#5984: Pahala Solat Dhuha Dihapuskan Dosa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah seseorang yang melazimi dan memelihara solat Dhuha akan dihapuskan dosa sekalipun sebanyak buih-buih di laut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mengikut Abu al-Khattab, disunatkan berterusan melakukan solat Dhuha kerana Nabi SAW mewasiatkan sahabatnya, daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَنْ حَافَظَ عَلَى شُفْعَةِ الضُّحَى غُفِرَ لَهُ ذُنُوْبُهُ وإنْ كَانتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Siapa yang memelihara solat Dhuha dua rakaat nescaya diampunkan dosanya sekalipun seperti buih di laut.”

Riwayat al-Tirmizi (476), Ahmad (10102) dan Ibn Majah (1380).

Syeikh Abu al-‘Ala al-Mubarakfuri berkata: “Sekalipun dosanya seperti buih di laut” kerana masyhurnya penggunaan sebagai permisalan bagi benda yang banyak.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 2/478).

Mulla Ali al-Qari: “Buih yang berada di atas permukaan laut apabila ia bergelora dan berombak. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/767).

Sayyid Sabiq berkata: Solat Dhuha merupakan ibadat yang disunatkan, maka siapa yang ingin mencari pahala hendaklah menunaikannya. Sebaliknya, jika seseorang itu tidak melaksanakannya, maka tidaklah dikira sebagai satu kecacatan atau kekurangan baginya. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Sa‘id R.A, katanya:

كَانَ النَّبِي يُصَلِّى الضُّحَى حَتَّى نَقُوْلَ لاَ يَدَعُهَا، وَيَدَعُهَا حَتَّى نَقُوْلَ لاَ يُصَلِّيْهَا

Maksudnya: “Adalah Nabi SAW apabila bersolat Duha sehingga kami katakan Baginda tidak meninggalkannya, dan dia meninggalkannya sehingga kami katakan dia tidak sembahyang.

Riwayat al-Tirmizi (477), Ahmad (11155) dan Abu Ya’la (1270). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menyatakan sanadnya adalah dha’if.

Imam al-Nawawi berkata: Keadaan solat sunat Dhuha adalah pendapat jumhur dan pendapat fuqaha mutakhir. Dalam Hasyiah menyebut Solat Dhuha dan galakan melakukannya merupakan had kepada mutawatir dan disunatkan melaziminya bagi sesiapa yang tidak bangun Qiamullail.

Justeru, marilah sama-sama kita mengamalkan ibadat solat-solat sunat dan sesiapa yang ingin mendalami isu ini, boleh rujuk dalam buku kami: Ensiklopedia Solat Sunat. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim: 40-41)