Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah nasihat ustaz berkenaan sikap sesetengah orang yang melambat-lambat keluar parking sehingga kita terpaksa menunggu terlalu lama? Kalau dia ada banyak barang yang perlu disimpan, atau ada anak-anak kecil yang melibatkan stroller dan seumpamanya, bolehlah kita faham. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa dalam hal ini sepatutnya kedua-dua pihak perlulah sentiasa berlapang dada dan berfikiran positif. Dalam erti kata lain, boleh jadi pihak yang disangka atau dilihat seperti melambat-lambatkan untuk keluar parking sebenarnya tidak sengaja berbuat demikian tetapi ada sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Islam menyeru kepada umatnya untuk memudahkan urusan orang lain seperti yang terkandung dalam hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda:
مَن نَفَّسَ عن مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagi mana hamba membantu saudaranya.”
Riwayat Muslim (2699)
Dalam hadith ini, Baginda SAW mengingatkan kepada orang beriman agar sentiasa memudahkan urusan orang lain, tidak menyebarkan aib dan saling membantu saudaranya yang Islam. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan memudahkan urusannya. Bahkan dalam riwayat yang lain, dinyatakan bahawa orang yang menyusahkan urusan orang lain maka Allah SWT akan menyusahkan. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ ضَارَّ، ضَارَّ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ شَاقَّ، شَقَّ اللَّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang memudaratkan (orang lain) Allah akan memudaratkannya dan sesiapa yang menyusahkan (urusan orang lain) Allah akan menyusahkan urusannya.”
Riwayat al-Tirmizi (1940)
Justeru, sebaik-baiknya jika tidak ada apa-apa, segerakanlah untuk keluar parking tersebut, dan tidak dapat dinafikan perbuatannya untuk segera keluar dari parking dan tidak berlengah-lengah berbuat demikian adalah termasuk dalam memudahkan urusan orang lain. Mudah-mudahan dengan kita memudahkan urusan orang lain, Allah SWT akan memudahkan pula urusan kita kelak.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”