#5996: Fadilat 10 Awal Zulhijjah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kelebihan 10 awal Zulhijjah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith sepertimana riwayat Ibn Abbas R.Anhuma daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا العَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ؟ قَالُوا: وَلاَ الجِهَادُ؟ قَالَ: وَلاَ الجِهَادُ، إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ.

Maksudnya:Tidak ada amalan pada hari-hari lain yang lebih utama daripada amalan pada hari ini (hari yang kesepuluh bulan Zulhijjah). Mereka (sahabat) bertanya: ‘Meskipun jihad?’ Baginda menjawab: ‘(Ya), tidak juga jihad, melainkan seorang lelaki yang keluar untuk membahayakan dirinya dan hartanya (untuk jalan Allah), dan tidak kembali dengan membawa apa-apa.’

Riwayat al-Bukhari (969)

Selain itu, terdapat hadith yang lain datang dengan lafaz bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما مِن أيّامٍ العَمَلُ الصّالِحُ فيها أحَبُّ إلى اللهِ مِن هذه الأيّامِ – يَعني أيّامَ العَشرِ قالوا: يا رَسولَ اللهِ، ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ؟ قال: ولا الجِهادُ في سَبيلِ اللهِ، إلّا رَجُلًا خرَجَ بِنَفْسِهِ ومالِهِ، ثم لم يَرجِعْ مِن ذلك بِشَيءٍ.

Maksudnya: “Tiadalah hari di mana amalannya yang soleh lebih baik dan disukai oleh Allah SWT daripada hari-hari sepuluh Zulhijjah. Lantas sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah sekalipun jihad pada jalan Allah?’ Baginda menjawab: ‘Sekalipun jihad pada jalan Allah kecualilah seseorang lelaki keluar dengan dirinya dan hartanya kemudian tidak pulang daripada demikian itu (iaitu mati syahid).

Riwayat Abu Dawud (2438). Syeikh Syu‘aib al-Arnout di dalam Takhrij Zad al-Ma’ad (1/56) menilai sanadnya sebagai sahih.

Ibn Kathir menyebutkan: Nas ini dan lainnya menunjukkan bahawa sepuluh hari awal bulan Dzulhijjah lebih utama dibandingkan hari-hari lain dalam setahun tanpa ada pengecualian sedikitpun. Meskipun sepuluh terakhir Ramadan. Akan tetapi sepuluh malam akhir Ramadan itu lebih utama dibandingkan sepuluh malam Dzulhijjah kerana 10 malam terakhir Ramadhan itu mengandungi malam lailatul qadar yang mana ia lebih baik dari seribu bulan. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 5/412)

Manakala, menurut Ibn Rejab, hadith di atas menjadi dalil kepada beramal pada 10 hari ini lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan pada hari-hari yang lain tanpa sebarang pengecualian. Apabila ia merupakan perkara yang paling disukai oleh Allah SWT, maka ia adalah sesuatu yang afdhal di sisi-Nya.

Selain itu, hadith ini juga diriwayatkan dengan terdapat syak di sisi perawi pada lafaznya: “أحب” (paling disukai) atau “أفضل” (paling baik). Apabila suatu amalan dalam 10 hari ini afdhal dan lebih disukai oleh Allah SWT berbanding amalan yang dilakukan dalam hari-hari yang lain dalam setahun. Maka,  jadilah amalan yang kurang utama yang dilakukan dalam tempoh 10 hari ini afdhal daripada amalan yang lebih utama yang dikerjakan pada selainnya. Oleh sebab itulah, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, sekalipun jihad pada jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda menjawab: “Ya, sekalipun jihad tidak dapat menandinginya.” Kemudian Baginda mengecualikan satu jenis jihad yang merupakan sebaik-baik jihad pada jalan Allah. Hal ini kerana Baginda SAW juga pernah ditanya: “Apakah jihad yang lebih afdhal?” Baginda menjawab: “Jihad seseorang yang kudanya ditikam mati dan dia pun mati syahid merupakan orang yang mempunyai kedudukan yang paling tinggi di sisi Allah.”

Manakala jenis jihad yang lain pula, amalan yang dikerjakan dalam 10 hari terawal Zulhijjah adalah lebih baik (afdhal) dan lebih disukai oleh Allah SWT daripadanya, termasuklah juga semua amalan yang lain. Hal ini menunjukkan bahawa amalan yang kurang utama (al-Mafdhul), yang dikerjakan dalam tempoh yang terbaik akan diberi kelebihan sama seperti amalan yang lebih utama (al-Fadhil) yang dikerjakan dalam tempoh selainnya, bahkan amalan pertama tadi mengatasinya disebabkan ganjaran yang dilipat ganda. Penambahan ini disebutkan dalam hadith daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma:

والعَمَلُ فِيهِنَّ يُضَاعَفُ بِسَبْعِمِائةِ ضِعْفٍ

Maksudnya:Amalan yang dikerjakan dalam tempoh ini akan dilipat gandakan pahalanya sehingga 700 kali.

Riwayat al-Tabarani (11116); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (3758); dan al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib (2/191) menyatakan, sanadnya adalah sahih, hasan atau apa yang menghampiri kedua-duanya. Namun, Ibn Rejab dalam Lata’if al-Ma‘arif (hlm. 261) menilai sanadnya sebagai dhaif.

Allah SWT berfirman:

وَالْفَجْرِ  وَلَيَالٍ عَشْرٍ

Maksudnya: “Demi fajar, dan malam yang sepuluh

(Surah al-Fajr: 1-2)

Para ulama berbeza pendapat dalam menentukan 10 malam yang dimaksud oleh Allah dalam ayat tersebut. Penafsiran para ulama ahli tafsir mengerucut kepada 3 pendapat:

  • Pertama: 10 hari pertama bulan Dzulhijjah.
  • Kedua: 10 malam terakhir bulan Ramadhan.
  • Ketiga: 10 hari pertama bulan Muharram.

Pendapat yang rajih dan kuat ialah pendapat yang menyatakan bahwa yang dimaksud adalah 10 hari pertama bulan Dzulhijjah. Hal ini berdasarkan hadith riwayat Jabir R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ العَشْرَ عَشْرُ الأضْحى، والوِترَ يومُ عَرَفةَ، والشَّفعَ يومُ النَّحرِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya yang dimaksud dengan 10 itu adalah 10 hari al-Adha (bulan Dzulhijjah), dan yang dimaksud dengan “ganjil” adalah hari Arafah, dan yang dimaksud dengan “genap” adalah hari raya Eid al-Adha.

Riwayat al-Nasaie di dalam Sunan al-Kubra (11672) dan Ahmad (14511). Syeikh Syuaib al-Arna’ut di dalam Takhrij al-Musnad (14511) menyatakan bahawa sanad hadith ini tidak ada masalah pada perawinya.

Sebahagian ulama menafsirkan bahwa yang dimaksud dengan “al-fajr” dalam ayat tersebut adalah fajar pada hari raya Eid al-Adha. Oleh itu, yang dimaksudkan dengan “10 malam” yang termaktub dalam ayat kedua surat tersebut adalah 10 hari pertama bulan Dzulhijjah.

Tambahan pula, Jumhur ulama berpendapat ia adalah sepuluh hari pertama Dzulhijjah. Malah, Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa terdapat ijmak ulama mengenai hal itu. Beliau berkata: Ini merujuk kepada (sepuluh) malam pertama Dzulhijjah, kerana telah ada kesepakatan di kalangan ulama tafsir tentang hal itu. (Lihat Tafsir Ibn Jarir al-Tabari, 7/514)

Ibnu Kathir  di dalam tafsirnya berkata: Yang dimaksud dengan sepuluh malam itu adalah sepuluh (pertama) Dzulhijjah, sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan lainnya dalam kalangan generasi salaf dan khalaf.

Antara hikmah di sebalik menyebut malam dan bukannya siang adalah kerana Hari-hari disebut sebagai “malam” kerana bahasa Arab adalah fleksibel dan mungkin menggunakan perkataan malam untuk merujuk kepada hari, atau perkataan hari untuk merujuk kepada malam. Sahabat dan para tabi’in biasanya menggunakan perkataan malam untuk merujuk kepada hari-hari, sehinggakan mereka biasa mengatakan “Kami berpuasa lima malam”, merujuk kepada malam, walaupun puasa itu berlaku pada siang hari. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh sebilangan ulama, antaranya Ibn al-‘Arabi dalam Ahkam al-Quran (Lihat Ahkam al-Quran, 4/334) dan Ibn Rajab dalam Lata’if al-Ma’aarif. [Lihat Lata’if al-Ma’aarif (470)]

Justeru, marilah sama-sama kita mengambil peluang yang akan menjelma beberapa hari lagi, sepuluh awal Zulhijjah dengan memperbanyakkan amalan-amalan soleh kerana pahalanya cukup besar di sisi Allah SWT. Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”