#5961: Cara Memanggil Orang Solat Gerhana

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk memanggil jemaah untuk solat gerhana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tidak disunatkan untuk azan bagi memanggil orang ramai untuk menunaikan solat sunat gerhana. Cukup hanya dengan melaungkan: الصَّلَاةُ جَامِعَةُ  (al-Solah Jami’ah). Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dari Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma:

لَمَّا كَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ

Maksudnya: Ketika berlakunya gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW pengumuman telah dibuat untuk menunaikan solat jama’ah.

Riwayat Al-Bukhari (1045)

Begitu juga dengan hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أنَّ الشَّمْسَ خَسَفَتْ على عَهْدِ رَسولِ اللهِ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَبَعَثَ مُنادِيًا: الصَّلاةُ جامِعَةٌ

Maksudnya: Ketika gerhana matahari berlaku pada zaman Rasulullah SAW, Seseorang memanggil solat: al-Solah Jami’ah (الصَّلَاةُ ْجَامِعَة).

Riwayat Muslim (901)

Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan daripada Ibn Daqiq al-Eid, katanya: Perkara ini telah disepakati bahawa solat gerhana ini tidak ada azan dan juga iqamah. (Lihat Fath al-Bari, 2/533)

Imam al-Nawawi juga menyatakan: Digalakkan (sunat) untuk memanggil solat gerhana dengan “الصَّلَاةُ جَامِعَةٌ”, dan juga telah disepakati bahawa solat ini tidak ada azan dan juga iqamah” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/204)

Ibn Qudamah juga menyatakan di dalam al-Mughni, katanya: Tidak disunatkan bagi solat gerhana untuk azan dan iqamah. Hal ini kerana Nabi SAW melakukannya tanpa azan dan juga iqamah disebabkan ia bukanlah solat fardhu lima waktu, maka ia sama seperti solat-solat sunat yang lain. (Lihat al-Mughni, 3/323)

Imam al-Son’ani berkata: Hadith ini menunjukkan bahawa disyariatkan untuk mengumumkan solat al-kusuf dengan lafaz ini bagi tujuan mengumpulkan orang untuk melaksanakannya. Tidak terdapat satu riwayat pun yang datang daripada Rasulullah SAW melainkan bagi solat gerhana.” (Lihat Subul al-Salam, 2/74)

Syeikh Muhammad bin Umar Salim Bazmul menjelaskan: “Para ulama’ telah bersepakat tidak ada azan dan iqamah bagi solat al-kusuf. Dan yang disunatkan ialah memanggil orang ramai dengan lafaz: “al-Solah Jami’ah” (Lihat Bughayah al-Mutatawwi’ fi Solati al-Tatawwu’, hlm. 75)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)