#5976: Kepentingan Menjaga Keturunan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merasa musykil berkenaan dengan isu menjaga keturunan dan juga kesahtarafan anak yang lahir seperti melalui dapatan mani suami bukan secara bersetubuh. Antaranya melalui Inseminasi Sendiri (Self-Insemination). Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَفَرَأَيْتُم مَّا تُمْنُونَ (58)‏ أَأَنتُمْ تَخْلُقُونَهُ أَمْ نَحْنُ الْخَالِقُونَ

Maksudnya:(Mengapa kamu masih berdegil?) Tidakkah kamu memikirkan keadaan air mani yang kamu pancarkan (ke dalam rahim)? Adakah kamu yang menciptakannya atau Kami yang menciptakannya?

(Surah al-Waqi‘ah: 58-59)

Kemudian, Rasulullah SAW menghuraikan tentang kepentingan menjaga keturunan. Antaranya, daripada Abu Bakrah dan Sa‘d bin Abu Waqqas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.”

Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553)

Atas faktor kepentingan menjaga nasab dan keturunan ini, Rasulullah SAW meletakkan parameter untuk menentukan kesahtarafan anak yang lahir berdasarkan hadith berikut. Daripada Aisyah R.Anha Nabi SAW bersabda:

الوَلَدُ لِلْفِرَاشِ وَلِلْعَاهِرِ الحَجَرُ

Maksudnya: “Anak adalah dinasabkan kepada pemilik tempat tidurnya (terhasil melalui hubungan yang sah di antara suami dan isteri), sedangkan bagi penzina tidak ada hak (atau hanya mendapat kehinaan).”

Riwayat al-Bukhari (6749)

Keputusan di dalam hadith ini dijadikan prinsip dalam mazhab al-Syafi‘i bahawa anak yang terhasil daripada cara yang haram tidak haram dinikahi oleh bapa biologinya. Imam al-Mahalli menyabutkan ketika menghuraikan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi bahawa:

(وَالْمَخْلُوقَةُ مِنْ)

مَاءِ (زِنَاهُ تَحِلُّ لَهُ)

Maksudnya: “Perempuan yang tercipta daripada air (mani) zinanya adalah halal untuk dinikahinya.”

Syeikh ‘Umairah dalam hasyiahnya menyatakan:

قَوْلُ الْمَتْنِ: (مِنْ مَاءِ زِنَاهُ) الظَّاهِرُ أَنَّ ضَابِطَ ذَلِكَ أَنْ يَكُونَ خُرُوجُهُ بِسَبَبٍ مُحَرَّمٍ، وَانْظُرْ لَوْ خَرَجَ بِسَبَبٍ مُحَرَّمٍ ثُمَّ اسْتَدْخَلَتْهُ زَوْجَتُهُ كَيْفَ الْحُكْمُ وَالْوَجْهُ ثُبُوتُ النَّسَبِ

Maksudnya: “Matan menyebut (daripada air mani zinanya), pada zahirnya adalah bahawa parameter bagi perkara itu (yakni untuk menentukan seseorang wanita itu mahram atau tidak) adalah keluarnya mani itu dengan suatu sebab yang diharamkan. Cuba anda perhatikan; sekiranya air mani itu keluar dengan sebab yang diharamkan kemudian dimasukkan oleh isterinya (ke dalam dirinya) maka bagaimanakah hukumnya? Maka pendapat yang tepat ialah nasabnya adalah sabit.”

Begitu juga Imam Qalyubi ada menyatakan:

(وَالْمَخْلُوقَةُ مِنْ مَاءِ زِنَاهُ تَحِلُّ لَهُ) وَالْمُرَادُ بِمَاءِ الزِّنَى مَا كَانَ حَالَ خُرُوجِهِ فَقَطْ عَلَى وَجْهٍ مُحَرَّمٍ فِي ظَنِّهِ وَالْوَاقِعُ مَعًا وَمِنْهُ مَا خَرَجَ مِنْ وَطْءِ الْمُكْرَهِ أَوْ مِنْ وَطْءِ حَلِيلَتِهِ فِي دُبُرِهَا أَوْ مِنْ اللِّوَاطِ وَلَوْ لِنَفْسِهِ أَوْ مِنْ إتْيَانِ الْبَهَائِمِ وَلَوْ فِي فَرْجِهَا أَوْ مِنْ الِاسْتِمْنَاءِ بِغَيْرِ يَدِ حَلِيلَتِهِ، وَلَوْ بِيَدِهِ وَإِنْ خَافَ الْعَنَتَ وَقُلْنَا بِحِلِّهِ حِينَئِذٍ نَظَرًا لِأَصْلِهِ وَلَيْسَ مِنْ الْمُحَرَّمِ الِاسْتِمْنَاءُ بِيَدِ حَلِيلَتِهِ، وَلَا الْخَارِجُ فِي نَحْوِ نَوْمٍ وَلَوْ بِاسْتِدْخَالِ أَجْنَبِيَّةٍ ذَكَرَهُ، وَشَمِلَ مَا ذُكِرَ مَا لَوْ اسْتَدْخَلَتْهُ زَوْجَتُهُ وَحَمَلَتْ مِنْهُ لَكِنْ قَالَ الزَّرْكَشِيُّ فِي هَذِهِ: يَنْبَغِي أَنَّهَا نَسِيبَةٌ؛ لِأَنَّهَا لَاحِقَةٌ لَهُ بِالْفِرَاشِ

Maksudnya: “[dan perempuan yang tercipta daripada air mani zinanya maka halal dikahwininya] dan dimaksudkan dengan air mani zina itu ialah ditentukan semata-mata berdasarkan keadaan keluarnya dalam bentuk yang diharamkan pada sangkaannya dan berlaku pada realitinya. Contoh-contoh lain ialah perempuan yang lahir daripada persetubuhan terpaksa, atau daripada persetubuhan pada dubur isteri, atau daripada liwat, sekalipun meliwat diri sendiri, atau kerana mendatangi haiwan ternakan, sekalipun pada farajnya, atau kerana onani selain menggunakan tangan isterinya, atau onani menggunakan tangannya sendiri. Jika dia beronani kerana takut berlaku kekejian (seumpama zina), maka kita hukumnya halal ketika itu, tetapi hukumnya tetap sama kerana melihat kepada hukum asal. Tidak haram (kepada lelaki) onani dengan tangan isterinya, dan tidak haram air mani yang keluar ketika tidur, atau ada perempuan asing memasukkan zakarnya ke (dalam faraj ketika tidur). Hukum ini merangkumi apa yang telah disebutkan, jika isterinya memasukkan air maninya ke dalam faraj kemudian dia mengandung. Al-Zarkasyi menyebutkan bahawa hendaklah dianggap anak perempuan yang lahir itu dinasabkan kerana dia disandarkan kepada bapanya kerana firasy (pemilik tempat tidur dengan hubungan yang sah dalam tempoh perkahwinan).” (Lihat Hasyiah Qalyubi wa ‘Umairah , 3/242)

Demikianlah juga, Imam al-Nawawi turut menyatakan, mendatangi pada dubur sama seperti mendatangi pada qubul pada kebanyakan hukum dan sabit nasabnya berdasarkan pendapat yang asah. Adapun di sana terdapat dua pendapat tentang seorang tuan mendatangi hambanya pada dubur atau nikah yang fasid. Tetapi dalam nikah yang sahih, maka memadai dengan status imkan (boleh berlaku) persetubuhan dalam hal mensabitkan nasab. (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/204).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)