#6002: Menjaga Pandangan dari Menghina Orang

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Semasa tawaf atau di Makkah, saya melihat beberapa orang yang kadang-kadang rupa paras amat kurang elok sehingga terlintas di hati saya. Dalam hal ini, bagaimana cara saya mengawal diri dan hati dari prasangka yang tidak baik kepada saudara sesama Islam?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah al-Hujurat (11)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Ini kerana kadang-kadang orang yang dihina lebih baik di sisi Allah daripada orang yang menghina sebagaimana yang disebut di dalam hadis.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/332)

Ingatlah kita bahawa orang yang mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ‎

Maksudnya: Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu.”

(Surah al-Hujurat: 13)

Ibn Kathir berkata: “Kamu semua berbeza keutamaan di sisi Allah hanya dengan takwa, bukan kerana kedudukan dan nasab.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/101)

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah gugurnya segala titik-titik perbezaan dan gugurnya segala nilai-nilai dan ukuran-ukuran. Hanya nilai taqwa sahaja satu-satunya neraca yang tegak. Inilah satu-satunya neraca dan satu-satunya nilai untuk menjadi asas rujukan kepada umat manusia yang berbagai-bagai warna dan jenis itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 15/112)

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ لا يَنْظُرُ إلى صُوَرِكُمْ وأَمْوالِكُمْ، ولَكِنْ يَنْظُرُ إلى قُلُوبِكُمْ وأَعْمالِكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan harta kamu. Akan tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalan kamu.”

Riwayat Muslim (2564)

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Nawawi: Selain itu, dia hendaklah memelihara pandangannya dan hatinya daripada menghina orang yang dilihatnya daripada kalangan orang-orang Islam yang lemah atau selain mereka seperti di badannya ada kekurangan atau dia jahil berkenaan sesuatu daripada manasik haji ataupun dia tersilap. Malah sepatutnya dia mengajarkan kepada orang itu perkara tersebut dengan lemah lembut (dan bukannya dengan kekerasan). Sesungguhnya terdapat banyak peristiwa yang terjadi berkenaan pembalasan azab yang disegerakan bagi ramai dalam kalangan mereka yang buruk adabnya ketika tawaf dan seumpamanya. Inilah perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian kerana ia (tidak beradab ketika tawaf) termasuk seburuk-buruk perbuatan di semulia-mulia tempat. Semoga Allah memberikan petunjuk, pertolongan dan perlindungan. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 186-187)

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”