Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah seseorang yang meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar tidak mampu memelihara Islam?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Ali ‘Imran: 104)
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebutkan bahawa ayat di atas mengandungi perintah untuk sebahagian daripada anggota ummah, untuk melakukan perintah yang terkandung di dalam ayat. Tanggungjawab ini diletakkan sebagai suatu fardhu kifayah, iaitu kewajipan yang wajib disempurnakan sebahagian daripada sesuatu kelompok, sekiranya tiada yang melakukan, maka berdosalah seluruh ahli dari kelompok itu. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 4/165)
Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa‘di mengatakan, ini merupakan bimbingan dari Allah SWT untuk orang-orang beriman agar adanya sekumpulan dari kalangan mereka yang tampil ke hadapan untuk menyampaikan dakwah ke jalan Allah SWT serta membimbing masyarakat kepada agama. Termasuklah dalam khitab ayat ini golongan ulama’ dan pendidik dalam bidang agama, mereka yang memberi peringatan dan mengajak penganut agama lain kepada agama Islam, dan mengajak golongan yang menyimpang ke jalan istiqamah. Termasuk juga orang-orang yang berjihad di jalan Allah SWT, dan mereka yang ke hadapan untuk meninjau keadaan masyarakat serta menggesa mereka menunaikan ketetapan syara‘ seperti solat 5 waktu, menunaikan zakat, berpuasa, menunaikan haji, dan hukum-hakam Islam yang lain. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 142)
Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata: Seorang alim tidak mampu memelihara Islam jika dia meninggalkan penerangan berkenaan amar makruf dan nahi mungkar. Sebaliknya dia hanya sibuk dengan amalan fadha’il dalam Islam seperti zikir dan adab.
Allah SWT menjadikan seseorang itu yang memelihara agama sifatnya bukan hanya menjaga dan mengawal tingkap-tingkapnya sahaja, tetapi mengabaikan pintu-pintunya. Rasulullah SAW pernah bersabda:
لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ، وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ، أَوْ لَيُسَلِّطَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ شِرَارَكُمْ، ثُمَّ يَدْعُو خِيَارَكُمْ فَلَا يُسْتَجَابُ لَهُمْ
Maksudnya: Sama ada kamu melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau kamu dikalahkan oleh orang jahat di kalangan kamu. Ketika itu orang baik di kalangan kamu berdoa, maka tetap tidak dimakbulkan doanya.
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/99) dan al-Bazzar (8510)
Semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada kita untuk mengikut jalan kebenaran. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)