#5946: Solat Raya di Padang atau di Masjid?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Sebenarnya, solat hari raya dilakukan di padang atau di masjid? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kautsar: 2)

Ulama’ tafsir menyatakan maksud sembahyang dalam ayat tersebut ialah solat Aidiladha. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke musalla  (tempat sembahyang) pada hari Aidilfitri dan Aidiladha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian, Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu, Baginda pun bersurai.”

Riwayat al-Bukhari (956) dan Muslim(889)

Dalam menjawab persoalan di atas, solat hari raya boleh didirikan sama ada di masjid atau di kawasan lapang. Walau bagaimanapun, yang afdhal antara kedua-duanya ialah tempat yang dapat menampung lebih ramai jemaah. Jika kedua-dua tempat tersebut sama luasnya, maka bersolat di masjid afdhal daripada bersolat di kawasan lapang. Ini kerana masjid lebih mulia daripada tempat yang lain dan para jemaah yang bersolat di masjid akan mendapat pahala beribadat, di samping pahala berada di dalamnya.

Namun, peristiwa Nabi SAW telah bersolat hari raya di kawasan lapang semata-mata disebabkan keadaan masjidnya ketika itu sempit dan tidak dapat menampung para jemaah,  sedangkan sebagaimana yang diketahui, solat hari raya disyariatkan kepada semua mukallaf lelaki dan perempuan melakukannya secara berjemaah.

Musolla ialah kawasan lapang seperti padang dan sebagainya. Kebiasaannya musolla yang menjadi tempat solat Rasulullah SAW untuk hari raya atau solat istisqa’ ialah di kawasan lapang atau padang. Ia bukanlah tempat solat lima waktu atau solat Jumaat yang tetap seperti masjid. Bahkan musolla ini boleh diubah tempatnya pada bila-bila masa.

Imam al-Nawawi pula berkata dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (2/180):

الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: “Musolla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama’”.

Jumhur ulama’ menyebut adalah sunat bagi kita melakukan solat hari raya fitrah dan korban di Musolla (tempat yang lapang atau padang).

Imam al-Nawawi berkata: “Hadith ini menjadi dalil bahawa sunat mengerjakan solat hari raya di tempat yang lapang dan ia lebih afdhal daripada solat di masjid.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/177)

Begitu juga yang disebut oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari (2/450). Akan tetapi bagi Mazhab al-Syafi’ie , tidak mengapa dilakukan solat hari raya di masjid sebagaimana yang kita lihat pada hari ini. Hal ini kerana menunaikan solat hari raya lebih afdhal di masjid kecuali jika keadaan masjid itu sempit, maka ketika itu barulah afdhal ditunaikan solat di kawasan lapang. Nabi SAW menunaikan solat hari raya di kawasan lapang kerana masjid baginda sempit dan tidak mampu menampung semua jamaah yang ramai. (Lihat al-Umm, 1/267)

Justeru, apabila ada masjid yang besar dan dapat menampung semua jemaah dengan selesa dan tenang, maka kelebihan bersolat di kawasan lapang tidak bererti lagi.

Mikhnaf bin Sulaim R.A (seorang sahabat Nabi SAW) berkata: “Keluar pada masa hari raya fitrah seperti mengerjakan umrah dan keluar pada masa hari raya korban seperti melakukan haji.”  (Riwayat Abd al-Razzaq di dalam al-Musannaf, no. 5666)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)