#5958: Waktu Solat Sunat Nikah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bilakah waktu paling sesuai untuk melakukan solat sunat nikah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan.”

(Surah al-Nur: 32)

Al-Baghawi dalam tafsirnya menyebutkan, kekayaan di sini bermaksud kecukupan. Dikatakan juga, tempat berkumpulnya rezeki iaitu rezeki suami dan rezeki isteri. Saidina Umar berkata: “Aku pelik dengan orang yang mencari kekayaan selain daripada nikah, sedangkan Allah SWT berfirman, Sekiranya mereka itu merupakan orang faqir, Allah akan memberikan kecukupan kepada mereka dari kelebihan-Nya”. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/410).

Dalam menjawab persoalan di atas, waktu yang terbaik boleh dilakukan solat sunat nikah berjemaah bersama isteri ialah ketika isteri datang menemui suami. Riwayat daripada Abu Sa’id, ada menyebutkan bahawa sahabat lain mengajarnya mengenai solat sunat nikah ini, katanya: “Jika isterimu nanti datang menemuimu, hendaklah kamu berdua solat dua rakaat. Lalu mintalah kepada Allah kebaikan isterimu itu dan mintalah perlindungan kepadaNya daripada keburukannya. Seterusnya terserah kamu berdua.” [1]

Walaupun solat ini dinamakan Solat Sunat Nikah, ia tidaklah semestinya dilakukan sebaik sahaja selepas akad nikah. Solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai oleh suami dan isteri kerana tiada penetapan waktu yang khusus. Berdasarkan athar di atas, secara umumnya adalah ketika suami datang bertemu dengan si isteri.

Mantan Mufti Kerajaan Arab Saudi ketika ditanya berkaitan waktu mengerjakannya, beliau menjawab adalah ketika sebelum si suami ingin bersama dengan isterinya. Namun ia tetap tiada pengkhususan waktu yang jelas disebut hadith dan boleh sahaja dilakukan sebagaimana mendirikan solat-solat sunat yang lain. Jika dia tidak melakukan pun tiada masalah, dan perkara ini bersifat luas. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 3/1601).[2]

Kami akhiri dengan doa sepertimana doa kepada pengantin:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِى خَيْرٍ

Maksudnya: “Semoga Allah memberkatimu ketika bahagia dan ketika susah, serta menghimpunkan kamu berdua dalam kebaikan.”

Nota Hujung:

[1] Riwayat Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (17153)  dan Abd al-Razzaq di dalam Musannafnya (10462). Hadith ini dinilai sahih sebagaimana di dalam al-Irwa’ (523).

[2] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/5846/حكم-صلاة-ركعتين-قبل-الدخول-على-الزوجة-ليلة-الزفاف