#5978: Wasiat Nabi SAW kepada Abu Hurairah R.A

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah R.A?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sedikit biografi Abu Hurairah R.A. Abu Hurairah al-Dausi ialah seorang imam, faqih, mujtahid dan sahabat Baginda SAW serta penghulu bagi sekalian huffaz. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578). Para ulama telah berbeza mengenai namanya dan nama bapanya dengan perbezaan yang sangat banyak. Di antaranya ialah:

  • ‘Abd al-Rahman bin Sakhr
  • ‘Abd al-Rahman bin Ghanm
  • Abdullah bin ‘A’iz
  • Abdullah bin ‘Amir
  • Abdullah bin ‘Amr
  • Sakin bin Wazamah
  • Sakin bin Hani’
  • Sakin bin Sakhr
  • Sakin bin Mal
  • ‘Amir bin ‘Abd Syams
  • ‘Amir bin ‘Umair
  • Barir bin ‘Isyriqah
  • ‘Abd Nahm
  • ‘Abd Syams
  • Ghanm
  • ‘Ubaid bin Ghanm
  • ‘Amr bin Ghanm
  • ‘Amr bin ‘Amir
  • Sa‘id bin al-Harith
  • ‘Abd bin Ghanm

(Lihat Tahzib al-Kamal, 34/366; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578)

Dinukilkan daripada Imam al-Nawawi bahawa nama Abu Hurairah ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr berdasarkan pendapat yang paling sahih daripada 30 pendapat.

Setelah menukilkan pendapat-pendapat ulama mengenai nama Abu Hurairah, Ibn Hajar al-‘Asqalani ada membuat kesimpulan bahawa sekiranya diteliti dengan mendalam pendapat-pendapat itu, maka sebenarnya ia tidak lebih daripada sepuluh pendapat. Begitu juga jika dihimpunkan semua pendapat itu dari sudut kesahihan periwayatannya, maka ia terbahagi kepada tiga pendapat iaitu ‘Umair, Abdullah dan ‘Abd al-Rahman. Dua nama yang awal — iaitu ‘Umair dan Abdullah — ada kemungkinan namanya semasa Jahiliyyah dan Islam, manakala nama ‘Abd al-Rahman pula adalah khusus semasa beliau dalam Islam. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/351-352).

Selain daripada itu, Burhanuddin al-Abnasi ada menyebutkan daripada Ibn ‘Abd al-Bar bahawa terdapat lebih kurang 20 pendapat mengenai nama Abu Hurairah dan nama bapa beliau. Namun, disebabkan oleh banyaknya berlaku kekeliruan dalam riwayat-riwayat tersebut, maka tidak ada satu pun riwayat sahih yang boleh untuk dipegang melainkan pada nama Abdullah dan ‘Abd al-Rahman, yang mana hati berasa senang bahawa itulah namanya ketika dalam Islam.

Tambahan pula, Muhammad bin Ishaq juga berpendapat bahawa nama Abu Hurairah ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr dan menurut beliau lagi, inilah nama yang dipegang oleh sebahagian ulama yang menulis berkaitan nama-nama dan kuniyah. Selain itu, Abu Ahmad al-Hakim juga jelas menyebutkan bahawa pendapat yang sahih di sisi beliau mengenai nama Abu Hurairah ialah ‘Abd al-Rahman al-Sakhr.   (Lihat al-Syaza al-Fayyah min ‘Ulum Ibn al-Solah oleh Burhanuddin al-Abnasi, 2/600). Al-Zahabi juga merajihkan pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah ‘Abd al-Rahman bin Sakhr. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/578).

Ibn Ishak berkata: Sebahagian sahabat kami berkata kepadaku tentang Abu Hurairah, adalah namanya pada zaman Jahiliyah ialah Abd al-Syams bin Sakhar. Kemudian Rasulullah SAW menamakannya dengan ‘Abd al-Rahman dan dikurnia dengan gelaran Abu Hurairah kerana beliau membawa anak kucing dalam lengan bajunya lantas digelarnya dengan Abu Hurairah.

Al-Hafiz Ibn Hajar meriwayatkan sebab dinamakan Abu Hurairah ialah kerana beliau bekerja sebagai penggembala kambing dan mempunyai seekor anak kucing. Apabila tiba waktu malam beliau akan meletakkannya di atas pokok dan apabila hari siang, beliau akan mengambil semula anak kucing itu untuk bermain dengannya.

Abu Hurairah termasuk salah seorang kaum fakir dalam kalangan muhajirin yang tidak memiliki keluarga dan harta kekayaan. Mereka ini digelar sebagai Ahli Suffah dan mereka tinggal di depan Masjid al-Nabawi. Di samping itu, Abu Hurairah mempunyai seorang anak perempuan yang telah berkahwin dengan Said bin Musayyib, iaitu salah seorang tokoh tabi’in terkemuka.

Sebagaimana yang diketahui, Abu Hurairah merupakan antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis daripada Nabi SAW sehingga dikatakan yang menerima dan mendengar hadis daripada beliau seramai 800 orang termasuk daripada kalangan sahabat dan tabi’in. Antara sebab utama bagaimana beliau menjadi antara sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadis ialah disebabkan beliau sentiasa melazimi Rasulullah SAW sehingga Ibn Umar R.Anhuma berkata: “Adapun Abu Hurairah RA sentiasa melazimi Rasulullah SAW berbanding kami dan beliau juga merupakan antara orang yang  paling mengetahui tentang hadis Nabi SAW.”

Abu Hurairah berkata: “Tidak ada dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak meriwayatkan hadis lebih daripadaku, kecuali Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As, maka dia lebih banyak daripadaku kerana dia mencatatnya dan aku pula tidak mencatatnya.”

Menurut Ibn Jauzi, Abu Hurairah R.A telah meriwayatkan sebanyak 5374 buah hadis manakala jika dilihat di dalam musnad Imam Ahmad, hadis beliau adalah sebanyak 3848 buah hadis.

Sebelum kewafatan beliau akibat sakit, beliau telah menangis dan air matanya mengalir sehingga membasahi janggutnya. Sahabatnya bertanya: “Mengapa kamu menangis?” Jawabnya: “Aku tidak menangis kerana dunia tetapi aku menangis kerana jauhnya perjalanan dan sedikitnya bekalan. Aku tidak tahu ke mana perjalananku ini akan berakhir, sama ada ke syurga atau neraka.” Abu Hurairah telah berdoa: “Ya Allah sesungguhnya aku amat mencintai pertemuan dengan-Mu. Semoga Engkau juga mencintai pertemuan denganku. Sekiranya Engkau berkenan, aku bermohon agar pertemuan ini disegerakan.” Tidak lama kemudian, Abu Hurairah R.A pun meninggal dunia.

Beliau meninggal dunia pada tahun 57 Hijrah, ada yang mengatakan 58 Hijrah dan ada yang mengatakan 59 Hijrah ketika berusia 78 tahun.

Menjawab persoalan di atas, antara wasiat Rasulullah SAW kepada Abu Hurairah R.A ialah mandi pada hari Jumaat, bersegera menunaikan solat Jumaat, jangan melakukan perkara yang lalai, berpuasa tiga hari dalam setiap sebulan, melakukan dua rakaat solat sunat fajar sekalipun telah bersembahyang sepanjang malam.

Dalam riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

أَوْصَانِي خَلِيْلِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَي الضُّحَى وَأَن أَوْتَرَ قَبْلَ أَن أَرْقدَ

Maksudnya: “Kekasihku Nabi SAW mengingatkanku tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan, bersolat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur.”

Riwayat  Muslim (721) dan Abu Dawud (1433)

Ibn ‘Allan berkata: Bahawa aku hendaklah melaksanakan solat Witir dan tidak disebut berapa bilangannya. Ucapan sebelum tidur adalah merupakan ihtiyat kerana ada orang tidak mampu bangkit pada waktu malam, dan kalau dia tidak berwitir maka luputlah solat Witir baginya. Adapun, bagi mereka yang mampu melaksanakannya seperti yakin dapat bangun, maka itulah yang paling afdhal berdasarkan hadith Nabi SAW yang mafhumnya: Jadikanlah akhir solat malam kamu dengan witir. (Lihat Dalil al-Falihin, 6/608).

Hadith ini menunjukkan wasiat Nabi SAW kepada sahabatnya. Ini sudah pasti menggambarkan betapa witir selayaknya dikerjakan oleh umat Islam dan jika dibimbangi tidak dapat melakukannya pada waktu malam, maka hendaklah ia berwitir sebelum daripada tidur agar tidak luput solat Witir.

 Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)