#5944:  Mengadakan Adat Potong Kambing Bagi Mengelakkan Berlakunya Perkara Buruk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya ,jika sesebuah tapak pembinaan yang baru diteroka (jika di dalam hutan dan sebagainya), kontraktor biasanya akan mengamalkan adat ‘potong kambing’ iaitu membuat kenduri di tapak bina untuk mengelakkan perkara buruk berlaku sepanjang tempoh pembinaan.. Walaupun amalan ini biasanya upacara bacaan yasin dan seterusnya makan kambing golek kepada semua pekerja tapak, dan kadang-kadang perbelanjaannya diberi oleh kontraktor-kontraktor bukan Islam, apa hukum mengadakan amalan ini? Adakah ia syirik kerana kepercayaan ini, walaupun amalannya tidak bertentangan (baca yasin dan sebagainya) ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Syirik

Menurut al-Zabidi dalam (Taj al-‘Arus), 7/148, syirik dari sudut bahasa bermaksud kufur.   Kata Ibn Faris dalam Mu’jam Maqayis al-Lughah, (3/265) , “Huruf syin (ش), ra (ر), dan kaf (ك) adalah akar kata yang memiliki dua makna asal iaitu:

  • Penyertaan/perbandingan dan lawan bagi bersendirian.
  • Perpanjangan dan kelurusan

Dari makna yang pertama diambil kata syarikah iaitu sesuatu yang ada (dimiliki) oleh dua orang, tidak khusus bagi salah satunya. Dikatakan pula (شاركت فلانا في الشيء) apabila aku telah menjadi sekutu baginya. Dan dikatakan (أشركت فلانا) apabila aku menjadikannya sebagai sekutu bagimu.

Dari sudut istilah, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di menyebut: Syirik adalah menjadikan bagi Allah sekutu yang mana dia berdoa kepadanya sebagai dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya, atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan kepadanya satu jenis daripada jenis-jenis ibadah. (Lihat al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid, hlm. 24)

Dosa Syirik

Syirik adalah dosa besar yang paling besar. Oleh itu, ianya diletakkan sebagai dosa besar yang pertama daripada 76 dosa besar yang dihimpunkan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Kaba’ir. Maka jelas syirik merupakan perkara yang sangat diharamkan dalam Islam.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَىٰ إِثْمًا عَظِيمًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”

(Surah al-Nisa’: 48)

Ibn Kathir dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, (3/129) berkata: “Allah Ta’ala tidak akan mengampuni dosa syirik yaitu ketika seorang hamba bertemu Allah dalam keadaan berbuat syirik.” Menurut Ibn al-Jauzi, Allah tidak akan mengampuni orang yang musyrik yang mati dalam kesyirikan. Ini bermaksud, jika dia meninggal dunia dalam keadaan sempat bertaubat, maka dia akan selamat daripada azab neraka. ( Lihat Zad al-Masir, 2/103)

Syirik (mempersekutukan Allah) dikatakan dosa besar yang paling besar dan kezaliman yang paling besar, kerana ia menyamakan makhluk dengan Khaliq (Pencipta) pada hal-hal yang khusus bagi Allah SWT. Sesiapa yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu, maka dia telah menyamakannya dengan Allah dan ini sebesar-besar kezaliman. Zalim adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. (Lihat ‘Aqidah al-Tauhid, hlm. 74)

Rasulullah SAW bersabda:

أَكْبَرُ الْكَبَائِرِ الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ

Maksudnya: “Dosa besar yang paling besar, adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah.”

Riwayat al-Bukhari (6919)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan bahawa melakukan adat ‘potong kambing’, yang merujuk kepada tradisi mengadakan kenduri di lokasi yang baru diterokai  dengan keyakinan bahawa tradisi tersebut dapat menangkis malapetaka atau kejadian buruk, adalah suatu keyakinan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ini disebabkan amalan tersebut membawa kepada tindakan syirik, iaitu keyakinan bahawa terdapat kuasa lain selain Allah yang mampu memberikan manfaat atau membahayakan. Oleh itu, segala sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam adalah tertolak.

Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin Ummu ‘Abdillah, Aisyah R.Anha, beliau  berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدٌّ، وَفِيْ رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُناَ؛ فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” Manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan, maksud perkara baharu yang diadakan ada dua jenis:

  • Yang bukan daripada agama ini seperti perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bidaah yang sesat.
  • Yang termasuk dalam agama ini dan disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil maka ia adalah betul dan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik. (Lihat al-Kafi dan Tatmim al-Kafi Syarah Hadis 40 oleh Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 66).

Oleh yang demikian, suasana persekitaran dan adat resam yang tidak menepati kehendak akidah Islam boleh menjurus kepada perlakuan khurafat. Justeru, para ulama perlu menasihati umat Islam supaya meninggalkan adat resam atau kepercayaan yang bercanggah dengan Islam dan berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar.  (Lihat Tafsir al-Bayan, 6/193-195)

Ibn ‘Ajibah berkata: “Jika kamu tahu kemuliaan, kemurahan, kesempurnaan dan ihsan-Nya, janganlah kamu meminta kepada yang lain sedangkan Dialah (Allah) yang mengurniakannya kepadamu.” Sepertimana kata pengarang:

لَا تَرْفَعَنَّ إِلَى غَيْرِهِ حَاجَةً هُوَ مُورِدُهَا عَلَيْكَ فَكَيْفَ يَرْفَعُ غَيْرَهُ مَا كَانَ هُوَ لَهُ وَاضِعًا؟ مَنْ لَا يَسْتَطِيعُ أَنْ يَرْفَعَ حَاجَةً عَنْ نَفْسِهِ فَكَيْفَ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَكُونَ لَهَا عَنْ غَيْرِهِ رَافِعًا؟

Maksudnya: “Jangan mengadu atau meminta sesuatu hajat kepada yang lain selain Allah sebab Dia sendiri yang memberi atau menurunkan hajat itu kepadamu. Maka bagaimanakah sesuatu yang lain selain Allah akan dapat menyingkirkan bencana yang Dia sendiri menimpakan orang yang tidak mampu mengangkat hajat daripada dirinya sendiri, maka bagaimanakah akan dapat menyingkirkan bencana yang lainnya?” (Lihat al-Bahr al-Mudir fi Tafsir al-Quran al-Majid, 3/17 )

Justeru, kami katakan apa-apa amalan yang bertentangan  dengan ajaran islam seperti amalan khurafat ini wajib dijauhi walaupun ia dihiasi dengan ritual-ritual agama seperti bacaan yasin dan sebagainya.  Hal ini merosakkan akidah dan boleh membawa kepada kekufuran. Sebaliknya, seorang Muslim hendaklah bergantung sepenuhnya kepada Allah dengan berdoa dan memohon perlindungan  sesuai dengan ajaran agama Islam.

Kami juga katakan, sebaik-baiknya betulkan niat untuk menjamu orang-orang miskin, anak yatim, dan lain-lain lagi semata-mata kerana Allah. Nescaya kita diberi pahala dan membawa keberkatan dalam hidup. Benarlah firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا (8) إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا (9) إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا

Maksudnya: “Mereka mendahulukan memberi makan kepada golongan miskin, anak yatim serta tawanan, walaupun mereka berhajat dan menyukainya. Sambil berkata dalam hati, “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu tidak lain  hanyalah semata-mata kerana Allah, tidak mengharapkan daripada kamu balasan mahupun ucapan terima kasih.” Sesungguhnya kami takut kepada Tuhan kami pada suatu hari yang wajah-wajah menjadi muram, lagi berkerut.”

(Surah al-Insan: 8-10)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.