#5942: Bahaya Sumpah Palsu

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah sumpah palsu dilaknat oleh Allah SWT dan mendapat pembalasan yang amat pedih?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

sesungguhnya bersumpah dengan sumpah palsu adalah termasuk dalam dosa besar.

Imam al-Zahabi berkata: “Sumpah palsu (ghamus) adalah sumpah yang dilakukan oleh seseorang yang sengaja berdusta dalam sumpahnya. Disebut ghamus (menjerumuskan) kerana sumpah ini menjerumuskan orang yang bersumpah itu ke dalam dosa. Ada yang menyebut, menjerumuskannya ke dalam api neraka. (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 102).

Dalam kitab al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah disebut, sumpah palsu adalah haram dan ia termasuk dalam dosa besar tanpa ada perselisihan ulama’. Ini kerana perbuatan tersebut merupakan tindakan yang sangat biadab terhadap Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/286).

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْيَمِينُ الْغَمُوسُ قُلْتُ وَمَا الْيَمِينُ الْغَمُوسُ قَالَ الَّذِي يَقْتَطِعُ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ هُوَ فِيهَا كَاذِبٌ

Maksudnya: “Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah! Apakah dosa-dosa besar itu?’ Baginda SAW menjawab: ’Menyekutukan sesuatu dengan Allah.’ Dia bertanya lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda SAW menjawab: ‘Kemudian derhaka kepada kedua ibubapa.’ Dia bertanya lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda SAW menjawab: ‘al-Yamin al-Ghamus (sumpah dusta secara sengaja).’ Aku bertanya: ‘Apakah al-Yamin al-Ghamus itu?’ Baginda SAW menjawab: ’(Sumpah palsu) yang menjadikan dia mengambil harta seorang Muslim.’”

Riwayat al-Bukhari (6255)

Manakala dalam hadith daripada Abu Bakrah R.A, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ ثَلَاثًا قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَجَلَسَ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَقَالَ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ قَالَ فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا لَيْتَهُ سَكَتَ

Maksudnya: “Mahukah aku khabarkan kepada kamu sebesar-besar dosa besar?” Baginda mengucapkannya tiga kali. Para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah (syirik) dan derhaka kepada kedua ibubapa.” Baginda duduk sebelumnya beliau bersandar, lalu Baginda bersabda lagi, “Ingat, dan juga perkataan palsu,” Perawi berkata, “Baginda terus mengulangi ucapannya, hingga kami berharap Baginda diam.”

Riwayat al-Bukhari (5918) dan Muslim (87)

Melakukan kedustaan atau fitnah atas orang lain, merupakan dosa besar yang diancam dengan ancaman mengerikan.

مَنْ قَالَ فِى مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيهِ أَسْكَنَهُ اللَّهُ رَدْغَةَ الْخَبَالِ حَتَّى يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ

Maksudnya: “Sesiapa mengatakan tentang seorang Mukmin sesuatu yang tidak ada padanya, Allah akan menempatkannya di dalam radghah al-khabal (رَدْغَةَ الْخَبَالِ) selama mana dia tidak keluar meninggalkan dosa apa yang dia katakan.

Riwayat Ahmad (5544) dan Abu Dawud (3599) dan al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (7267)

Imam al-Khattabi menafsirkan “رَدْغَةَ الْخَبَالِ” sebagai peluh dan lendir ahli neraka. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/168).

Kami mengambil kesempatan di sini untuk memberi peringatan kepada diri kami sendiri dan juga kepada rakan-rakan di luar sana untuk menginsafi yang sumpah palsu adalah antara dosa-dosa besar yang wajib kita jauhi.

Semoga Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita untuk menjadikan diri kita hamba-hamba-Nya yang soleh dan mentaati-Nya. Amin.[1]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat juga al-Kafi #1077: Terlanjur Bersumpah Palsu, Apa Perlu Dilakukan.