#5970: Janin Yang Kurang Empat Bulan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, Isteri saya keguguran pada kandungan usia 3 bulan. Apakah anak kami itu benar dan telah mempunyai roh. Saya sedih dan rindu mengharapkan dapat bertemu anak saya di dalam mimpi atau di akhirat nanti ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِن كُنتُمْ فِى رَيْبٍۢ مِّنَ ٱلْبَعْثِ فَإِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن تُرَابٍۢ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍۢ ثُمَّ مِنْ عَلَقَةٍۢ ثُمَّ مِن مُّضْغَةٍۢ مُّخَلَّقَةٍۢ وَغَيْرِ مُخَلَّقَةٍۢ لِّنُبَيِّنَ لَكُمْ ۚ وَنُقِرُّ فِى ٱلْأَرْحَامِ مَا نَشَآءُ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّۭى ثُمَّ نُخْرِجُكُمْ طِفْلًۭا ثُمَّ لِتَبْلُغُوٓا۟ أَشُدَّكُمْ ۖ وَمِنكُم مَّن يُتَوَفَّىٰ وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰٓ أَرْذَلِ ٱلْعُمُرِ لِكَيْلَا يَعْلَمَ مِنۢ بَعْدِ عِلْمٍۢ شَيْـًۭٔا ۚ وَتَرَى ٱلْأَرْضَ هَامِدَةًۭ فَإِذَآ أَنزَلْنَا عَلَيْهَا ٱلْمَآءَ ٱهْتَزَّتْ وَرَبَتْ وَأَنۢبَتَتْ مِن كُلِّ زَوْجٍۭ بَهِيجٍۢ ٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْحَقُّ وَأَنَّهُۥ يُحْىِ ٱلْمَوْتَىٰ وَأَنَّهُۥ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

Maksudnya: “Wahai manusia! Jika kamu berasa ragu-ragu terhadap hari kebangkitan, maka perhatikanlah bahawa Kami telah menciptakan kamu pada asalnya daripada tanah. Kemudian selepas itu, Kami jadikan kamu pula daripada air mani, lalu seterusnya kamu menjadi gumpalan darah yang kemudiannya menjadi ketulan daging. Ada antara daging itu yang kami bentukkannya menjadi janin dan ada yang Kami gugurkan. Kesemua ini menunjukkan kepada kamu kekuasaan Kami dalam menciptakan kamu secara berperingkat. Kami menetapkan di dalam rahim apa yang Kami kehendaki pada janin itu, sehinggalah sampai tempoh yang telah ditetapkan. Kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi dan seterusnya kamu membesar sehingga dewasa. Ada antara kamu yang Kami matikan sebelum menjadi dewasa. Ada pula antara kamu yang Kami panjangkan umurnya sehingga dia menjadi nyanyuk tidak lagi mengetahui apa yang diketahuinya dahulu. Demikian juga satu bukti yang lain tentang hari kebangkitan ialah ketika kamu melihat bumi yang kering kontang, lalu Kami turunkan air ke atasnya maka ia mula mengeluarkan tunas, subur membesar dan menjadi tumbuhan yang menghasilkan pokok jantan dan betina yang mendatangkan kekaguman. Perkara-perkara tersebut membuktikan bahawa Allah itu benar dan Dia berkuasa menghidupkan apa yang mati. Dan Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.”

(Surah al-Hajj: 5-6)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ (12) ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ (13) ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(Surah al-Mukminun: 12-14)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi tujuh peringkat. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini.” (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 26)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan perkembangan janin dalam kandungan adalah melalui beberapa fasa iaitu bermula  fasa di alam rahim kemudian nutfah (air mani) kemudian ‘alaqah (segumpal darah) kemudian  mudghah (seketul daging) kemudian tulang (عظام) kemudian daging yang meliputi tulang (لحم), seterusnya dilahirkan di alam dunia.

Dalam isu ini, janin yang ditiupkan roh adalah ketikamana  umurnya telah mencapai 120 hari atau bersamaan dengan 4 bulan yang berkemungkinan untuk hidup. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خلقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nutfah, kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama itu juga. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) selama itu juga. Kemudian diutus seorang malaikat kepadanya untuk meniupkan ruh kepadanya, dan ditetapkan empat takdir, takdir rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka ataukah bahagianya.”

Riwayat Muslim (6893) dan Ahmad (3624)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakab bahawa: hadith ini Ia menunjukkan bahawa janin berubah dalam seratus dua puluh hari dalam tiga fasa, setiap fasa selama empat puluh hari, kemudian pada penyempurnaannya, roh ditiupkan ke dalamnya. Allah Ta’ala menyebutkan tiga fasa ini dalam beberapa surah tanpa menetapkan tempoh. (Lihat Fath al-Bari, 11/483)

Justeru, berdasarkan hadith yang dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita bahawa kandungan yang umurnya kurang daripada 4 bulan masih lagi tidak ditiupkan roh. Oleh itu, kandungan yang keguguran sebelum tempoh ini tidak dikategorikan sebagai janin yang bernyawa.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Wallahua’lam