Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kesan kepada penuntut ilmu apabila dia tidak mengamalkan ilmu yang dipelajari?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قَالُوا سُبْحَانَكَ لَا عِلْمَ لَنَا إِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ الْعَلِيمُ الْحَكِيمُ
Maksudnya: Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah al-Baqarah: 32)
Ilmu yang dikurniakan kepada kita tidaklah banyak, tetapi amat sedikit. Hal ini sepertimana firman Allah SWT:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا
Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja”.
Surah al-Isra’ (85)
Al-Sobuni berkata: Kamu tidak dikurniakan ilmu hai manusia kecuali amat sedikit. Ini kerana ilmu kamu jauh amat sedikit berbanding dengan ilmu Allah. (Lihat Safwah al-Tafasir, 2/159)
Bak kata pujangga arab:
الْعِلْمُ بِلَا عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلَا ثَمَرٍ
Maksudnya: Ilmu tanpa amal, seperti pohon tanpa buah.
Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan ilmu ini apabila kita tidak amalkan ia akan hilang. Saya teringat ketika saya belajar di Madinah, guruku berkata ilmu kamu sekarang akan berada di paras pusat, namun apabila sudah bekerja ilmu kita akan turun. Namun, apabila seseorang itu selalu mengajar dan mengulang ilmu yang telah dipelajari, maka ilmu tersebut akan bertambah dari semasa ke semasa. Marilah bersama-sama mengamalkan ilmu yang kita miliki dengan mengajar kepada khalayak masyarakat sekurang-kurangnya kepada kaum keluarga kita. Semoga kita menjadi mereka yang meyampaikan ilmu Amin
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”