#5972: Konflik Pasangan Suami Isteri

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan cara terbaik bagi seorang suami di mana isteri yang tidak mentaati suami, contohnya tidak menutup aurat dengan sempurna, menjawab apabila dimarahi atau dinasihati, tidak meminta izin jika hendak keluar. Perbuatan ini walaupun dinasihati tetap juga dilakukan. Suami telah mencuba memulaukan dan memukul tanpa mencederakan tetapi masih juga sama. Bolehkah suami hanya membenci di dalam hati?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-Hujurat:10)

Syeikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 800)

Marilah sama-sama kita mengikut petunjuk Nabi SAW, bagaimana cara berinteraksi dengan wanita atau isteri. Diriwayatkan daripada Jabir RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِى النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ. فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ

Maksudnya:Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan. Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.  

Riwayat Muslim (1218)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam membentuk atau mendidik akhlak seseorang, sudah tentu ianya tidak mudah dan memerlukan banyak pengorbanan. Begitu juga, dalam soal rumahtangga ini, pastinya mempunyai pasang surutnya. Namun, janganlah sehingga kita hidup berpasangan, akan tetapi membenci pasangan. Justeru, antara perkara yang boleh anda lakukan adalah:

  • Duduk berbincang bersama dengan cara yang baik dan tidak memaksa. Hal ini berdasarkan nas Ilahi:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.

Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)

  • Bercakap dengan nada yang baik. Ini kerana sudah tentu ada sebab/ punca mengapa dia berkelakuan sebegitu. Maka, dengan kita mengetahui sebabnya, maka dari situ kita dapat mengubah/membetulkan kesilapan kita.
  • Ringan mengucapkan maaf dan mengakui kesalahan. Kebanyakan pasangan hakikatnya berat dalam mengucapkan maaf dan mengakui kesalahan. Maka, ini membuatkan pergaduhan menjadi berpanjangan sehinggalah berakhir dengan perceraian.
  • Berdoa kepada Allah SWT agar diberi hidayah dan dilembutkan hati. Antara doa yang boleh saudara amalkan adalah:

Firman Allah SWT:

طه (1) مَا أَنزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لِتَشْقَىٰ (2) إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ (3) تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ الْأَرْضَ وَالسَّمَاوَاتِ الْعُلَى (4) الرَّحْمَٰنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَىٰ

Maksudnya: TaaHaa. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.

(Surah Taha: 1-4)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam