Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh nyatakan pada kami dalil disunatkan takbir pada dua hari Raya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, sunat bertakbir bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji apabila matahari terbenam pada malam Aidilfitri dan Aidiladha hinggalah imam mula bersolat hari raya. Ia dilafazkan dengan suara yang nyaring sama ada di rumah, di jalan, di masjid dan di tempat-tempat awam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Baqarah: 185)
Ulama’ tafsir mengatakan bahawa ayat ini adalah berkenaan dengan takbir Aidilfitri, dan takbir Aidiladha diqiaskan kepada takbir Aidilfitri tersebut.
Semasa Aidiladha, semua orang Islam sama ada yang mengerjakan haji ataupun tidak, sunat bertakbir selepas setiap solat fardu atau solat sunat, bermula dari solat Subuh hari Arafah hinggalah selepas Asar hari Tasyriq yang akhir. Hari Tasyriq ialah tiga hari yang berikut selepas hari Aidiladha.
Adapun semasa hari raya Aidilfitri, tidak sunat bertakbir selepas bersolat, malah sunatnya terputus apabila imam memulakan solat sunat hari raya, sebagaimana yang telah disebutkan.
Semua hal tersebut berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW dan amalan yang diteruskan oleh para sahabatnya, sebagaimana hadith yang berikut:
Daripada Ali dan Ammar R.Anhuma, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ يَوْمَ عَرَفَةَ صَلاَةَ الغَدَاةِ، وَيَقْطَعُهَا صَلاَةَ العَصْرِ آخِرَ أَيَّاِم التَّشْرِيْقِ
Maksudnya: “Nabi SAW bertakbir pada hari Arafah selepas solat Subuh dan memberhentikannya selepas solat Asar hari Tasyriq yang akhir.”
Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (1125). Al-Hakim mengatakan bahawa sanad hadith ini sahih dan dia tidak mendapati sebarang kecacatan yang dikaitkan dengan semua periwayatnya. Manakala, al-Dhiya’ al-Maqdisi menyatakan di dalam al-Sunan wa al-Ahkam (2/420) bahawa pada sanad hadith ini terdapat Amru bin Syamr daripada Jabir al-Ja’fi, kedua-dua mereka ini dhaif.
Dalam riwayat lain:
كَانَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يُكَبِّرُ فِى قُبَّتِهِ بِمِنًى فَيَسْمَعُهُ أَهْلُ الْمَسْجِدِ، فَيُكَبِّرُونَ وَيُكَبِّرُ أَهْلُ الأَسْوَاقِ، حَتَّى تَرْتَجَّ مِنًى تَكْبِيرًا. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، وَمَجْلِسِهِ وَمَمْشَاهُ تِلْكَ الأَيَّامَ جَمِيعًا
Maksudnya: “Umar R.A bertakbir di khemahnya di Mina, lalu terdengar oleh jemaah di masjid. Mereka pun turut bertakbir dan diikuti pula oleh orang ramai yang berada di tempat awam hingga Mina gegak gempita dengan suara takbir. Ibn Umar telah bertakbir sepanjang masa dia berada di Mina, selepas solat, ketika berehat di khemahnya, ketika duduk dan ketika berjalan pada hari-hari tersebut.”
Riwayat al-Bukhari secara muallaq sebelum hadith (970)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”