#5937: Solat Tahiyyatul Masjid dan Jawab Azan Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah memasuki masjid ketika bilal sedang azan Jumaat. Mana yang patut saya dahulukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Qatadah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: “Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia rukuk (solat) dua rakaat sebelum duduk.”

Riwayat al-Bukhari (444), Muslim (714), Abu Dawud (467), Ibn Majah (1013) dan al-Tirmizi (316)

Imam al-San‘ani di dalam penjelasannya terhadap hadith ini, beliau menyebutkan bahawa hadith ini merupakan satu larangan untuk duduk ketika masuk ke dalam masjid sebelum menunaikan solat dua rakaat. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram Min Adillah al-Ahkam, 2/62)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa para ulama’ sepakat bahawa solat sunat tahiyatul masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/52)

Dalam riwayat yang lain, Baginda SAW bersabda:

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيُصَلِّ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Maksudnya: Apabila seseorang di kalangan kamu memasuki masjid, hendaklah dia bersolat dua rakaat sebelum duduk.”

Riwayat Ibn Majah (1013) dan Ibn Hibban (2498)

Jabir juga meriwayatkan bahawa Sulaik al-Ghatafani pernah datang ke masjid pada hari Jumaat ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah lalu dia duduk. Baginda berkata kepadanya:

يَا سُلَيْكُ! قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا. ثُمَّ قَالَ: إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Wahai Sulaik, berdiri dan bersolatlah dua rakaat dan pendekkanlah kedua-duanya kemudian Baginda berkata lagi: Jika seseorang di kalangan kamu datang pada hari Jumaat sedangkan imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dan memendekkan kedua-dua rakaat tersebut.”

Riwayat Muslim (875), Ibn Hibban (2502) dan Ibn khuzaimah (1835)

Menjawab persoalan di atas, jika seseorang itu masuk ke dalam masjid sedangkan imam sudah naik ke atas mimbar atau sudah berkhutbah, sunat baginya untuk melakukan tahiyatul masjid tetapi meringkaskannya. Imam al-Syarwani ada menyebutkan dalam  hasyiahnya bahawa dihukumkan sebagai makruh tahrim secara ijmak ulama’ bagi seseorang yang menghadiri solat Jumaat untuk melakukan solat sunat selepas khatib sudah naik ke atas mimbar dan duduk di atasnya, sekalipun dia tidak dapat mendengar khutbah — kerana jauh dan lain-lain sebab. Pengecualian diberikan bagi solat sunat tahiyatul masjid bagi orang yang baru masuk masjid sedangkan khatib sudah berada di atas mimbar. Maka sunat baginya untuk melaksanakan solat sunat tahiyatul masjid dan wajib meringkaskannya. Ini sekiranya dia sudah melakukan solat sunat Jumaat — yakni qabliyah. Jika belum, maka memadai dia mendirikan solat sunat Jumaat sahaja, dan sunat tahiyyatul masjid itu tercapai tanpa dia perlu menambah lebih daripada dua rakaat. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/455).

Hal ini juga berdasarkan hadith, daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu sampai ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka dia hendaklah mendirikan solat dua rakaat yang ringkas dan sempurna.”

Riwayat Muslim (875)

Sekiranya khatib masih belum mengakhiri khutbahnya. Jika demikian, dia hendaklah menunggu solat fardhu didirikan. Apabila dia terus duduk maka solat sunat dua rakaat tersebut terluput dan tidak sah jika dia melakukannya semula. Malah dia wajib terus duduk mendengar khutbah sehingga solat Jumaat didirikan. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 2/210)

Namun begitu, kami berpendapat bahawa sekiranya seseorang itu masuk ke dalam masjid ketika azan kedua sedang berkumandang, keadaan tersebut tidak sama dengan masuk ketika imam sedang berkhutbah. Kami cenderung untuk mengatakan bahawa lebih afdal dia terus solat tahiyatul masjid dan meninggalkan fadhilat menjawab azan yang kedua. Ini bagi meraikan fadhilat mendengar khutbah secara sempurna yang lebih utama berbanding menjawab azan. Inilah sepertimana dinyatakan dalam mazhab Syafi‘i.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)