#6006: Tertib Ibadat daripada Tawaf kepada Sa’ie

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah di sana terdapat tertib ibadat yang sebaiknya kita lakukan antara mengerjakan tawaf hingga ke sa’ie?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Apabila selesai mendirikan solat sunat tawaf dua rakaat, maka mengikut sunnah hendaklah dia kembali menuju ke Hajarul Aswad untuk menyentuhnya (istilam), kemudian keluar dari pintu Safa untuk ke tempat Sa’ie. Perkara tersebut telah thabit daripada Rasulullah SAW.[1]

Al-Mawardi menyebutkan dalam kitabnya, al-Hawi bahawa apabila dia telah menyentuh Hajarul Aswad, disunatkan untuk pergi ke Multazam dan berdoa di situ, seterusnya masuk ke dalam al-Hijr dan berdoa di  dalamnya di bawah Mizab.[2] Zahir hadith yang sahih[3] dan ia adalah pendapat jumhur ashab kami dan selain mereka, bahawa janganlah dia sibukkan diri sesudah solat kecuali untuk istilam (menyentuh atau mengucup Hajarul Aswad), kemudian terus keluar menuju ke tempat sa’ie.

Ibn Jarir al-Tabari menyebutkan bahawa dia melakukan tawaf, kemudian mendirikan solat dua rakaat,  kemudian mendatangi Multazam,  kemudian kembali ke Hajarul Aswad dan menyentuhnya (istilam), kemudian keluar untuk melakukan sa’ie. Imam al-Ghazali Rahimahullah ta’ala pula menyebutkan bahawa dia datang ke multazam apabila selesai melakukan tawaf sebelum mendirikan solat sunat dua rakaat. Kemudian barulah dia mendirikan solat sunat dua rakaat itu. Namun, pendapat yang terpilih ialah pendapat yang sebelumnya.

Seterusnya apabila hendak keluar tempat sa’ie, maka sunnahnya adalah dia keluar dari pintu Safa dan pergi ke kaki Bukit Safa,[4] lalu mendakinya dengan kadar ketinggiannya hingga kelihatan Kaabah, yang mana ia menjadi jelas kepadanya dari pintu masjid melalui pintu Safa dan bukannya sesiapa yang berada di atas dinding masjid, berbeza dengan Marwah. Apabila dia sudah mendaki Bukit Safa, dia hendaklah menghadap ke arah Kaabah, bertahlil, bertakbir seraya mengucapkan:

اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَللهِ الحَمْدِ. اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا، وَالحَمْدُ للهِ عَلَى مَا أَوْلاَنَا. لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِْيكَ لَهُ. لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِ وَيُمِيْتُ بِيَدِهِ الخَيْرُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٍ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ أَنْجَزَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ، لآ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُوْنَ.

Maksudnya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi-Nya segala pujian. Allah Maha Besar atas segala hidayah-Nya kepada kami dan segala pujian bagi Allah atas segala kurniaan-Nya. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali hanyalah Allah yang tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala pemerintahan dan pujian. Dialah Tuhan yang menghidupkan dan mematikan. Segala kebaikan dalam kekuasaan-Nya dan Dia Maha Berkuasa atas segala-galanya. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya kecuali hanyalah Allah yang tiada sekutu bagi-Nya yang telah melaksanakan segala janji-Nya, memberi kemenangan kepada hamba-Nya dan menghancurkan semua kumpulan yang memusuhi-Nya. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Kami tidak akan mengabdikan diri melainkan kepada-Nya dengan penuh ikhlas beragama kerana-Nya, sekalipun orang-orang kafir membencinya.”

Kemudian dia berdoa[5] dengan apa-apa doa yang disukainya daripada urusan agama dan dunia.[6] Alangkah baiknya dia berdoa dengan doa:[7]

اللَّهُمَّ إِنَّكَ قُلْتَ وَقَوْلُكَ الْحَقُّ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُم، وَإِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيْعَادَ، وَإِنِّي أَسْأَلُكَ كَمَا هَدَيْتَنِي لِلإِسْلاَمِ أَنْ لاَ تَنْزِعَهُ مِنِّي حَتَّى تَتَوَفَّانِي مُسْلِماً

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau berfirman dan kalam-Mu bersifat benar: ‘Mintalah kepada-Ku, Aku akan perkenankan permintaanmu,’ dan sesungguhnya Engkau tidak pernah memungkiri janji. Justeru, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu seperti Engkau telah memberi hidayah kepadaku memilih agama Islam, aku memohon kepada-Mu agar tidak mencabutnya daripadaku sehingga Engkau mematikan aku dalam keadaan seorang Islam.”

Kemudian dia boleh gabungkan dengan apa-apa doa yang lain yang dikehendaki. Dia juga tidak disunatkan lagi bertalbiah mengikut pendapat yang paling sahih. Kemudian dia mengulangi semua yang disebut sebelum ini daripada zikir dan doa pada kali kedua. Kemudian mengulangi zikir pada kali ketiga. (Seterusnya timbul persoalan), adakah dia perlu mengulangi doa bersamanya? Dalam hal ini terdapat khilaf padanya. Pendapat yang paling sahih adalah disunatkan juga untuk mengulanginya (yakni doa) pada kali ketiga. Hal ini kerana sesungguhnya telah thabit demikian itu dalam Sahih Muslim daripada perbuatan Rasulullah SAW. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 190-194)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota Hujung:

[1]  Riwayat Muslim (1218)

[2] Lihat al-Hawi al-Kabir, 5/204-205.

[3]  Ini berdasarkan hadith Jabir yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Lihat juga buku kami yang bertajuk Hajjatu al-Wada’: Fiqh dan Faedah Hadith.

[4]  Safa ialah sebuah bukit kecil yang berada lebih kurang 130 meter di bahagian selatan (agak ke kiri) dari Masjidil Haram. Sebuah kubah telah didirikan di atasnya sekarang. Di sinilah tempat yang disyariatkan sebagai permulaan sa’ie. Bukit Safa telah disebut dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT:

 إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah.”

(Surah al-Baqarah: 158)

[5] Bagi dirinya atau sesiapa yang dia kehendaki. Zahirnya sebagaimana yang dikatakan oleh al-‘Allamah ‘Abd al-Rauf bahawa dia hendaklah menta’khirkan  (mengakhirkan) doa daripada zikir. Juga tidak menafikan zikir sebelumnya. Lihat Taqrirat.

[6]  Di sisi ashab kami.

[7]  Selepas zikir kali ketiga.