#6003: Solat Sunat Tawaf

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah wajib seseorang yang mengerjakan tawaf melaksanakan solat sunat tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَاتَّخِذُوا مِن مَّقَامِ إِبْرَاهِيمَ مُصَلًّى

Maksudnya: “Dan jadikanlah oleh kamu Maqam Ibrahim itu tempat sembahyang.”

(Surah al-Baqarah: 125)

Anas bin Malik R.A meriwayatkan bahawa Umar bin al-Khattab R.A berkata: “Pendapatku telah diterima oleh Tuhanku dalam tiga perkara.” Aku berkata: “Wahai Rasulullah, kenapa tidak kita jadikan Maqam Ibrahim ini sebagai tempat solat?” Kemudian ayat ini pun diturunkan. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/161).

Selain itu, Qatadah Rahimahullah menerangkan tentang ayat ini: “Kamu disuruh mendirikan solat di situ, tetapi tidak disuruh menyentuhnya. Kami telah diberitahu oleh mereka yang telah melihat kesan tapak kaki dan jarinya (Ibrahim AS). Manusia berterusan menyentuhnya sehingga kesannya tanggal dan hilang.” (Lihat Fath al-Bari, 8/18).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa hukumnya adalah sunat mengikut qaul yang muktamad dan inilah yang Rasulullah SAW lakukan. Imam al-Nawawi berkata: Apabila selesai daripada mengerjakan tawaf, maka dia hendaklah mendirikan solat sunat tawaf dua rakaat. Hukumnya adalah sunat muakkad mengikut pendapat yang sahih. Namun, terdapat pendapat  yang mengatakan ia adalah wajib. Sunnahnya adalah untuk mendirikan kedua-dua rakaat solat tawaf itu di belakang maqam Ibrahim. Sekiranya dia tidak dapat mengerjakan dua rakaat solat itu di belakang maqam disebabkan oleh kesesakan atau selainnya, maka kerjakanlah solat tawaf tersebut di kawasan Hijr Isma‘il. Sekiranya tidak dapat juga mengerjakannya di situ, maka dibolehkan untuk mengerjakannya di mana-mana kawasan Masjid al-Haram dan kemudian di mana-mana tempat di tanah haram, dan kemudian di mana-mana tempat luar tanah haram. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 187-188)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”