Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat sahabat nabi yang berfatwa semasa nabi SAW masih hidup?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan terlebih dahulu dengan takrif dan erti sahabat. Imam al-Bukhari telah menyebut dalam Sahihnya, sahabat ialah siapa yang bersahabat dengan Nabi SAW atau melihatnya dalam kalangan orang Islam. (Lihat Sahih al-Bukhari, 5/2)
Berdasarkan takrif ini, termasuklah siapa yang melihat Rasulullah SAW dan tidak disyaratkan lama persahabatan dengan Nabi SAW. Takrif seperti ini telah diterima pakai oleh kebanyakan muta’akhirin.
Justeru, kata al-Hafiz Ibn Hajar, sahabat ialah siapa yang bertemu dengan Nabi SAW serta beriman dengannya dan mati dalam Islam. (Lihat Nuzhah al-Nazar, 1/111)
Seterusnya kami hanya menyebut takrif fatwa pada istilah. Oleh kerana fatwa dibahaskan di dalam kitab-kitab usul fiqh sebagai salah satu cara mengeluarkan hukum secara mendalam, justeru para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:
- Kata Al-Imam al-Qarafi (684 H), fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. (Lihat al-Furuq oleh al-Qarafi, 4/53)
- Kata Al-Jurjani (816 H) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.
- Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 H) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum pada perkara yang ditanyakan kepada penyoal. (Lihat Anis al-Fuqaha, 1/319)
- Kata al-Imam al-Munawi (1031 H) fatwa ialah jawapan dari seorang mufti. (Lihat al-Ta’arif li al-Munawi, 550)
- Kata al-Imam al-Buhuti[2] (1051 H): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya tentangnya. (Lihat Syarah Muntaha al-Iradaat oleh Mansur bin Yunus al-Buhuti, 3/483)
- Imam al-Syaukani (1250 H) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad. (Lihat Irsyad al-Fuhul, hlm. 443)
- Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h): Fatwa adalah memberi perkhabaran berkenaan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya tentang perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian.
- Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili (1436 H) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, 2/2284)
- Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. (Lihat Usul Mazhab al-Imam Ahmad)
- Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. (Lihat Ma’alim Usul al-Fiqh ‘Inda Ahli al-Sunnah)
- Muhammad Taqi al-‘Uthmani berkata: “Fatwa ialah jawapan kepada masalah agama. Ini kerana, mufti menjawab semua hukum syara’ yang bersifat amali dan juga permasalahan akidah.” (Lihat Usul al-Ifta’ wa Adabuhu, hlm. 10)
Menjawab persoalan di atas, ada beberapa sahabat yang tercatat telah diizinkan berfatwa di saat Nabi SAW masih hidup. Para ulama menyebutkan ada 8 sahabat:
لَقَدْ كَانَ فِي عَهْدِ النَّبِيِّ جَمَاعَةٌ يَقُوْمُوْنَ بِالْإِفْتَاءِ قَوْمَةَ قَانِتٍ
فَأَرْبَعَةٌ أَهْلُ الْخِلَافَةِ مَعْهُمْ مُعَاذٌ أُبَيٌّ وَابْنُ عَوْفِ ابْنُ ثَابِتٍ
Adalah pada zaman Nabi sekumpulan jemaah sahabat
Mereka memberi fatwa dengan kekuatan lagi ketaatan
Empat orang khulafa’ al-Rasyidin bersama mereka
Mu’az, Ubai, Ibn ‘Auf dan Ibn Thabit
Ringkasnya mereka ialah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Saidina Umar ibn al-Khattab, Saidina Uthman ibn ‘Affan, Saidina ‘Ali ibn Abi Talib, Saidina Mu’az ibn Jabal, Saidina Ubai ibn Ka’ab, Saidina ‘Abd al-Rahman ibn ‘Auf dan Saidina Zaid ibn Thabit. Inilah antara sahabat yang berfatwa semasa hayat Rasulullah SAW. Adapun selepas itu, kita dapati seperti Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Ibn Umar R.Anhuma, Anas Ibn Malik dan ramai lagi.
Semoga Allah SWT merahmati mereka semua. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”