#5939: Musafir Secara Berjemaah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat larangan musafir secara berseorangan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith Nabi SAW, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي الوَحْدَةِ مَا أَعْلَمُ، مَا سَارَ رَاكِبٌ بِلَيْلٍ وَحْدَهُ

Maksudnya:Seandainya manusia mengetahui apa yang terdapat sekiranya melakukan perjalanan sendirian, sebagaimana yang aku ketahui, nescaya tidak akan ada seorang penunggang pun berjalan di malam hari seorang diri.”

Riwayat al-Bukhari (2998)

Hadith ini menjelaskan perbuatan melakukan perjalanan atau safar secara bersendirian itu adalah suatu yang tidak disukai. Boleh jadi akan ada bahaya atau halangan yang menimpanya di tengah perjalanan lalu dia tidak mendapat sebarang bantuan atau pertolongan.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, beliau berkata:

الرَّاكِبُ شَيْطَانٌ، وَالرَّاكِبَانِ شَيْطَانَانِ، وَالثَّلَاثَةُ رَكْبٌ

Maksudnya:Orang yang berkenderaan (melakukan perjalanan) seorang diri itu seperti syaitan, jika berkenderaan berdua maka seperti dua syaitan, manakala jika bertiga maka itulah yang dinamakan perjalanan (yang sepatutnya).

Riwayat Abu Dawud (2607) dan al-Tirmizi (1674). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (2675) menyatakan bahawa sanad hadith ini hasan.

Al-Khattabi dalam Ma‘alim al-Sunan menyatakan: “Maknanya, melakukan perjalanan secara sendirian di atas muka bumi adalah sebahagian daripada perlakuan syaitan. Iaitu sesuatu yang dibawa dan diajak oleh syaitan, sehingga mereka yang melakukan demikian pun dikatakan seperti syaitan. Demikian pula mereka yang hanya berdua tanpa diiringi orang ketiga, manakala jika bertiga maka itulah yang dinamakan perjalanan (yang sepatutnya). Maknanya, jika permusfiran itu bertiga, mereka akan dapat saling membantu dan tolong-menolong dalam mengharungi kesukaran, halangan-halangan dan lebih mampu mengelakkan pelbagai bahaya dalam perjalanan.” (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 2/260).

Begitu juga dengan melantik ketua rombongan ketika bermusafir. Hal ini sebagaimana hadith Abu Sa’id al-Khudhri dan Abu Hurairah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا خَرَجَ ثَلَاثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ

Maksudnya:Apabila tiga orang keluar melakukan perjalanan musafir, maka hendaklah mereka melantik seorang ketua dari salah seorang mereka.”

Riwayat Abu Dawud (2608). Imam al-Nawawi dalam Tahqiq Riyadh al-Salihin (351) bahawa sanad hadith ini hasan

Walaupun begitu, kami berpendapat, jika musafir dalam jarak dekat, dan sudah menjadi uruf (adat kebiasaan) dalam keselamatan seperti ke tempat kerja walaupun melebihi dua marhalah, maka tidak semestinya berjemaah. Akan tetapi, jika musafir yang jaraknya jauh dan merasa tidak aman, maka hendaklah mengikut pesanan Rasulullah SAW ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”