#5988: Bacaan dalam Solat Gerhana: Kuat atau Perlahan?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merasa musykil, adakah imam membaca kuat atau perlahan apabila melaksanakan solat Gerhana?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ

Maksudnya:Apabila kamu melihat kedua-duanya mengalami gerhana (gerhana matahari dan bulan) maka bersegeralah menunaikan solat sunat gerhana..”

Riwayat al-Bukhari (3203)

Solat gerhana adalah solat yang ditunaikan dengan tata cara khusus ketika salah satu cahaya daripada bulan atau matahari gelap secara penuh atau sebahagiannya. (Lihat Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 27/253)

Dalam menjawab persoalan di atas, bacaan Al-Fatihah dan surah pada setiap rakaat hendaklah dijaharkan oleh imam sebagaimana solat di malam hari. Imam al-Son’ani di dalam Subul al-Salam, (2/74) menyatakan bahawa terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama’ dalam perkara ini. Beberapa perbezaan pendapat tersebut adalah sebagaimana berikut:

Pendapat pertama: Dikuatkan bacaan sama ada pada solat gerhana bulan (malam) atau pun matahari (siang). Pendapat ini dikemukakan (dipegang) oleh Imam Ahmad, Ishaq, Abu Hanifah, Ibnu Khuzaimah, Ibn Al-Mundzir, dan selainnya. Hal ini sebagaimana riwayat Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةِ الخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ، فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ، فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنَ الرَّكْعَةِ قَالَ: «سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ»، ثُمَّ يُعَاوِدُ القِرَاءَةَ فِي صَلاَةِ الكُسُوفِ، أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ، وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ

Maksudnya: Nabi SAW menguatkan bacaan ketika solat gerhana bulan. Apabila selesai daripada bacaannya, Baginda bertakbir dan rukuk. Setelah bangkit daripada rukuk, Baginda mengucapkan, “سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، رَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ” (“Allah menerima orang yang memuji-Nya, wahai Tuhan kami bagi-Mu segala pujian”), kemudian Baginda membaca kembali bacaan pada solat gerhana, empat kali rukuk dalam dua
rakaat serta empat kali sujud.”

Riwayat Al-Bukhari (1065)

Solat gerhana juga dilakukan secara berjamaah di masjid sebagaimana solat Istisqa’, solat Jumaat, dan solat hari raya. Maka bacaannya pun dijaharkan sebagaimana solat-solat tersebut. Ibn Qudamah menukilkan daripada Imam al-Tirmizi dengan berkata:“Dan solat ini merupakan solat sunat yang disyariatkan dilaksanakan dengan berjemaah. Maka, antara sunnahnya ialah dengan menguatkan bacaan sebagaimana solat al-istisqa’, solat hari raya, dan solat tarawih.” (Lihat al-Mughni, 4/312)

Pendapat kedua: Diperlahankan bacaan sama ada untuk solat gerhana matahari atau pun bulan. Pendapat ini dipegang oleh Imam al-Syafi’i.

Hal ini sebagaimana riwayat ‘Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

فَقَامَ قِيَامًا طَوِيلاً نَحْوًا مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Maka berdirinya (Baginda) dengan qiyam yang panjang, panjangnya seperti seakan membaca Surah al-Baqarah…”

Riwayat al-Bukhari (1052)

Hadith di atas menunjukkan kepada kita bahawa Ibn ‘Abbas R.Anhuma tidak mendengar apa yang dibacakan oleh Baginda SAW dan membuat anggapan bahawa panjangnya seumpama membaca Surah al-Baqarah. Jika Ibn ‘Abbas R.Anhuma mendengarnya, pasti beliau akan menyebutnya. Hadith lain daripada Sumrah bin Jundub RA menyebutkan:

صَلَّى بِنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم فِي كُسُوفٍ لاَ نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا

Maksudnya: Nabi SAW telah solat bersama kami ketika solat gerhana. Kami tidak mendengar suara Baginda.

Riwayat Al-Tirmizi (562) dan Ibn Majah (1264). Imam al-Tirmizi menghasankannya di dalam Mukhtasar al-Ahkam (3/111). Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (5/46) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih

Imam al-Son’ani juga menyokong pendapat ini dengan membawakan riwayat daripada hadith Ibnu ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّهُ قَامَ بِجَنْبِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْكُسُوفِ فَلَمْ يَسْمَعْ مِنْهُ حَرْفًا

Maksudnya: “Bahawa beliau (Ibnu ‘Abbas) berdiri di sisi Nabi SAW ketika melaksanakan solat gerhana, beliau tidak mendengar walaupun satu huruf pun (daripada Nabi SAW).” (Lihat Subul al-Salam, 2/74)

Pendapat ketiga: Dibolehkan memilih sama ada mahu menguatkan bacaan atau memperlahankannya.

Pendapat keempat: Diperlahankan pada solat gerhana matahari (siang), dan dikuatkan pada solat gerhana bulan (malam). Pendapat ini adalah berdasarkan qiyas kepada solat fardhu.

Justeru, dalam menghimpunkan hadith-hadith yang menyatakan bahawa solat gerhana dilakukan dengan bacaan jahar dan juga secara sirr, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa solat gerhana matahari yang dilakukan ketika siang tidak perlu dikuatkan bacaannya. Manakala solat gerhana bulan yang dilakukan pada waktu malam dan dikuatkan bacaannya. Imam al-Nawawi menyatakan: “Dan kedua-dua hadith yang sahih ini dikumpulkan di antara keduanya dan dengannya diperlahankan (sirr) bacaan ketika solat sunat gerhana matahari dan dikuatkan (jahr) bacaan bagi solat sunat gerhana bulan dan inilah mazhab kami.” (Lihat Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/52-53)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”