#5982: Bentuk Amalan Paling Afdhal

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah bentuk amalan yang paling afdhal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ (1) إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ (2) إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ (3)

Maksudnya: “Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati  kepada kesabaran.”

(Surah al-Asr:1-3)

Ibnu Kathir menukilkan pandangan Imam al-Syafi, katanya:

لَوْ تَدَبَّرَ النَّاس هَذِهِ السُّورَة لَكَفَتْهُمْ

Maksudnya: “Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.”  (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/319)

Menjawab persoalan di atas, antara bentuk amalan yang paling afdhal ialah berterusan dan istiqamah serta beriltizam dalam melakukan ibadah. Hal ini berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW: Daripada Aisyah R.Anha, Rasulullah SAW bersabda:

أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَلَّ

Maksudnya: “Amalan yang paling disukai di sisi Allah Taala ialah yang berterusan dilakukan sekalipun sedikit.

Riwayat Muslim (782), Ahmad (25632) dan Abu Ya’la al-Musili (4573) dalam Musnadnya.

Al-Baghawi mengatakan: “Hadith ini disepakati kesahihannya. Dikeluarkan oleh Ahmad, daripada Muhammad bin al-Muthanna; oleh Muslim, daripada Zuhair bin Harb. Kedua-duanya meriwayatkan daripada Yahya bin Sa‘id, daripada Hisyam bin ‘Urwah.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 4/49).

Kami nukilkan di sini sebuah hadith peri pentingnya istiqamah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW. Daripada Sufyan bin Abdillah al-Thaqafi,

يَا رَسُوْلَ اللهِ ! قُلْ لِي فِي الإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا غَيْرَكَ. قَالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, ajarlah kepadaku berkenaan Islam, perkataan yang tidak perlu aku bertanya seseorang pun se-lainmu.”Sabda Baginda: Katakanlah – آمَنْتُ بِالله ‘ Aku beriman kepada Allah’ kemudian istiqamahlah.”

Riwayat Muslim (38), al-Baihaqi dalam al-Sunan (1/76), Ahmad dalam Musnadnya (5/371), dan al- Daraqutni dalam al-Sunan (3/45).

Antara bentuk istiqamah ialah:

  • Melaksanakan segala yang wajib dengan mengikut sunnah Rasulullah SAW.
  • Menambahkan ibadat yang sunat.
  • Menjauhi perkara yang haram.
  • Melakukan tugas yang diamanahkan dengan berterusan dan konsisten.

Sebahagian ulama menyebut: “Istiqamah dengan makna thabit atau tetap tanpa gundah gulana dan luntur semangat. Contohilah semut. Ketika mengambil gula di dalam botol meskipun kita mengusirnya, namun ia tidak lari sebelum mendapat gula tersebut. Dengan bersusah payah, akhirnya dia berjaya membawa gula yang lebih besar dari tubuhnya. Dari kehidupan binatang pun kita dapat menirunya. Semut yang tidak mempunyai akalpun boleh mencapai kejayaan apatah lagi kita manusia yang mempunyai akal!”

Perkataan istiqamah mengandungi maksud mujahadah. Istiqamah terhadap agama tidak akan datang melainkan selepas kesusahan dan kesabaran. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 55)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”