#5953: Bergembira pada Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kita diizinkan bergembira pada hari Raya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kautsar: 2)

Menjawab persoalan di atas, menjadi kelaziman seluruh dunia, umat Islam akan bergembira dengan kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bemujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat.

Persoalannya di sini, apakah hukum bergembira dan cara yang sepatutnya dilakukan. Para ulama’ telah membahaskan dengan panjang lebar berkenaan dengan hiburan dan permainan yang diharuskan oleh syarak. Bermain dan berhibur dengan hiburan yang disyarakkan adalah diharuskan bahkan digalakkan khasnya pada hari raya.

Secara umumnya, selagi mana sesuatu permainan itu tidak melalaikan dari kewajipan tugas yang perlu dilaksanakan ianya diharuskan. Ini adalah syarat umum yang mesti dipatuhi ketika bermain sesuatu permainan atau berhibur.

Syarat yang lain, permainan itu hendaklah tidak menjurus kepada maksiat atau bercampur aduk dengan perkara mungkar seperti minum arak, perjudian, percampuran antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bermain sehingga berlaku perkelahian dan pergaduhan.

Jikalau permainan atau hiburan itu tidak menepati syarat-syarat yang dikemukakan, maka hukumnya menjadi haram walaupun asal permainan atau hiburan tersebut hukumnya harus. Pada zaman Nabi SAW, masyarakat pada ketika itu bermain, memukul gendang, menyanyi serta menyambut sesuatu perayaan.

Saidatina Aisyah R.Anha menyatakan:

أَنَّ الْحَبَشَةَ كَانُوا يَلْعَبُونَ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، قَالَتْ: فَاطَّلَعْتُ مِنْ فَوْقِ عَاتِقِهِ، فَطَأْطَأَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْكِبَيْهِ، فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَيْهِمْ مِنْ فَوْقِ عَاتِقِهِ حَتَّى شَبِعْتُ، ثُمَّ انْصَرَفْتُ

Maksudnya: “Orang Habsyah bermain di sisi Rasulullah SAW ketika hari raya.” Kata Aisyah: “Maka aku pun muncul dari atas bahunya, lalu Rasulullah SAW merendahkan bahunya untukku, sehingga aku dapat melihat mereka bermain sampailah aku merasa puas dan kemudian beredar (dari situ).”

Riwayat Ahmad (24296) dan al-Nasa’i (1594). Syeikh Syuaib al-Arna’ut di dalam Takhrij al-Musnad (24296) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih sebagaimana syarat Imam al-Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat yang lain, Saidatina Aisyah R.Anha berkata:

دَخَلَ أَبُو بَكْرٍ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ مِنْ جَوَارِي الأَنْصَارِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَقَاوَلَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ، قَالَتْ: وَلَيْسَتَا بِمُغَنِّيَتَيْنِ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: أَبِمَزَامِيرُ الشَّيْطَانِ فِي بَيْتِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَذَلِكَ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا وَهَذَا عِيدُنَا.

Maksudnya: “Abu Bakar masuk ke dalam (rumah Rasulullah SAW) dan bersamaku ada dua orang anak perempuan daripada kaum Ansar yang sedang menyanyikan ucapan kaum Ansar pada peperangan Bu‘ath.”   Aisyah berkata: “Kedua-dua mereka bukanlah penyanyi.” Lalu Abu Bakar berkata: “Adakah terdapat seruling syaitan di dalam rumah Rasulullah SAW?” Hal itu berlaku ketika hari raya. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya dan ini adalah hari raya kita.”

Riwayat al-Bukhari (952) dan Muslim (892)

Dalam riwayat lain, juga daripada Aisyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدِي جَارِيَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِغِنَاءِ بُعَاثٍ، فَاضْطَجَعَ عَلَى الفِرَاشِ، وَحَوَّلَ وَجْهَهُ، وَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ، فَانْتَهَرَنِي وَقَالَ: مِزْمَارَةُ الشَّيْطَانِ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَقْبَلَ عَلَيْهِ رَسُولُ اللهِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَقَالَ: «دَعْهُمَا»، فَلَمَّا غَفَلَ غَمَزْتُهُمَا خَرَجَتَا. وَكَانَ يَوْمَ عِيدٍ، يَلْعَبُ السُّودَانُ بِالدَّرَقِ وَالحِرَابِ، فَإِمَّا سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِمَّا قَالَ: «تَشْتَهِينَ تَنْظُرِينَ؟» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَأَقَامَنِي وَرَاءَهُ، خَدِّي عَلَى خَدِّهِ، وَهُوَ يَقُولُ: «دُونَكُمْ يَا بَنِي أَرْفِدَةَ»، حَتَّى إِذَا مَلِلْتُ، قَالَ: «حَسْبُكِ؟» قُلْتُ: نَعَمْ، قَالَ: فَاذْهَبِي.

Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke dalam rumahku, dan di sisiku ada dua anak perempuan yang melantunkan nyanyian perang Bu‘ath. Lalu Baginda berbaring di atas tempat tidur dan memalingkan wajah Baginda. Kemudian Abu Bakar masuk seraya memarahiku. Beliau berkata: “Seruling syaitan di sisi Nabi SAW?” Maka Nabi SAW berpaling kepada Abu Bakar dan bersabda: “Biarkanlah mereka berdua.” Ketika Baginda tidak perasan maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut lalu keduanya pun keluar.

Dan adalah pada hari raya, sekumpulan orang berkulit hitam bermain dengan perisai dan lembing. Sama ada aku yang meminta kepada Nabi  SAW atau Baginda yang berkata kepadaku dahulu: “Adakah kamu berminat untuk menontonnya?” Maka jawabku: “Ya.” Lalu Baginda mendirikan aku di belakangnya, pipiku berada pada pipi Baginda sedangkan Baginda bersabda: “Teruskan bermain wahai Bani Arfidah.” Sehingga apabila aku telah bosan, Baginda bersabda: “Sudah puaskah engkau?” Jawabku: “Ya.” Baginda bersabda: “Jika begitu, pergilah.”

Riwayat al-Bukhari (949) dan Muslim (892)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: “Dalam hadith ini terkandung pelbagai pelajaran. Antaranya, disyariatkan memberi kelapangan rezeki kepada keluarga pada hari-hari ‘Eid (raya) dengan pelbagai jenis dan bentuk yang dapat mendatangkan kesenangan jiwa dan ketenangan badan setelah penat beribadah. Akan tetapi meninggalkan hal itu adalah lebih utama. Dalam hadith ini juga terkandung ajaran bahawa menzahirkan kegembiraan pada hari ‘Eid adalah termasuk daripada syiar agama. (Lihat Fath al-Bari, 2/514)

Disebutkan juga dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (14/166): Sangat jelas petunjuk syariat yang memerintahkan untuk memberikan kelapangan terhadap ahli keluarga pada hari ‘Eid sehingga jiwa mereka tenang dan fizikal mereka terhibur setelah letih beribadah. Sebagaimana menzahirkan kegembiraan pada hari-hari ‘Eid merupakan syiar agama, begitu juga permainan dan ketangkasan pada hari ‘Eid, harus hukumnya, sama ada di masjid atau lainnya, jika dilakukan sebagaimana terdapat dalam hadith Aisyah tentang permainan senjata dalam kalangan orang Habsyah.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 14/166)

Dalam riwayat lain, Aisyah R.Anha berkata: Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari:

لِتَعْلَمَ يَهُودُ أَنَّ فِي دِينِنَا فُسْحَةً ، إِنِّي أُرْسِلْتُ بِحَنِيفِيَّةٍ سَمْحَةٍ.

Maksudnya: “Agar orang Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat kelapangan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan ajaran yang penuh toleran.”

Riwayat Ahmad (50/366)

Oleh itu, marilah kita menyambut hari raya Aidilfitri dengan mematuhi adab-adab yang diperintahkan oleh Islam. Janganlah di hari raya dipenuhi dengan pembaziran dan hiburan yang melampau. Sebenarnya sebarang hiburan adalah dibolehkan tetapi mestilah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Islam.

Ibn Rajab al-Hanbali menyebut di dalam kitabnya Lata’if al-Minan: “Bukanlah hari raya itu kamu (hanya) memakai baju baru tetapi hari raya itu bagi mereka yang bertambah ketaatannya kepada Allah.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلكَ رِضَاكَ وَالجَنَّةَ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ واَلنَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu keredhaan-Mu dan syurga, dan kami berlindung kepada-Mu daripada kemurkaan-Mu dan neraka.”