayat Ibn Majah (1181). Hadith ini dinilai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (492).

Umar bin Al-Khatab RA berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila baginda mengangkat kedua belah tangannya ketika berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua belah tangan tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (169) dan Ahmad (178). Al-Tirmizi menyebut: ‘Hadith sahih gharib.’ Ibn Hajar dalam Takhrij Misykah al-Masabih (2/413)  menyebutnya hasan. Manakala Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar (491) menyatakan sanadnya dhaif

Daripada hadith Yazid Abi Saib RA, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا دَعَا فَرَفَعَ يَدَيْهِ مَسَحَ وَجْهَهُ بِيَدَيْهِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW, adalah apabila berdoa, maka Baginda akan mengangkat tangannya dan menyapu wajahnya dengan tangannya.”

Riwayat Abu Dawud (1492) dan Ahmad (17688). Sanad hadith ini dinilai dhaif berdasarkan Irwa’ al-Ghalil (2/178)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan dibolehkan kepada kita untuk menyapu muka, bahkan kami berpendapat adalah disunatkan. Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”